Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


MEMERANGI SIKAP CINTAKAN DUNIA

Di antara penyakit yang menular ke dalam tubuh masyarakat Islam pada hari ini yang sukar diperangi ialah kecintaan yang berlebihan terhadap dunia, atau dalam falsasah Barat lebih dikenali sebagai materialisme. Falsafah ini yang ditanam oleh pihak Barat mahu pun secara langsung atau tidak langsung kini telah menular sehingga ke peringkat akar umbi. Kita boleh sahaja bertanya kepada anak kecil yang sudah pandai berkata-kata atau kepada anak kita sendiri satu soalan :"apakah cita-cita kamu bila besar nanti?" Rata-rata mereka akan menjawab mahu menjadi seorang doktor, seorang peguam, seorang pegawai tinggi, juruterbang, pakar komputer dan sebagainya.

Hampir tidak ada jawaban pun dari mereka yang mengatakan mereka bercita-cita untuk menjadi ulama, ustaz, pejuang Islam, syuhada, pendakwah dan sebagainya. Kenapa tidak ada jawaban seperti itu? Antara sebabnya ialah sikap materialisme telah menular ke dalam jiwa mereka. Pengaruh persekitaran, kawan-kawan, media elektronik yang memaparkan kisah-kisah kejayaan pencinta-pencinta dunia telah mempengaruhi jiwa kana-kanak Islam itu sendiri. Bahkan dalam sesetengah keadaan, ibu bapa sendiri bertanggung jawab menanamkan semangat dan cita-cita seperti itu. Tidak salah bercita-cita sedemikian jika diiringi oleh cita-cita Islam di hujungnya, seperti doktor Islam, juruterbang Muslim, atau peguam Islam dan sebagainya. Tetapi hal seperti itu jarang kedapatan atau hampir tidak pernah terdengar ke telinga kita.

Itulah fenomena yang sedang melanda jiwa umat Islam kini, iaitu fenomena cintakan dunia secara berlebihan dan takut untuk menghadapi kegagalan atau kematian. Inilah di antara penyakit-penyakit batin yang melanda umat Islam kini. Di antara rahsia kejayaan Khalid Ibnu Walid ketika memimpin tentera Islam mencapai kemenangan dalam menghadapi kuasa mustakbirin Rome dan Parsi ialah seperti kata-kata dan semangat yang beliau tanamkan di kalangan tentera dan pejuang Islam iaitu " kami datang kepada kamu wahai tentera Rome dan Parsi, kami datang dengan segerombolan manusia yang cintakan mati (syahid) seperti mana kamu menyintai hidup"(Sirah Nurulyakin).

Tidaklah mudah untuk mengembalikan sikap umat Islam sekarang ke tahap seperti itu dalam menyintai agamanya. Satu cara yang mungkin dapat meningkatkan kualiti umat Islam yang sudah lemah jiwanya ini adalah dengan menanamkan kembali sikap cintakan akhirat di samping mengejar kemajuan dunia yang serba fana ini. Proses 'turning over' ini tentulah tidak mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan satu jangkamasa tarbiyyah yang panjang dan kesungguhan yang mendalam. Atau dengan kata yang lain kita perlu menanamkan sikap dan sifat zuhud ke dalam jiwa dan peribadi umat Islam, termasuk anak-anak kita sendiri.

Zuhud bukanlah dimaksudkan dengan meninggalkan keperluan di dunia ini, atau seperti membuang televisyen dan radio, tidak ke sekolah menengah, tidak menggunakan atau mempelajari Bahasa Inggeris dan lain-lain sepertimana yang difaham oleh sesetengah golongan, tetapi zuhud di sini adalah di samping kita mengejar kemajuan material dengan penuh kesungguhan, tetapi dalam masa yang sama kesenangan material itu tidak mempengaruhi jiwa kita, jiwa umat Islam, jiwa anak-anak kita dari berkorban untuk kepentingan Islam sendiri.

Zuhud dari segi bahasa adalah berpaling dari sesuatu atau tidak memerlukan sesuatu itu kerana tidak ada nilainya. Menurut syara' zuhud bermakna mengambil sekadar yang perlu dari suatu yang diyakini halalnya. Ulama Islam terutama dari kalangan ahli tasawuf telah lama membincangkan hal ini.Cuma kita yang mungkin kurang sedar tentang apa yang sebenarnya mereka bincangkan. Meraka mentafsirkan sifat zuhud itu kepada beberapa macam. Di antaranya benci kepada dunia dan berpaling darinya. Kedua, meninggalkan kesenangan dunia kerana kepentingan akhirat, ketiga mengosongkan hati dari sesuatu yang dikosongkan oleh tangan dan terakhir ialah menghindarkan kedukaan dari yang tiada dan menghilangkan gembira dari yang ada (Assyaukani, Subulus Salam).

