YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB AKHIR : E P I L O G
E P I L O G
Awalkata: Setiap yang bermula mesti ada akhirnya. Begitu juga dengan siri YTDT ini. Ia bermula pada 3 Oktober 2000 dulu, sebaik sahaja ditamatkan siri 'Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila'. Mungkin tidak ramai yang mengetahui kenapa siri ini disebut seperti itu. Tetapi kalau diambil siri penulisan sebelumnya, kita mencatatkan perjalanan sejarah negara yang dilakar oleh insan-insan yang begelar pemimpin bangsanya. Kita sedar betapa kebanyakan isu negara yang muncul sejak negara mencapai kemerdekaan adalah isu yang sengaja ditonjolkan oleh golongan pemimpin itu semata-mata untuk mengabui perhatian masyarakat bangsanya. Bermula dengan tercetusnya Mei 13, 1969 sehinggalah episod perpaduan Melayu yang sedang dicanang begitu ghairah sekali oleh media kerajaan menunjukkan betapa mencelarunya pemikiran rakyat marhaen terutama sekali orang Melayu.
Budaya Melayu mengajar kita duduk bersila memerhatikan segala suasana yang ada kalau kita tidak cekap membuka langkah untuk bersilat di tengah gelanggang. Tetapi, budaya Melayu tua ini tidak pernah diambil-kira oleh manusia bergelar Melayu dalam dunia politiknya. Sesiapa sahaja sanggup bertindak rakus menonjolkan dirinya seolah-olah dialah pakar berpolitik. Kerana itu ada yang sanggup berpakaian Melayu dan memanjat tembok menunjukkan kejantanannya. Ada pula dengan sikap orang yang sanggup kencing berdiri di atas pusara, ataupun membakar jambatan yang sudah diseberanginya. Inikah gelagat orang politik yang tidak tahu bersilat dan tidak reti pula duduk bersila? Apakah jadinya? Kencing berlarikah mereka sambil mengajak rakyat marhaen mengikut sama?
Menyedari sikap dan kelakuan sumbang ini, kita tonjolkan siri 'Yang Terbang dan Terbengkalai' kerana terlalu banyak isu songsang yang sengaja ditonjolkan untuk mengabui fikiran rakyat marhaen dengan tujuan menegakkan benang basah para pemimpin. Di zaman globalisasi dan kecanggihan IT, rakyat marhaen telah semakin matang untuk menilai mana satu yang kilau dan mana satu yang kilat; mana satu yang putih dan yang hitam, mana satu yang berseri dan mana satu yang suram. Rakyat marhaen mampu menandingi pengetahuan masyarakat kepimpinan politik itu yang terus mencetuskan suasana mencelaru dan perchanggahan. Rakyat sudah tahu menilai mana satu intan di kalangan kaca yang berkilauan. Semua ini berlaku di saat-saat seorang diktator tua sedang mengharungi nasib politik yang sudah semakin luput tarikhnya.
Kalau kita lihat suasana politik negara, kita dapati keadaan hidup rakyat marhaen terus tertekan kerana agenda piminan UMNO sejak memenangi pemilu 1999 dulu ialah untuk mengekalkan kuasa yang ada sambil membalun apa juga khazanah rakyat untuk memuaskan nafsu-nafsi yang tidak ada batasnya.
APA LAGI YANG MAHATHIR MAHU ?
Diktator tua baru sahaja pulang daripada Myanmar di mana dia berada selama seminggu. Sebaik tiba, ada tiga perkara penting yang muncul: (a) "Lebih ramai rakyat Myanmar dan Nepal akan diberikan peluang pekerjaan di negara ini", (b) Myanmar adalah sebuah negara yang "sungguh baik untuk rakyat Malaysia melabur", (c) Presiden UMNO bersedia membincangkan isu perpaduan Melayu dengan PAS walaupun Parti Keadilan sudah menolak tawaran UMNO itu.
Semalam, Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman betapa Malaysia akan mendirikan menara-menara kawalan di sepanjang sempadan Thailand untuk mengesan dan mencegah penyeludupan beras dan minyak disel.
