Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Elok dan biar Melayu berpecah

Khalid Jaafar

Saya tidak mengerti mengapa perpaduan begitu ditonjolkan sebagai satu matlamat yang murni. Seolah-olah tidak ada yang lebih penting daripada perpaduan. Segala-galanya harus diketepikan untuk mencapai perpaduan.

Pada hakikatnya perpaduan bukanlah tujuan yang mutlak. Bergantung pada keadaan tertentu, perpaduan boleh jadi berguna, boleh jadi tidak berguna. Bahkan ada masanya ia membawa bahaya. Kalau perpaduan tersebut bertujuan menghapuskan rasuah, mendesak agar kebebasan kehakiman dipulihkan semula, ia sudah tentu baik.

Tetapi kalau perpaduan untuk membantu diktator yang bakal tumbang supaya kembali bertenaga, ia sudah tentu tidak berguna. Kalau perpaduan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan kaum bukan Melayu, ia sudah tentu berbahaya.

Kadangkala perpecahan itu tidak dapat dielakkan. Seperti perceraian, ia suatu yang paling dibenci tetapi kalau pasangan suami isteri tersebut hidup seperti dalam neraka, maka lebih baik bercerai. Bukanlah matlamat tersebut untuk mencapai perpecahan tetapi dalam proses untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, perpecahan terpaksa berlaku.

Seseorang yang mengkaji sejarah tentu sedar bahawa kalau tidak ada perpecahan, mungkin tidak akan muncul nasionalisme Melayu. Nasionalisme Melayu mula muncul dengan perpecahan di kalangan umat iaitu munculnya perbezaan antara Kaum Muda dan Kaum Tua.

Kaum Muda adalah golongan ulama muda yang ingin membawa reformasi (istilah ketika itu ialah islah) di kalangan umat Melayu. Mereka dipengaruhi pemikiran-pemikiran pembaharuan yang dibawa oleh reformis seperti Jamaludin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

Mereka menganjurkan pintu ijtihad dibuka semula agar pemikiran umat menjadi dinamis, tidak beku atau jumud; justeru itu dapat menangani segala masalah baru yang muncul dengan kedatangan zaman moden. Mereka juga menganjurkan segala khurafat dan bid’ah dibanteras dan menyeru umat supaya kembali kepada al-Quran dan sunnah.

Di satu pihak yang lain, Kaum Tua mempertahankan taklid, iaitu mengikut sahaja segala pendapat imam mazhab-mazhab yang lalu. Segala masalah telah diselesaikan oleh imam-imam besar ini. Tidak mungkin akan muncul ulama yang boleh menyaingi kepintaran Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafie atau Imam Ahmad Hambal. Pintu ijtihad telah ditutup.

Cengkaman sikap dan pemikiran Kaum Tua begitu kuat kerana jawatan mufti, kadi dan imam di kampung-kampung dikuasai oleh mereka sehingga Kaum Muda terpaksa berhempas-pulas untuk memecahkan kejumudan tersebut.

Idea baru sentiasa ditentang

Berlaku perdebatan dan polemik antara dua golongan ini. Saya yakin dalam polemik -polemik tersebut ada banyak sumbangan positif, ada juga yang negatif dan tentunya yang remeh.

Namun begitu buat pertama kalinya umat Melayu terdedah kepada pemikiran baru. Dari segi sosial, pertembungan antara pemikiran baru dengan pemikiran lama tersebut menyebabkan berlaku pulau-memulau. Di kampung-kampung, ada masjid dan surau Kaum Muda dan ada masjid dan surau Kaum Tua.

Dalam mana-mana masyarakat sekalipun idea-idea baru akan ditentang oleh golongan lama. Akan berlaku pertentangan antara pemikiran baru dengan pemikiran lama. Pertentangan ini sering mempunyai dimensi sosial dan politik terutamanya apabila idea-idea tersebut mencabar pengaruh atau kepentingan golongan yang berkuasa.

