Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Wajarkah Telekom membeli JARING?

Minggu lepas kita semua dikejutkan dengan berita tentang ura-ura pembelian JARING - sebuah syarikat Internet Service Provider (ISP) yang pertama di Malaysia. Berbagai reaksi telah dikemukakan mengenai hal tersebut oleh banyak pihak termasuk dari Menteri Tenaga Komunikasi & Multimedia sendiri Datuk Leo Moggie. Dalam menjawab soalan wartawan yang disiarkan pada sebelah malamnya di TV3, beliau menyatakan bahawa pembelian JARING tidak akan mewujudkan monopoli dalam industri internet negara kerana pengguna masih mempunyai pilihan lain untuk memilih syarikat-syarikat ISP lain seperti MaxisNet dan TimeNet. Bagi saya ini adalah pendapat yang cukup dangkal.

Perlu kita ketahui, berbeza dengan syarikat ISP yang lain, JARING adalah satu-satunya ISP yang bukan dari syarikat telekomunikasi. Ini bermakna, JARING tidak mempunyai infrastruktur pengkabelannya nya sendiri. Oleh itu hampir 100% operasi JARING adalah di atas infrastruktur Telekom. Namun begitu, bayaran 'telco' dan tariff Telekom pada JARING sebetulnya begitu tinggi. Inilah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh JARING selama ini. Inilah juga masalah yang dihadapi oleh ISP yang lain. Telekom sebetulnya seperti diberikan 'telur emas' apabila wujudnya industri internet. Apa tidaknya, jika dilihat dari kes JARING, setiap servis yang dijalankan oleh JARING, pasti ada 'bahagian' untuk Telekom. Dan lebih membusukkan keadaan, Telekom diberi lesen pula oleh kerajaan pada 1996 untuk menjalankan operasi internetnnya melalui Tm-Net. Beginilah cekik darahnya Telekom. Sudahlah mereka kaut keuntungan dengan Tm-Net, di pihak yang lain mereka mengenakan 'charge telco' serta tariff yang tinggi.

Maka sebab itu ramai mempersoalkan hasrat Telekom untuk membeli JARING. Langkah ini sebetulnya tidak membantu memperbaiki kualiti servis internet negara. Kita sedia maklum JARING dan TM-Net mempunyai pelanggan internet yang terbesar di Malaysia. Diberitahukan kononnya TM-Net mahu membeli pelanggan dial-up dari JARING. Sekali lagi..untuk apa? Ramai pengguna internet mungkin setuju dengan saya jika saya katakan mutu perkhidmatan TM-Net sendiri begitu teruk. Saya tidak katakan yang lain tidak teruk, tapi kalau dari logiknya, kalau anda sendiri sudah teruk, kenapa mahu kacau ‘rumahtangga’ orang lain? Bukankah lebih baik wang itu digunakan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan Tm-Net sendiri?

Dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, rundingan pembelian JARING ini bukanlah dijalankan oleh pihak JARING mahupun MIMOS sendiri. Ianya adalah di antara Kementerian Kewangan sebagai pemilik penuh MIMOS (pemilik JARING) dengan Telekom Malaysia. Jadi, rundingan pengambilalihan ini sebetulnya didalangi oleh ahli-ahli politik, teknokrat-teknokrat serta korporat-korporat tamak yang di ‘atas’ sana ( you all know who la… ).

Kebebalan kerajaan melalui Kementrian Tenaga, Telekomunikasi & Multimedia (KTTM) dalam menangani industri internet sememangnya cukup dikesali. Seharusnya KTTM harus campur tangan untuk meminta Telekom agar menurunkan tariff serta ‘telco charge’ pada ISP yang lain. Inilah sebenarnya hambatan terbesar pada syarikat ISP yang serius seperti JARING dalam operasi mereka. Bagaimana mahu memberikan perkhidmatan yang benar-benar bermutu kepada pengguna kalau leher mereka dijerut oleh kos yang tidak munasabah? Adalah amat memalukan dengan Malaysia ini yang gah dengan projek MSC yang digagaskan oleh PM kita yang tercinta (heheheh) namun peratusan pengguna internet di Malaysia hanyalah 3%. Begitu jauh ketinggalan berbanding negara saingan yang lain.