Empat isu yang disebut tentu mencetuskan banyak tandatanya. Ia berkaitan dengan lawatan diktator Mahathir ke Myanmar.
i. Lawatan rasmi hanya dua hari sahaja, tetapi diktator berada di Myanmar selama lima hari secara lawatan peribadi. Laporan akhbar asing menyatakan dia menghabiskan masa untuk membincangkan urusan niaga. Bagaimana agaknya kos yang berbangkit ketika beliau bercuti selama lima hari itu? Lebih dua puluh tahun beliau mengadakan lawatan ke luar negara, semuanya diberikan liputan meluas sehinggakan ada rakaman lawatan yang diulang-ulang. Sehingggakan ada rakyat yang hampir naik juling. Pada kali ini, tidak ada sebarang liputan mengenai lawatan rasmi itu. Mengapakah aktibiti lawatannya dirahsiakan sangat? Apakah dia merancang sesuatu yang dianggap sungguh rahsia kepada seluruh dunia?
ii. Diktator Mahathir membuat pengumuman mengenai pengambilan pekerja Myanmar dan Nepal. Apa istimewanya pekerja asing itu dan apakah bidang kepakaran mereka? Yang kita tahu, sebahagian besar pekerja asing daripada Myanmar yang bekerja di sini adalah pakar dalam kerja buruh kasar sahaja. Kalau kita pergi ke perhentian bas di Prai dan Bukit Mertajam, ramai orang-orang ini yang memang semacam penduduk tempatan. Mereka bekerja di kedai-kedai makan kepunyaan mamak-mamak yang kerap pulang setiap tahun ke kampung halaman mereka di India. Kalau mamak-mamak itu tidak pernah mencarum kepada KWSP ataupun membayar cukai pendapatan, apakah yang diperolehi oleh negara selain dibebani oleh kehadiran mereka? Kita akui ramai juga rakyat Myanmar yang bertugas di Lembah Kelang dalam bidang binaan dan bengkel-bengkel. Apakah mereka menyumbang kepada cukai pendapatan negara?
Pengambilan pekerja daripada Nepal tentulah berkisar kepada bekas tentera Gurkha yang memang ramai menganggur selepas dipencenkan oleh Kerajaan British. Sejak kebelakangan ini kita lihat ramai pekerja Gurkha yang digunakan sebagai pengawal peribadi dan pengawal keselamatan orang tertentu. Tetapi kebanyakan orang tertentu ini adalah para kroni yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Apakah keistimewaan orang Nepal ini untuk dibawa masuk dalam bidang keselamatan keluarga? Apakah diktator tua sudah tidak yakin lagi dengan orang Melayu sebagai pengawal peribadinya?
Kita tahu sudah ramai para kroni yang menggunakan wanita Vietnam dan Cambodia, Indonesia dan Filipina sebagai pekerja di rumah-rumah. Ini sekaligus mengenepikan wanita Malaysia daripada pekerjaan itu. Saya teringat dengan kesamaan yang berlaku di Kuwait sebelum negara itu hancur diserang Iraq. Begitulah keadaan orang Arab di sana. Mereka menggunakan wanita Filipina sebagai penjaga anak-anak dan pengasuh. Akhirnya anak-anak itu tidak pandai bertutur dalam Bahasa Arab dengan baik dan oleh kerana pengasuh mereka beragama Kristian, semakin ramai anak Arab membesar dengan keadaan mencelaru kerana tidak dapat membezakan mana satu ajaran Islam dan yang bukan Islam. Sinario yang sama dapat kita saksikan di kalangan keluarga yang menggaji pendatang asing. Ramai yang kehilangan arah budaya Melayu kerana yang mengasuh mereka tidak mengamalkan budaya itu. Lihat sahaja di petang hari, di hujung minggu dan di waktu ada pesta di beberapa tempat di ibukota, terutama sekali di kawasan Bangsar. Majoriti anak-anak muda Melayu berpeleseran ketika azan maghrib berkumandang di udara. Ramai yang tidak tahu menghormati azan itu lagi apatah lagi menghayati kumandangnya. Masih ingatkah kita cerita cucu-cucu seorang Sultan yang bergadoh di kelab malam di malam Ramadhan?
iii. Diktator Mahathir sanggup berbohong kepada rakyat betapa Myanmar mempunyai suasana yang baik untuk rakyat Malaysia melabur. Apakah sebenarnya tujuan beliau membuat kenyataan begitu? Bukankah beliau sedar bahawa syarat utama pelaburan asing ialah stabiliti politik negara itu dan syarat keduanya ialah stabiliti matawang negara di mana pelaburan itu mahu dilaksanakan. Apakah Myanmar mampu memenuhi dua syarat tersebut? Apakah sebuah negara yang dikawal oleh junta tentera yang menyingkirkan kerajaan yang dilantik dengan sah oleh rakyat jelata, merupakan kerajaan yang stabil? Bukankah Myanmar merupakan salah satu di antara lima negara yang paling mundur di dunia?
Junta tentera yang ada tidak pun mempunyai mandat mentadbir negara. Parti pimpinan Angsang Suki telah menang besar di pemilu Myanmar dulu, tetapi junta tentera tidak mahu melepaskan kuasa. Kini, Myanmar terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk yang dijangkiti penyakit HIV dan penagih dadah kerana ia terletak di kawasan 'Tigasegi Dadah'.
