Secara sedar atau tidak, sejak kebelakangan ini Umno@BN kelihatan begitu bersungguh-sungguh sekali untuk menghidupkan konsep dasar pecah dan perintah (divide and rule). Umno, MCA dan MIC sedar perhimpunan rakyat 100,000 di Jalan Kebun dan kemenangan BA di Lunas telah memberi satu mesej yang amat jelas kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa rakyat telah menolak konsep dasar pecah dan perintah yang berasaskan kepada politik perkauman sempit. Rakyat telah mula menerima parti politik yang dianggotai oleh pelbagai kaum seperti DAP, parti Keadilan, PRM malah Pas pun menunjukkan perjuangan parti itu yang bersifat kesederhanaan.
Rakyat marhain memilih BA yang berkonsepkan REFORMASI yang memperjuangkan ketuanan rakyat, keadilan, hak asasi manusia, ketelusan, kemakmuran, perpaduan, demokratik dan liberal. Ini amat berlainan dengan kerajaan Barisan Nasional yang bergantung kepada politik perkauman untuk terus berkuasa sudah menampakkan parti itu makin lama makin tidak disukai atau diterima oleh rakyat marhain. Perjuangan BN sudah tidak lagi sesuai untuk rakyat yang mempunyai daya pemikiran yang makin tajam, sedar mengenai hak asasi manusia dan inginkan sebuah negara yang bebas dari rasuah, kronisme dan nepotisme. Ditambah pula kerajaan Barisan Nasional yang mempunyai banyak kelemahan dan kepincangan sudah tidak relevan lagi buat rakyat Malaysia.
Senario ini sudah tentu amat menggerunkan buat Mahathir. Mahathir sudah tentu gelabah habis apabila dia melihat parti BN sudah tidak diterima oleh rakyat Marhain. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan memberi ancaman kepada Umno dan dirinya sendiri. Maka dia perlu cari jalan bagaimana nak hidupkan dasar pemerintahannya yang berbentuk politik perkauman supaya tidak ditelan dek zaman. Secara sedar atau tidak, sudah ada pelbagai cara sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan BN untuk mengekalkan pemerintahan dasar pecah dan perintah.
Perjanjian kontrak sosial yang diwar-warkan oleh Mahathir memberitahu secara tidak langsung kepada kaum Cina khasnya supaya menghormati perjanjian itu. Dengan perkataan lain, kaum Cina dikehendaki memperakui konsep ketuanan Melayu masih lagi wujud dan utuh. Kepada kaum Melayu pula, ketuanan Melayu merupakan satu alat yang berkesan yang digunakan oleh Mahathir untuk menakut-nakutkan kaum Melayu mengenai bahayanya dominan bangsa Melayu yang dikhuatiri akan diambil alih oleh kaum Cina. Dengan demikian, inilah hasrat Mahathir yang mahu melihat kaum Melayu dan kaum Cina akan terus saling membenci dan ragu meragui diantara satu sama lain. Sangat menyedihkan perbuatan Mahathir lebih hina daripada British yang memperkenalkan konsep dasar pecah dan perintah.
Dalam ucapan Tahun Baru, Mahathir mempergunakan perpaduan dan kestabilan negara untuk mengabui rakyat Malaysia supaya mengamalkan cara hidup yang harmoni dan bertolak ansur. Melalui mesin propaganda, temubual dan pendapat orang ramai, pemimpin-pemimpin kerajaan dan NGO diperheboh-hebohkan oleh kerajaan yang memberitahu kepada kita, rata-rata rakyat mahukan keamanan. Apa yang sebenarnya berlaku ialah rakyat mahukan perubahan dari pelbagai aspek tetapi ia tidak disenangi oleh Mahathir. Perhimpunan rakyat 100,000 dan rayuan Suqiu yang berlandaskan reformasi tidak bermaksud rakyat tidak sukakan perpaduan. Mahathir mahu kita menolak sebarang usaha BA dan Suqiu yang mahukan perubahan (REFORMASI) kononnya boleh menjejaskan kemajuan dan kestabilan negara. Akhirnya, apa yang Mahathir mahu ialah rakyat marhain terus sokong BN. Dengan terus sokong BN, kedudukan Mahathir akan selamat dan ini merupakan cara licik Mahathir untuk mengugut rakyat mengenai bahayanya perpecahan kaum. Sekali lagi, politik perkauman sempit digunakan oleh Mahathir untuk menjaga kepentingan diri sendiri dan menyelamatkan parti Barisan Nasional.