Inilah yang berlaku apabila Galileo mengemukakan teori kosmologi yang berpusatkan matahari. Beliau ditentang oleh pihak gereja yang berpegang pada teori kosmologi yang berpusatkan bumi. Berlaku pertentangan antara sains dengan gereja di Eropah.

Dan pertentangan ini merupakan peristiwa yang amat penting bukan sahaja dalam sejarah Eropah tetapi juga dalam sejarah umat manusia. Ia merupakan satu batu tanda dalam sejarah kemajuan pemikiran manusia. Jika tidak berlaku perpecahan dan pertentangan tersebut, tidak akan muncul zaman moden.

Memang perpecahan dan persaingan pendapat akan menyebabkan ketegangan. Kestabilan dan ketenangan akan tergugat. Tetapi masyarakat yang terlalu mementingkan kestabilan dan ketenteraman akan menjadi jumud dan beku. Masyarakat yang meletakkan perpaduan sebagai matlamat nombor satu selalunya tidak mencipta sejarah.

Masyarakat tersebut tidak punya sumbangan terhadap kemajuan umat manusia. Masyarakat tersebut akan dilupakan kerana ia adalah masyarakat yang sedang tidur dan dibuai mimpi. Apabila berlaku pertentangan dan perpecahan, mata dunia akan mula memandang kepadanya kerana ia adalah tanda masyarakat tersebut telah bangun daripada tidur.

Mengapa Itali abad ke-15 begitu dikagumi? Ia bukanlah sebuah negara yang bersatu-padu. Bahkan negara itu penuh konflik dan pertentangan. Dengan konflik dan pertentangan tersebut, muncul idea-idea baru, muncul humanisme yang mencipta zaman - dikenali Renaissance. Tenaga kreatif keluar mencurah-curah. Tidak pernahdisaksikan ledakan kreatif seperti itu.

Leornado da Vinci, Michealangelo mencipta revolusi dalam bidang seni dan cita rasa aestetika, Michiavelli membawa pembaharuan dalam sains politik, Dante mengangkat loghat daerah, loghat Itali, tatkala masyarakat menggunakan bahasa Latin, untuk menghasilkan syair agung Comedia Divina.

Umno antikemajuan berfikir

Dalam sejarah Islam, zaman tamadun Islam paling produktif dan paling banyak memberikan sumbangan terhadap umat manusia ialah tatkala umat Islam penuh dengan konflik dan pertentangan. Konflik antara golongan Mu’tazilah dan Ahli Sunnah wal Jamaah, konflik antara al-Ghazali daripada mazhab kalam dengan Ibn Sina yang mewakili mazhab falsafah bukan sahaja penting dalam sejarah umat Islam tetapi juga penting dalam sejarah dunia.

Umat Islam tidak lemah dengan pertentangan ini, sebaliknya pemikirannya menjadi maju. Pemikiran-pemikiran ini kemudiannya amat berpengaruh di Eropah. Umat Islam mundur apabila pintu ijtihad ditutup, tidak ada lagi pemikiran baru dan tidak ada yang bertentangan.

Apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Umno dan media massa arus utama mencanangkan perpaduan Melayu dan mengetepikan segala isu lain seperti rasuah, demokrasi, kebebasan institusi kehakiman, mereka ini sebenarnya ingin membantutkan kemajuan fikiran umat Melayu.

Kerana terlalu kepingin untuk bersemuka dengan PAS, pucuk pimpinan Umno membatalkan debat antara Hishammuddin Hussein dan Mahfuz Omar.

Jelas Umno antikemajuan berfikir. Mana ada masyarakat yang boleh maju tanpa perdebatan. Dengan ketidaksediaannya untuk berdebat, jelas betapa jauhnya Umno telah mundur kebelakang dari segi pemikiran politik.

Perdebatan bukanlah perkara baru di Malaysia. Dalam tahun 1969, berlaku perdebatan terbuka mengenai kebudayaan antara parti Gerakan dengan DAP. Gerakan diwakili oleh Dr Syed Naguib al-Attas dan DAP diwakili oleh Lim Kit Siang.