Kesediaan Mahathir menipu rakyat secara terang-terangan menunjukkan kerakusannya. Apakah dia berura-ura untuk menggunakan wang rakyat yang masih ada lagi di dalam akaun Petronas, KWSP dan Tabung Haji untuk dileburkan di Myanmar?
iv. Kini, kabinet sudah meluluskan projek membuat menara kawalan di sepanjang sempadan Malaysia dengan Thailand. Kenapa mahu dibikin menara kawalan? Bukankah lebih canggih kalau dibuat tembok besar seperti yang terbina di Negeri Cina? Pusat dan menara kawalan memang terbina lama di sepanjang sempadan Myanmar dengan Thailand. Apakah berkesan menara-menara itu? Bagaimanakah penduduk Myanmar mampu menyeludup binatang ternakan masuk ke Thailand dan akhirnya ke Malaysia? Bagaimana pula sempadan Myanmar itu dijadikan jalan masuk pendatang daripada Bangladesh, Pakistan, Iran dan negara bekas Soviet ke Malaysia? Bagaimana pula dengan pagar letrik yang pernah direncana sejak beberapa tahun dulu di sepanjang sempadan itu dulu?
Pembinaan menara kawalan tidak akan melumpuhkan penyeludupan beras Siam ke Malaysia. Selagi beras itu lebih murah harganya daripada beras Malaysia, penyeludupan akan terus berlaku. Perkara ini memang amat diketahui dan difahami oleh pihak kerajaan. Tetapi, kenapa mahu dibikin juga? Muslihatnya terletak kepada siapa yang akan mendapat kontrak pembinaan menara itu. Soal pokok di sini ialah harga beras Malaysia terlalu tinggi jika dibandingkan dengan harga beras di negara asing. Inilah yang sepatutnya diselesaikan. Sepatutnya, kerajaan mencuba dulu menggalakkan petani Malaysia menanam beras wangi dan membiarkan pengimpotan beras biasa secara terkawal. Ini bererti, kerajaan perlu menyekat langsung pengimpotan beras wangi asing. Untuk melaksanakan perkara ini kerajaan sepatutnya membuat kajian memperbaikki tanaman padi di negara ini. Kalau kawasan padi (relong) persendirian terlalu kecil, eloklah dilakukan satu rombakan agar penanaman boleh dibuat mengikut konsep estet.
Berlakunya masalah harga padi yang tidak menguntungkan para pesawah, pengilang dan juga pembeli beras, membawa erti bahawa rencana penanaman padi dan penjualan beras negara itu yang pincang. Sekaligus ia mempertikaikan kewibawaan Shahidan Kassim dan juga Rohanie Ahmad yang memang terkenal dengan pembabitan mereka dengan industri beras negara sejak dulu lagi. Negara menghadapi masalah menangani penanam padi, sedangkan BERNAS ditonjolkan sebagai sebuah agensi pengurusan padi dan beras di Afrika? Yang lebih melucukan, ialah BERNAS sedang bersaing dengan institusi penanaman padi negara Amerika, Cuba, China dan Jepun di benua Afrika itu. Amerika, China dan Jepun melancarkan program penanaman padi di Afrika kerana mahu menjual sama segala peralatan dan mesin penanaman padi buatan sendiri, tetapi kita melakukan projek itu dengan menggunakan mesin keluaran negara orang lain. Inilah salah satu konsep 'Malaysia' Boleh yang songsang sebenarnya.
Soalnya sekarang, sampai bilakah industri penanaman padi mesti menjadi masalah negara? Kebanyakan penanam padi adalah generasi lama yang tidak mampu mendapatkan pengganti kerjaya mereka. Apakah akan jadi akhirnya? Kenapakah tidak ada satu perancangan di mana penanaman padi dibuat secara lebih teratur seperti penanaman jagung dan bunga matahari di Eropah? Setiap tahun masalah penanam padi akan muncul disebabkan musim hujan yang berlebihan, keadaan kemarau panjang, lambakan beras luar dan bermacam-macam lagi. Kenapakah perkara ini tidak dapat diatasi sedangkan kerajaan Kedah mampu membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk mewujudkan museum padi? Begitu juga dengan projek menanam padi di atas bumbung. Semua itu diberikan keutamaan, sedangkan masalah yang menghantui penanam padi berdekad lamanya masih di takuk lama juga.
