Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


EEEE!

Kepada anda yang tinggal di Lembah Kelang, anda mungkin sudah nampak papan tanda baru didirikan disekitar Lembah Kelang. Ia berbunyi begini

Ke arah MESRA RAKYAT

melalui “4E”

“Educated” Efisyen Efektif Elektronik

Terdapat gambar diktator tua disebelah kiri dan budak hingusan MB Selangor Khir Toyo disebelah kanan. Ada enam kanak-kanak kecil dan empat orang dewasa yang terdiri daripada pelbagai kaum. Gambar-gambar seperti masjid besar, LRT, komputer, litar F1 Sepang dan lain-lain juga dimuatkan dalam papan tanda itu.

Satu kesalahan ketara dalam papan tanda ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk. Memang jelas Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia digunakan dalam papan tanda ini. Amat menyedihkan pihak kerajaan tidak bersungguh-sungguh dan memandang remeh mengenai bahasa kebangsaan. Demi untuk memenuhi “4E”, perkataan bahasa Inggeris iaitu “ Educated” digunakan. Walaupun simbol “ ” digunakan untuk menunjukkan perkataan itu bukan perkataan bahasa Malaysia namun saya rasa agak janggal dalam hal ini.

Bagaimana kerajaan mahu memberi teladan atau contoh kepada rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar sekolah tentang penggunaan bahasa yang betul. Ia akan memberi gambaran kepada kita bahawa penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris dibenarkan oleh kerajaan. Saya merujuk perkataan – perkataan seperti efisyen, efektif dan elektronik dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga Cetakan Keempat 1998. Perkataan atau ejaan Efisyen sepatutnya ialah efisien sebagaimana terdapat dalam Kamus Dewan. Perkataan-perkataan efektif dan elektronik memang ada dalam kamus.

Satu persoalan yang saya ingin kemukakan ialah perkataan-perkataan seperti efisyen atau efisien dan efektif adalah perkataan-perkataan pinjaman dari bahasa Inggeris iaitu Efficient dan Effective. Kenapa perkataan-perkataan yang lebih sesuai iaitu cekap dan berkesan tidak digunakan? Kenapa nak gunakan perkataan pinjaman dari Bahasa Inggeris? Adakah bunyi sebutan perkataan-perkataan Bahasa Inggeris lebih sedap didengar dan bersifat canggih? Semata-mata hendak gunakan pendekatan “4E” supaya lebih senang diingat, penggunaan bahasa Malaysia diperlekehkan. Tiada semestinya urutan huruf-huruf seperti E digunakan.

Tambahan pula penggunaan bahasa yang tidak betul digunakan pada papan tanda iklan kedai-kedai perniagaan. Kenapa Majlis Daerah/Perbandaran/Bandar Raya boleh meluluskan papan tanda kedai ini yang menampakkan kesalahan tatabahasa yang serius berlaku? Sering kali kita terdengar penggunaan bahasa Inggeris dalam filem dan drama Melayu. Kenapa perkataan-perkataan bahasa Inggeris hendak diselitkan dalam skrip? Adakah filem dan drama Melayu nampak ada kelas dan ada oomphhhh kalau ada bahasa Inggeris digunakan? Nampaknya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memelihara dan mengembangkan penggunaan Bahasa Malaysia hanyalah dijadikan sebagai tunggul dalam hal ini. Adakah kerajaan merujuk kepada DBP tentang penggunaan tatabahasa dan ejaan yang betul? DBP sendiri pun tidak serius dalam memelihara dan mengembangkan bahasa Malaysia yang mempunyai keindahan dan keunikan yang tersendiri. Bagaimana kerajaan hendak menggalakkan orang ramai terutamanya kaum bukan Melayu menggunakan bahasa Malaysia sedangkan kerajaan sendiri tidak berusaha menggunakannya dengan cara yang betul? Lebih memalukan kesilapan papan tanda ini dipaparkan dalam suratkhabar bahasa Inggeris.

LTL


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com