Universiti sering menganjurkan debat antara pemimpin-pemimpin politik dari parti kerajaan dan pembangkang. Bahkan penulis ketika menjadi pemimpin pelajar di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) pernah menganjurkan debat tiga penjuru antara Ketua Penuda Umno (waktu itu Suhaimi Kamarudin), Ketua Pemuda PAS (Mustafa Ali) dan wartawan (Subky Latif).

Suhaimi tidak perlu merujuk Presiden Umno waktu itu Tun Hussein Onn (bapa Hishammuddin) untuk berdebat dengan Mustafa. Bahkan debat di universiti-universiti pada zaman itu begitu lumrah.

Walhasil jika umat Melayu ingin terus maju, ia harus menerima perpecahan sebagai suatu realiti yang tidak dapat dielakan. Ia adalah asam garam kemajuan. Persoalannya adalah, bagaimana untuk menguruskan perpecahan tersebut.

Islam meletakkan prinsip toleransi sebagai prinsip untuk menangani perbedaan dan perpecahan agar tidak berlaku zalim-menzalimi, tindas-menindas khususnya daripada golongan majoriti terhadap golongan yang menganut fahaman minoriti.

Ketegangan kreatif prasyarat kemajuan

Ataupun, jangan terjadi golongan yang pandangannya mendapat sokongan pemerintah boleh menggunakan kuasa rasmi itu untuk menghapuskan fahaman atau aliran pemikiran yang menjadi saingannya.

Keadaan ini berlaku pada zaman Maharaja Cina yang pertama, Shih Huang Ti. Perdana Menteri beliau dipengaruhi oleh faham legalis (faham hukum) yang mendapat saingan daripada aliran pemikiran Kung Fu Tze.

Shih Huang Ti, orang pertama yang menyatukan Cina, dihantui oleh cita-cita untuk menyatupadukan Cina, bukan sahaja dari segi wilayah tetapi juga dari segi pemikiran kerana perpecahan dalam pemikiran juga akan menyebabkan perpecahan wilayah.

Maka beliau mengarahkan semua buku ajaran Kung Fu Tze dibakar dan 400 sarjananya ditanam hidup-hidup.

Dalam sejarah pemikiran moden, Alexis de Tocqueville mengemukan konsep “tyranny of the majority,” kecenderungan golongan terbanyak untuk menindas golongan minoriti. Justeru itu demokrasi yang telah matang mempertahankan dan melindungi pendapat dan hak golongan minoriti.

Golongan majoriti, sebesar mana jumlahnya sekalipun, tidak punya hak untuk menindas golongan minoriti, menggugat hak asasi, hak politik dan hak kebudayaan mereka.

Perpecahan yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan persaingan positif antara parti-parti politik. Perkembangan ini baik untuk demokrasi, kemajuan berfikir, dan kreativiti bukan sahaja di kalangan umat Melayu bahkan juga seluruh rakyat Malaysia.

Memang ada ketegangan, tetapi ia adalah ketegangan kreatif yang merupakan prasyarat kemajuan. Mereka yang bingung dengan perpecahan sekarang adalah orang jumud kerana mereka menghadapi kesukaran untuk menanganinya. Mereka gagal melihat apa-apa yang positif daripada perpecahan ini.

Tetapi 20 tahun dari sekarang, generasi baru Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa zaman perpecahan yang dilalui sekarang adalah titik peralihan kepada “the making of Malaysian manhood” - pembentukan Malaysia sebagai satu bangsa yang yakin dan berani, bangsa yang berani bertentang mata dengan kebenaran dan hakikat, bangsa yang telah memerdekakan dirinya daripada ketakutan, momokan dan mitos.

Petikan Malaysiakini.com

--------------------------------------------------------------------------------
KHALID JAAFAR adalah Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Dasar (IKD). Beliau pernah bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selama lebih 10 tahun dan kini mengendalikan risalah rasmi parti, Berita Keadilan.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 17 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com