Kita tahu kerajaan UMNO sengaja membuat projek gila di Kedah kerana mahu mengelakkan masalah penanam padi yang tidak tahu siapa pemilik sebenar relong padi yang mereka kerjakan itu. Ada tanah yang turun temurun yang tidak diketahui siapa pemiliknya yang sah. Ada pula tanah yang digadaikan bertahun-tahun secara penanaman pawah. Ada pula tanah yang memang tidak diketahui langsung pemiliknya kerana si penanam sudah menyewanya bertahun-tahun daripada orang yang mengaku tuanpunya tanah itu, sedangkan itu bukan perkara yang sebetulnya. Kerajaan UMNO tidak mahu menyelesaikan perkara ini kerana mahu menggunakan segala kedaifan penanam padi itu sebagai alasan untuk menjerut mereka agar terus mengundi dan memangkah calon UMNO di pilihanraya yang mendatang.
Sepatutnya segala peruntukan projek gila (membuat musuem padi, menanam padi di atas bumbung, pertandingan lembu cantik, mencabut uban, mengorat isteri dan banyak lagi) di Kedah yang telah dihamburkan oleh Sanusi Joned dulu sudah mampu mewujudkan satu sistem penanaman padi yang canggih. Industri penanaman padi memerlukan satu pengolahan termoden. Kemajuan teknologi sudah mampu menonjolkan penanaman padi secara luas dan menguntungkan. Di California, air sudah mampu disedut daripada bumi dengan menggunakan kuasa suria dan juga kincir angin (wind-mills). Di kawasan Colmar dan Calspac di Peranchis, penanaman jagung dan bunga matahari yang luasnya ratusan ribu hektar dilakukan dengan teknologi kincir angin yang menyedut air daripada perut bumi dan pengedarannya bersistem kerana dikawal oleh komputer. Kenapakah teknologi ini tidak dimpot untuk membolehkan penanam padi menanam jagung secara selingan? Bukankah teknologi ini mampu disibarkan di Malaysia sehingga mampu menolak keperluan negara mengimpot jagung dan bijiran untuk industri makanan ternakan negara?
Di negara China, jerami padi diolah untuk makanan ternakan di musim tengkujuh dan musim sejuk. Ada petani yang menggunanya sebagai bahan utama hampagas untuk menjadi bahan haba menyalakan lampu. Ada pula kilang yang memproses jerami padi untuk dijadikan baja dan kimia yang kemudiannya diimpot oleh Malaysia. Di Filipina kulit padi (sekam) digunakan sebagai bahan binaan rumah setelah dicampur dengan simen dan dikeringkan. Malahan sekam padi adalah bahan yang paling murah dijadikan pembasuh periuk (seperti yang berjenama VIM dan sebagainya). Teknologi menggunakan abu sekam padi telah dikemukaan oleh Haji Yahaya di SIRIM (bahagian perusahaan Bumiputra) sejak 1977 dulu lagi. Kenapakah semua teknologi ini tidak dikembangkan, sedangkan itulah barangan yang dikomersialkan dengan harga yang sungguh tinggi oleh beberapa syarikat yang dipunyai oleh Yahudi Amerika, di negara ini?
Kalau kita buka laporan MARDI pada tahun 1976 dulu, sudah terdapat projek menggunakan jerami padi sebagai bahan makanan ternakan. Kalau teknologi yang disahkan oleh MARDI itu digunakan untuk membiakkan ternakan di negara ini, kita tidak perlu mengimpot waima satu kilo daging lembu dan kambing daripada negara asing. Sebaliknya kalau kita teliti projek pembinaan kilang sembelihan ternakan (lembu sahaja pada awalnya) di Paya Pahlawan, lembu yang disembelih itu adalah lembu yang dibiak oleh FIMA di Johor dengan memberikan makanan lebihan kilang nanas. Kemudian lembu itu diangkut dengan lori ke Kedah untuk disembelih. Bagaimanakah lembu seperti ini dapat dijual dagingnya dengan murah? Berapa ramaikah rakyat negara ini yang sedar bahawa sebelum menjadi Menteri dulu si diktator tua negara ini pernah menjadi Pengerusi FIMA? Apakah yang pernah dilakukannya untuk menaikkan taraf kehidupan petani Melayu?