Pilihanraya kecil Lunas memberi amaran kepada BN bahawa parti itu tidak boleh mendabik dada menjelang pilihanraya negeri Sarawak. Mahathir memang risau dan gelabah kerana tidak mustahil negeri Sarawak boleh jatuh ketangan BA. Lihat sajalah Lunas, kubu kuat BN sejak merdeka dan siapa sangka kubu kuat itu akhirnya boleh jatuh ketangan BA. Sudah tentu ia akan merisaukan lagi Mahathir yang memang bimbang Sarawak akan mengalami nasib yang sama seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Jika Barisan Nasional mengamalkan dasar pecah dan perintah dan BA pula mengamalkan dasar ketuanan rakyat, ia akan memberi kelebihan kepada BA. Mahathir perlu buat sesuatu bagaimana mahu mengelakkan Sarawak menerima nasib yang sama seperti Lunas. Dengan perkataan lain apakah cara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan rakyat Sarawak memilih BA.
Saya berpendapat, usaha Mahathir untuk mengajak Pas dan Parti Keadilan untuk membincangkan perpaduan Melayu ada kena mengena dengan pilihan raya negeri Sarawak. Mungkin perbincangan perpaduan Melayu akan diputarbelitkan oleh BN sebagai propaganda dalam pilihanraya Sarawak. Pada pandangan Chandra Muzaffar, rundingan yang dihadiri oleh parti politik adalah parti politik yang mewakili kaum Melayu mungkin menimbulkan syak wasangka, keraguan, tidak selamat atau selesa kepada pengundi Cina Sarawak terhadap parti Keadilan. Hal ini juga digunakan untuk mengalih pandangan yang melibatkan isu-isu yang berkaitan dengan orang Cina kerana kita tahu sokongan orang Cina kepada BA semakin kuat dan bertambah. Memang licik Mahathir menggunakan cara ini untuk menakut-nakutkan orang Cina. Disamping itu BA mungkin dituduh tidak mahu menyatukan orang Melayu, tidak memperjuangkan reformasi dan ketuanan rakyat dalam erti kata yang sebenar.
Taktik menakut-nakutkan kaum-kaum tertentu, ugut-mengugut dan benci-membenci sering digunakan oleh Mahathir dalam amalan pecah dan perintah. Dia tidak akan teragak-agak gunakan taktik kotor jika dia rasakan kedudukannya terancam. Inilah taktik yang mungkin digunakan oleh Mahathir untuk mengabui rakyat Sarawak bahawa BA sama sahaja dengan BN, mengamalkan dasar politik perkauman yang berasaskan kepada kaum-kaum tertentu, mempunyai agenda terselindung dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Oleh itu Mahathir berharap rakyat Sarawak akan terus menyokong BN kerana tidak dapat melihat BA adalah alternatif terbaik kepada BN. Dengan terus memberi sokongan kepada BN, kekuasaan BN dan dasar pecah dan perintah akan terus dapat dipelihara.
Mujur parti Keadilan bijak berfikir dan saya bersetuju dengan pendapat Dr Chandra Muzaffar, rundingan perpaduan Melayu kemungkinan akan menimbulkan prasangka dan keraguan kepada ahli parti Keadilan yang bukan Melayu.. Keputusan parti Keadilan untuk menolak cadangan Umno mengenai rundingan perpaduan Melayu adalah satu keputusan yang sangat bijak dengan mengambil kira pendapat ahli dan asas perjuangan parti itu. Sudah tentu Mahathir kecewa kerana dia mahu melihat perpecahan dan syak wasangka berlaku dalam parti Keadilan yang akan menjejaskan usaha parti itu berjaya dalam pilihanraya Sarawak tidak kesampaian.
Dukacita dimaklumkan kepada Mahathir, saat-saat terakhir sebagai Presiden Umno dan PM semakin dirasai. Dia hanya menunggu detik dan ketika untuk menerima nasib yang sama seperti diktator-diktator diserata dunia yang telah dijatuhkan oleh kuasa rakyat (people power). Arus kebangkitan rakyat tidak akan dapat dibendung oleh Mahathir. Rakyat marhain semakin bijak dan berani menuntut apa yang mereka kehendaki. Kegagalan Mahathir dan BN adalah disebabkan mereka tidak mahu mendengar kehendak dan keluhan rakyat iaitu rakyat marhain mahu MAHATHIR PEMIMPIN KORUP SEGERA BERUNDUR. Rakyat sudah menolak politik perkauman dan Mahathir akan hanyut bersama dengan amalan dasar pecah dan perintah yang hanya menguntungkan dirinya sendiri. Dasar pecah dan perintah sudah outdated dan tidak sesuai lagi di zaman moden yang semakin mencabar. Demi menjaga kepentingan diri sendiri, keluarga dan kroni-kroni, Mahathir tidak sanggup melakukan perubahan dan masih menggunakan dasar pemerintahannya yang kuno.
LTL