Negara ini tidak memerlukan banyak ISP. 5 lesen yang dikeluarkan sudah melebihi dari cukup. Apa yang diperlukan ialah servis yang berkualiti. Telekom seharusnya menumpukan usaha mereka dalam memperbaiki kualiti infrastruktur mereka. Banyak tempat di Kuala Lumpur sebagai contoh yang mempunyai masalah untuk membuat hubungan dengan internet. Mereka menyangka ini kesalahannya ISP namun sebetulnya mereka tidak sedar bahawa punca sebenarnya ialah keadaan kabel telefon mereka yang sudah usang malah ada yang berusia sejak sebelum merdeka lagi. Selain dari itu, kami pengguna internet cukup merasa malu dengan pengguna dari negara jiran. Buat masa ini, kelajuan tertinggi bagi pengguna dial-up ialah 56kbps (itu pun kalau dapat ). Sedangkan di negara jiran, mereka sudah pun menikmati cable modem, ISDN, xDSL, ADSL untuk kegunaan ‘home user’. Apa yang Telekom buat? Bila lagi pengguna di rumah dapat menikmati kemudahan ‘broadband’? Perlu diingat bayaran servis tersebut cukup murah di sana. Sebagai contoh, di Korea, bayaran untuk ADSL yang berkapisiti 2Mbps cuma RM150 sebulan! INILAH YANG PERLU DILAKUKAN OLEH TELEKOM, BUKAN ‘MENELAN’ ISP YANG LAIN! Dari sumber yang dipercayai, pihak Telekom seolah-olah tidak mahu memberikan kerjasama pada ISP lain untuk mereka menawarkan pakej ‘broadband’ kepada pengguna di rumah walaupun ISP tersebut telah bersedia. Sekali lagi, hambatannya ialah ‘telco charge’ yang tinggi dan kemudahan untuk ‘menumpang’ infrastruktur Telekom. Yang menjadi mangsa tetaplah pengguna juga.

Sepatutnya dalam langkah meluaskan penggunaan internet, kerajaan perlu memberikan lesen Access Service Provider (ASP) yang lebih banyak diperingkat daerah. Buat masa ini, aktiviti ISP hanya banyak bertumpu kepada bandar-bandar besar sahaja. Sebaiknya ISP seperti JARING dan TM-Net dikhususkan untuk menjaga infrastruktur dan tumpuan pada pengguna di bandar-bandar besar dengan kemudahan ‘broadband’. JARING dengan backbone mereka 2Gbps dan Telekom dengan 10Gbs (walaupun tak diumumkan) perlu menjadi induk kepada ASP ini. Tugas ISP ialah untuk mewujudkan Point of Presence (POP) disetiap daerah yang disambungkan ke backbone masing-masing dan kemudian ke internet. Sewakanlah bandwidth kepada ASP pada daerah yang berkenaan dengan bayaran yang memadai dan ASP ini akan membekalkan dial-up ke kampung-kampung di daerah masing-masing. Dengan cara ini, operasi dial-up untuk pengguna di suatu tempat itu lebih terfokus. Bayangkan pengguna di Kuala Kedah (misalannya) memerlukan ‘support’. Takkan mahu ke KL? Namun dengan adanya ASP di daerah setempat, urusan ini akan lebih lancar. Untuk menjaga kualiti, KTKM boleh menghadkan jumlah maksimum pengguna bagi sesuatu ASP dan mutu perkhidmatan mereka sentiasa dipantau.

Jadi pembelian JARING oleh Telekom tidak akan membantu sesiapa, malah lebih buruk lagi, tidak membantu pertumbuhan industri internet negara. Dari forum-forum yang saya ikuti, hampir 90% pengguna internet membantah pengambilalihan ini. Ada yang mencadangkan supaya satu petisyen dikeluarkan dengan ditandatangani pengguna internet untuk menunjukkan bantahan mereka. Saya sendiri tidak akan teragak-agak untuk menandatangani jika diminta.

Jadi berbalik kepada persoalan kita yang asal :

Apakah wajar Telekom membeli JARING? Jawapan saya ialah…TIDAK

Laksamana Bentan


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 16 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com