Taraf Hidup Melayu Luar Bandar Yang Tertekan
Kalau kita lihat akan keadaan ekonomi orang kampung sekarang ini, memang tidak ketara sangat kesengsaraan mereka. Tetapi, kalau diteliti dengan betul-betul kita dapati mereka sedang sengsara. Cuma, pengalaman masa yang lalu dalam menangani tekanan hidup itu menunjukkan mereka masih mampu ketawa riang sedangkan keadaan sebenarnya menghimpit jiwa. Di kebanyakan kampung Melayu hanya golongan yang tua-tua sahaja yang kekal di situ. Golongan muda-mudi sudah lama berhijrah ke bandar-bandar. Kalau di Johor, ramai yang bekerja di seberang tambak. Ada yang menetap di situ dan pulang ke kampung hanya di hujung minggu ataupun di akhir bulan. Keadaan demikian memang lumrah di seluruh negara, kerana masyarakat kampung terpaksa bergantung kepada kemajuan bandar untuk mengekalkan taraf ekonomi mereka. Lantas, ekonomi sesuatu keluarga kampung itu banyak bergantung kepada kiriman wang anak-anak daripada bandar-bandar. Kerana itu, Johor satu ketika dulu amat terkenal dengan kisah-kisah bagaimana ramai anak-anak muda yang menjadi satu masyarakat yang lupa daratan. Mereka terjebak ke kancah dadah dan hidup kepalsuan dunia moden. Ramai keluarga Felda bercerai berai kerana isteri yang bekerja di kilang-kilang di Singapura bertukar peranan menjadi GRO dan pelayan kelab hiburan di malam hari.
Di pekan dan bandar di persisiran pantai dan pelabuhan, masyarakat muda-mudi Melayu rosak juga kerana pengaruh yang dibawa oleh kelasi kapal negara luar. Kita boleh perhatikan betapa rosaknya maruah anak-anak muda kita di kebanyakan bandar pelabuhan dan peranginan ini. Terlalu amai anak-anak muda Melayu yang menjadi penagih gam yang dihidu setiap waktu. Begitu juga dengan penagih dadah sintetik yang menjadi amalan anak-anak muda Melayu yang bekerja di Singapura. Dadah jenis ini merupakah masalah besar Singapura masakini. Ia telah menghinggapi anak muda kita tanpa sebarang usaha kerajaan Malaysia untuk membenteras merebaknya di Kuala Lumpur, Penang dan Ipoh.
Selama lebih 43 tahun negara merdeka, kerajaan UMNO telah memerintah dengan cara tersendiri mengikut apa yang dikatakan 'acuan sendiri'. Inilah yang digembar-gemburkan oleh Mahathir selama ini. Apa jadinya kini? Kalau kita lalui setiap pintu tol di lebuhraya, kita akan lihat orang lelaki Melayu yang sudah tua-tua duduk terkangkang menjadi pengawal keselamatan. Kebanyakan mereka dulu adalah anggota tentera dan pasukan keselamatan. Mereka menjadi pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar enam ratus ringgit setiap bulan (termasuk gaji lebih masa ataupun 'overtime'). Di dalam setiap pondok pengutip wang terdapat anak-anak muda-mudi yang kebanyakannya berkelulusan SPM dengan gaji sekitar RM1,000 (termasuk overtime). Berapakah kos mendidik setiap anak muda itu sehingga lulus SPM? Apakah pekerjaan yang mereka lakukan itu bersesuaian dengan kelulusan mereka sedangkan mereka sepatutnya dilatih terus menjadi pembantu teknik atau menjadi tenaga kerja bidang teknikal yang amat diperlukan oleh negara. Berlakulah satu sinario di mana sebilangan besar tenaga muda Melayu dibiarkan untuk membuat kerja yang tidak berbentuk kreatif dan mampu membangunkan kewibawaan mereka sebagai tenaga profesional secara bertahap di negara ini. Kepincangan sosial ini dibiarkan berlanjutan selama ini sehinggakan orang Melayu yang lulus SPM tidak mempunyai motivasi memperbaiki diri mereka daripada segi profesionalisme. Itu sebabnya kita lihat ada penjaga get keretapi boleh menjadi exco sebuah kerajaan negeri.
Tetapi, apakah yang Mahathir katakan mengenai anak-anak Melayu di universiti? Dia mudah menuduh anak-anak lelaki Melayu malas belajar, tetapi sebenarnya dialah raja kelentong yang tidak mahukan anak lelaki Melayu berjaya dalam karier mereka. Mahathir dan UMNO lebih mudah melihat anak-anak Melayu mempunyai pekerjaaan yang sederhana untuk terus hidup sederhana dan mudah menagih sabsidi UMNO untuk mengekalkan kuasa para kroni yang sedia ada. Oleh kerana tiadanya suasana berlawan-lawan untuk menaikkan taraf diri di kalangan muda-mudi di zaman ini, terlalu ramai anak Melayu yang mudah puashati dengan pekerjaan 'artisan' yang memberikan gaji bulanan sekitar Satu Ribu Ringgit. Gaji sebanyak ini memang mudah diperolehi dengan bekerja di kilang-kilang bersama dengan tugas lebihan masa yang memang digalakkan. Apakah kerja di kilang itu kalau bukan sebagai line-operator di mana kerjanya hanya baik sikit daripada kerja yang dilakukan oleh robot ciptaan manusia. Apabila kerja di kilang sudah seakan-akan robot, apakah jenis minda yang ada pada para pekerja itu? Alat memutar minda adalah mudah, banyakkan gambar-gambar Hindustan di merata negara, ramailah anak-anak Melayu yang akan terus terjebak dengan khayalan.
