Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Umno sudah tidak layak mewakili orang Melayu/bumiputera

Saya tidak bersetuju dengan pendapat Pak Lah yang mengatakan 7 rayuan sensitif diketepikan oleh Suqiu adalah “Victory for all Malaysians”. Pada pandangan Umno ia adalah kemenangan parti itu yang sedikit sebanyak dapat memulihkan imej yang tercalar dengan menjadi hero kaum bumiputera tetapi adakah pengenepian 7 rayuan sensitf memberi kemenangan/keuntungan kepada kaum Bumiputera? Bagi saya tiada apa yang hendak dibanggakan oleh Umno. Apa yang Umno katakan parti itu memperjuangkan atau membela nasib kaum Melayu adalah satu omong-omong kosong. Dengan pengenepian 7 rayuan sensitif, adakah Umno benar-benar mempertahankan atau memperjuangkan hak-hak istimewa mereka? Dukacita dimaklumkan bahawa Umnolah yang musnahkan bangsa Melayu. Oleh itu Umno diminta jangan salahkan kaum Cina sebagai kaum ekstremis dan meminta berbagai-bagai tuntutan yang bukan-bukan. Umno harus salahkan diri sendiri.

Perlaksanaan DEB, DPN dan hak-hak istimewa diberikan kepada kaum Bumiputera adalah satu langkah yang baik untuk memajukan kaum Bumiputera dalam pelbagai aspek tetapi apa yang menyedihkan buat kaum Bumiputera ialah dasar ini telah disalahgunakan oleh Umno untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga dan kroni-kroni kenalan rapat Umno. Akhirnya ramai kaum bumiputera yang sangat-sangat mengharapkan bantuan daripada kerajaan meneropong kerana mereka tidak mendapat faedah dari dasar DEB mahupun DPN.

Saya mahu Umno menjawab persoalan-persoalan dengan hati yang ikhlas dibawah. Apakah yang terjadi kepada tanah rizab milik kaum Melayu? Siapa yang menjual tanah rizab milik orang Melayu kepada kroni-kroni? Tanah rizab kaum Melayu dijual atas alasan pembangunan. Apakah faedah yang diperolehi oleh pemilik tanah? Yang mendapat keuntungan ialah penjual dan pembeli sahaja. Tanah dijual dengan harga yang murah dan kemungkinan besar akan dijual dengan harga yang lebih tinggi. Akhirnya banyak tanah rizab kaum Melayu tergadai atas kerakusan golongan tertentu mencari kekayaan. Oleh itu diminta Umno jangan menuduh kaum Cina yang mahu membolot kekayaan untuk kaum mereka sahaja. Apa yang sebenarnya berlaku, Umnolah yang bolot semua kekayaan untuk kepentingan golongan tertentu sahaja. Mengata orang diri sendiri yang lebih.

Apakah yang terjadi kepada bahasa kebangsaan? Nampaknya Umno, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak bersungguh-sungguh mahu memelihara dan mengembangkan bahasa Melayu. Apakah yang telah berlaku kepada drama dan filem Melayu? Skripnya berpandukan kepada bahasa rojak. Begitu juga dengan Majlis Daerah/Perbandaran/Bandar Raya yang tidak mengendahkan papan iklan kedai-kedai perniagaan yang tidak menggunakan tatabahasa yang betul dan dicampuradukkan dengan Bahasa Inggeris. Kalau keadaan ini terus dibiarkan berlaku, identiti bahasa Melayu yang mempunyai keunikan dan keindahan bahasa yang tersendiri akan lama kelamaan akan terhapus.

Apakah yang terjadi kepada rakyat negeri Terengganu dibawah bekas pemerintahan Barisan Nasional sebelum diambil alih oleh Pas? Kenapa Terengganu boleh jadi negeri yang kedua termiskin sedangkan berbillion-billion wang royalti telah diterima daripada Petronas? Bukan sahaja ramai rakyat negeri Terngganu yang masih miskin tetapi yang sangat mengecewakan ialah kerajaan BN berhutang RM 700 juta. Kemana wang royalti telah dibelanjakan dan kenapa kerajaan BN boleh berhutang sedangkan duit royalti yang diterima memang sudah cukup untuk menampung segala perbelanjaan yang diperlukan? Bukan sahaja cukup tetapi lebih daripada mencukupi. Sehingga kini diktator tua tidak berani mengulas hal yang memalukan ini. Inilah gara-gara Umno yang kononnya membela bangsa Melayu tetapi hakikatnya bangsa Melayu yang mengalami berbagai kesusahan akibat kerakusan dan pemimpin-pemimpin Umno yang hanya tahu jaga sendiri.

Persoalan-persoalan di atas telah dikemukakan banyak kali tetapi tidak menghairankan sampai hari ni Umno membisu dan tidak berani menjawab persoalan-persoalan di atas. Pemuda Umno berani berlagak jantan dihadapan Suqiu mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu tetapi pada hakikatnya Umno telah gagal menjaga kepentingan orang Melayu/Bumiputera. Amat memalukan Umno tanpa segan silu menyalahkan kaum lain yang didakwa ingin mencabar, menguasai dan membolot kekayaan tetapi pada hakikatnya Umno lebih hina lebih teruk kerana secara terang-terangan memunggah kekayaan untuk kepentingan diri sendiri. Siang-siang lagi orang Melayu sudah menolak Umno dan Umno bermimpi siang agaknya mahu eratkan perpaduan Melayu dan kaum-kaum yang lain. Umno sudah tidak layak lagi mewakili kaum Melayu.

LTL


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com