Putaran minda merupakan satu agenda besar Mahathir selama ini. Rakyat marhaen disogokkan dengan maklumat songsang bahawa hidup dan mati mereka banyak bergantung kepada kejayaan UMNO. Tetapi, apakah kejayaan UMNO itu? Bank Bumiputra lingkup sebanyak empat kali dan diselamatkan dengan wang rakyat juga. Tetapi orang UMNO dan para kroni yang berhutang bertapuk-tapuk di bank itu tidak pernah didedahkan. Apabila bank lain yang banyak berhutang kepada Bank Bumiputra mampu mengawan dan menguasai Bank Bumiputra itu untuk menjadi Commerce Bumiputra Bank, rakyat turut diam juga. Semua ini disebabkan terlalu banyak maklumat songsang yang dipermudahkan oleh berpuluh akta yang menyekat kebebasan rakyat jelata. Satu ketika dulu Bank Bumiputra lingkup kerana pinjaman yang besar-besar disalurkan ke BMF Hongkong. Anak syarikat Bank Bumiputra itu lingkup kerana mainan orang dalam juga. Seorang juruodit (arwah Abdul Jalil) menjadi mangsa kerana dibunuh oleh pihak yang tidak mahu beliau mendedahkan kerja bajingan itu. Siapakah menteri perdagangan ketika itu dan siapa pula menteri kewangannya?
Tidak lama kemudian, Bangunan Bank Bumiputra di Jalan Melaka terbakar, sebelum ia dijual kepada seorang anak raja. Tidak ada berita di akhbar perdana mengenai kematian kakitangan bank itu dan juga kebakaran dan kehilangan beribu laporan orang yang berhutang kepada bank. Tetapi, ramai pegawai bank yang bekerja di bank itu sedar bahawa sebilangan besar pemiutang bank adalah para kroni dan pemimpin UMNO.
Perbincangan Perpaduan Melayu Yang Membuang Masa
Kini, UMNO dan Mahathir mahukan masalah perpaduan Melayu dibincangkan oleh UMNO dengan PAS dan Keadilan. Semua orang tahu isu ini akan sejuk akhirnya tanpa sebarang perbincangan. Adalah tidak mungkin PAS mahu bertemu Mahathir hanya membincangakan masalah perpaduan Melayu sedangkan wang royalti petroleum yang dibalun oleh UMNO tidak diambil kira sebagai agendanya. Bagaimana pula dengan peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat Barisan Alternatif yang patut diberikan oleh setiap kerajaan negeri? Kalau wakil PAS, DAP dan Keadilan adalah wakil rakyat kenapakah mereka tidak diberikan peruntukan untuk mereka gunakan seperti yang diberikan kepada wakil rakyat Barisan Nasional? Apakah perkara ini tidak mahu dibincangkan oleh PAS dengan Mahathir? Bagaimana pula dengan kisah royalti minyak dan gas yang disedut di Kelantan dan disalurkan ke Thailand? Apakah tidak ada royaltinya?
Mahathir telah mengasah minda orang UMNO terutama sekali yang menganggotai Majlis Tertinggi dan juga mereka yang lebih terkenal sebagai veteran UMNO bahawa perpaduan Melayu sudah tergugat dan perlu diperbetulkan dengan cara berdebat. Tetapi, semua orang tahu bahawa perpaduan Melayu itu dikatakan tergugat kerana orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO. Lantas, UMNO sudah tidak lagi layak dan berhak mencanangkan satu dogengan lama bahawa ialah satu-satunya parti politik yang mewakili orang Melayu. Inilah satu kenyataan yang tidak mahu diperakui oleh Mahathir dan para kroninya. Hakikatnya, UMNO sudah tidak lagi mempunyai mandat mewakili orang Melayu.
Inilah hakikatnya. Orang Melayu sudah muak dengan kepimpinan Mahathir dan para kroni yang berada di kelilingnya. Mahathir akan merombak kabinetnya kali ini dengan mengenepikan beberapa muka lama yang sekian lama sudah menunjukkan kesetiaan mereka kepadanya. Sebagai yang kita ramalkan satu bulan yang lalu, Mahathir berkemungkinan menaikkan taraf Aziz Shamsuddin menjadi menteri penuh dan tengku Adnan sebagai timbalan menteri. Malahan saya juga meramalkan kemungkinan besar salah seorang anak Mahathir akan menonjol dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar pangkatnya.
Mahathir boleh merombak kabinetnya setiap enam bulan sebagai satu alasan untuk memperbaiki keadaan kepimpinannya. Tetapi, dia akan dihantui oleh pelbagai masalah yang tidak ada dalam rancangannya kerana ini adalah hukum karma juga. Bayangkan apa yang berlaku dengan kes perbicaraan beberapa orang yang mencuri cek di tempat berlakunya kemalangan jalanraya yang meragut nyawa isteri Aziz Shamsuddin? Bukankah itu sekeping cek yang dikeluarkan oleh sebuah kilang air mineral? Kenapakah perbicaraan itu tidak disambung semula sedangkan ia ditangguhkan untuk disambung semula pada tahun 2000?
Begitu juga halnya ketika Mahathir menabur fitnah terhadap Anwar Ibrahim. Salah seorang 'patung' dalam episod itu ialah Ummi Hafilda, yang sungguh berani mengaku di mahkamah bahawa beliau seorang gadis sunti yang belum dijamah oleh sesiapa. Kerana keberaniannya itu beliau mampu menuntut ganti rugi yang tinggi daripada tabloid 'Eksklusif' sehinggakan akhbar itu diharamkan, akhirnya. Tetapi apa yang berlaku dua bulan kemudiannya? Seorang jejaka Sarawak bernama Baginda membuat pengakuan bahawa dia pernah tidur sebantal dengan Ummi beberapa bulan sebelum Ummi mengaku yang dia masih sunti lagi?
Pendedahan Ummi mungkin dianggap sebagai satu perkara remeh sahaja. Tetapi, kalau dibuat kajian mendalam ia merupakan satu episod yang memalukan orang Melayu. Ia menggambarkan bagaimana Mahathir sebagai pemimpin dan presiden UMNO sanggup merendahkan dirinya bersekongkol dengan orang-orang bawahan yang haprak untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang popular di hati rakyat jelata. Oleh kerana Mahathir sanggup bersekongkol dengan manusia kelas 'hampeh' begitu makanya kita lihat banyak rancangan Mahathir untuk 'memajukan negara melalui pembikinan projek mega' dilakukannya dengan usahawan kelas 'hampeh' juga. Pesekongkolan Mahathir dengan peniaga Cina yang tidak ada kelas dan dianggap berkualiti oleh masyarakat Cina sebenarnya menjadi bahan ketawa dunia perniagaan Cina antarabangsa. Sekaligus, Mahathir juga menjadi bahan ketawa dunia maju seantero dunia. Tetapi, Mahathir amat memerlukan kumpulan haprak semacam itu dan kumpulan ini yang saya sebut sebagai 'KEJAM' adalah penyumbang kepada kepimpinan Mahathir yang mencelaru selama ini. Yang paling merana kerana kedurjanaan Mahathir itu adalah orang Melayu juga.
Orang Melayu sudah memberikan Mahathir lebih dua puluh tahun untuk memimpin bangsanya. Tidak ada satu pun projek mega Mahathir yang boleh diberikan keiktirafan sebagai betul-betul sudah berjaya. Hampir semuanya gagal jika dilakukan 'comparative studies' akan setiap projek itu mengikut hukum-hukum kesesuaiannya dalam konteks menguntungkan rakyat marhaen. Sebagai seorang pemikir memang ada kalanya Mahathir sedar bahawa banyak projeknya itu adalah projek pembaziran wang rakyat jelata. Tetapi disebabkan kerakusannya untuk membalun harta negara bagi kepentingan sukusakat, kroni dan kolusinya, Mahathir sanggup menderhaka kepada rakyat marhaen terutama sekali kepada orang Melayu.
Kegagalan yang dicapai dalam melaksanaan projek mega itu telah meruntunkan hampir semua institusi kerajaan sehinggakan institusi itu diperibadikan oleh Mahathir dan jatuh merudum martabatnya. Kini, institusi haprak itu memerlukan satu jangka masa yang panjang untuk dipulihkan. Semua institusi itu sudah dihantui oleh budaya rasuah yang tinggi dan dianggotai pegawai kerajaan yang terpesong mindanya disebabkan terlalu taksub terhadap Mahathir. Sekaligus mereka pun sudah menjadi manusia yang berhati syaitan mengikut rentak yang diputarbelitkan oleh si diktator tua itu.
Sekarang, Mahathir mahu membincangkan isu perpaduan Melayu. Di waktu yang sama dia mahu debat di antara Mahfuz Omar dan Hishamuddin Husin dibatalkan. Sepatutnya, kalau Mahathir betul-betul ikhlas dengan perpaduan Melayu (yang tidak pun merunsingkan masyarakat Melayu), dia seharusnya menggalakkan debat terbuka di antara Mahfuz dengan Hishamuddin dengan dikongsi sama oleh beberapa pemimpin muda negara ini yang lainnya. Inilah masanya Mahathir memberi peluang kepada pemimpin pelapis dalam UMNO untuk menonjolkan kewibawaan mereka. Apa salahnya meonojolkan Hisham berdebat dengan Mahfuz? Kenapa tidak ditaja pula debat di antara Ezam dengan Gopalakrishna dan Tian Chua dan wakil Suqui dengan Abdul Aziz Sikh Fadir? Apa salahnya menyuruh Aziz Shamsuddin berdebat dengan mereka? Kalau Mahathir betul-betul ikhlas mahukan perpaduan Melayu dibincangkan, eloklah berikan peluang dan ruang yang luas kepada semua pemimpin muda di negara ini berdialog mengenainya. Kenapa tidak diadakan satu majlis berbentuk 'round-table' berkonsepkan 'roundabout' di mana pemimpin muda mudi negara membincangkan isu perpaduan Melayu itu secara bergilir-gilir di kampus universiti dengan rakaman dibuat untuk tontotan TV?
Alangkah pelik dalam isu perpaduan Melayu kali ini Mahathir beria-ia sangat mahu berbincang dengan presiden PAS dan Keadilan. Kenapakah dia tidak proksikan tugas itu kepada para pemimpin pergerakan Pemuda dan Putri UMNO untuk berdebat dengan pemimpin muda Barisan Alternatif? Bukankah kesan perdebatan di kalangan pemimpin pelapis itu nanti membawa kesan yang lebih besar, kerana mereka nanti yang akan mewarisi penerajuan kepimpinan negara? Apakah muslihat tindakan Mahathir itu sedangkan dalam usaha memusnahkan maruah Anwar dan keluarganya dulu dia banyak menggunakan proksi di beberapa penjuru episod pengaiban itu?
Tidak ada insan yang waras fikirannya yang sanggup memperakui ketulusan Mahathir dalam membincangkan isu perpaduan Melayu. Yang pertama, apa yang dikatakan pepecahan perpaduan itu memang tidak diperakui oleh majoriti masyarakat Melayu. Yang kedua, rakyat marhaen sedar bahawa kalau perpaduan Melayu mahu didebatkan secara terbuka ia mesti mengambil kira pendapat kaum lain juga; kerana perpaduan Melayu adalah teras perpaduan rakyat Malaysia. Yang ketiga, Mahathir sudah tidak relevan lagi dalam kepimpinan negara. Sebilangan besar rakyat marhaen sudah meramalkan bahawa Mahathir tidak akan dapat bertahan lama lagi. Dia tidak mungkin dapat bertahan menjelang ulangtahun kemerdekaan di tahun 2001 ini. Yang keempat, rakyat marhaen memang sedar bahawa Mahathir memang tidak jujur dengan tugasnya. Kerana itu kalau dia mahu membincangkan perpaduan orang Melayu adalah lebik logik jika peranan itu didebatkan oleh para pemimpin muda negara ini kerana mereka nanti yang akan melaksanakan tugas memerintah negara di milineum baru ini.
Memang, Mahathir sudah lama tahu betapa rakyat marhaen mahukan dia mengundurkan dirinya. Dia cuba menggapai apa juga isu yang dapat digunakan untuk mengekalkan kuasanya. Itulah kesan terlalu pelahap ketika masih mempunyai kuasa. Kini, kuasa itu adalah satu ilusi yang menghenyak egonya sahaja. Ego yang menggunung besarnya, apabila meruntun disebabkan kegagalan pelbagai projek mega memang mencetuskan pelbagai bentuk kehampaan, terutama di saat usia yang sudah maghrib dan otot-otot yang mudah kekejangan. Mahathir tidak lagi mampu memperbetulkan ego yang tercemar itu, selain melakukan kerja-kerja bajingan yang bertujuan menyelamatkan apa yang dia fikir boleh diselamatkan. Rakyat marhaen tahu Mahathir sudah nyanyok dan mamai. Mereka membiarkan saja kelakuannya itu. Sehingga satu masa yang semakin terdekat apabila mereka bertindak untuk memberitahunya apakah lagi yang dia mahu untuk terus bernyawa - tidak semestinya untuk terus berkuasa.
-marhaintua-
12.1.2001