Namun dari berbagai tafsiran itu, terdapat dua tafsiran yang diterima pakai oleh para ulama Islam. Pertama ialah pendapat Ibnu Qayyim yang menyebutkan sikap zuhud itu adalah mengosongkan hati dari dunia dan bukan mengosongkan tangan darinya. Pendapat kedua adalah pandangan AlGhazali yang menyebutkan bahawa zuhud adalah mengosongkan hati sama sekali dari sesuatu samada ada dari dunia mahupun syurga dari alam akhirat kecuali Allah semata.Maknanya Allahlah sahaja tempat tumpuan dan tujuan demi untuk mencapai keredaanNya semata-mata.

Tafsiran yang lebih jelas ialah tafsiran AlGhazali dalam kitabnya Mizanul Amal. Antara lain beliau berkata bukanlah orang yang zuhud itu orang yang tidak berharta, tetapi orang yang zuhud itu ialah orang yang tidak dibimbangkan oleh hartanya, sekalipun hartanya itu adalah seluruh alam ini kepunyaannya belaka.

Bagaimanapun di sana terdapat satu hadis Rasulallah Saw yang memberikan tafsiran yang lebih tepat tentang zuhud ini.Hadis tersebut bermaksud "bukanlah zahid (orang yang zuhud) pada dunia ini dengan mengharamkan yang halal dan tidak pula mensia-siakan harta. Akan tetapi zahid padanya ialah engkau lebih percaya apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan engkau sendiri. Dan adalah hal engkau dalam masa kesusahan sama seperti hal engkau dalam masa tidak ada kesusahan. Dan jika orang memuji atau mencela engkau dalam kebenaran sama sahaja bagi engkau."(Riyawat Muhammad bin Muhajir).

Daripada hadis di atas dapat ditarik kesimpulan tentang zuhud itu ialah percaya kepada sesuatu yang ada pada Allah adalah jauh lebih baik berbanding apa yang ada pada diri sendiri. Kepercayaan ini timbul kerana percaya kepada jaminan Allah itu umpamanya dalam soal rezeki adalah labih kekal dan banyak kurniaNya. Seseorang itu pada tahap ini tidak akan mencari keredaan atau kesukaan manusia dan kemurkaan Allah, dan tidak memuji seseorang kerana rezekinya yang melimpah ruah. Ia juga tidak mencela jika Allah tidak memberinya rezeki. Sesungguhnya kebijaksanaan Allah mengatur hambanya adalah lebih disukai dan diredai daripada duka nestapa dan kemurkaan dari Allah.

Kesimpulan kedua ialah sifat zuhud itu ialah kegemaran mendapat ganjaran kesusahan dunia kerana kehilangan harta benda atau keluarga dan sebagainya, lebih dari kegemaran mendapat kesukaan dikala wujudnya perkara-perkara tersebut. Sikap orang zuhud itu sama sahaja samada ia dipuji atau pun dicela, sedikit pun tidak membekas pada jiwanya.

Zuhud itu sebenarnya adalah perasaan hati dan jiwa dalam menanggapi pandangan hidup. Sikap zuhud itu sebenarnya bukanlah membenci harta atau pangkat dan sebagainya, sebaliknya ialah harta dan pangkat itu tidak meresap ke dalam jiwa seseorang yang berjiwa zuhud itu. Pendek kata, segala apa yang ada pada dunia ini dan dirinya tidak dapat memalingkannya dan melalaikannya dari mengingati Allah. Inilah konsep zuhud sebenarnya, dan ia bukan dengan imej pakaian yang compang-camping dan membuang segala kemudahan hidup di dunia ini seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Zuhud, ditinjau dari kandungan isinya terbahagi kepada tiga tingkatan, demikian menurut AlGhazali (Arbain fi Usuliddin). Zuhud yang sempurna adalah meninggalkan semuanya kecuali Allah sahaja samada didunia mahu pun di akhirat. Ini bererti seseorang itu meningalkan segala bentuk kesenangan di dunia, baik ia berupa harta benda, kehormatan, pangkat dan jawatan, dan semua kenikmatan dunia. Zuhud yang kedua pula adalah hidup zuhud dari harta benda, namun tidak meninggalkan kedudukan dan kehormatan. Atau dengan kata lain, hidup zuhud dalam beberapa hal tanpa meninggalkan hal yang lainnya. Hidup zuhud itu sebenarnya ialah meninggalkan dunia itu menurut kadar kemampuan masing-masing, dan tiadalah dipaksa hidup zuhud itu, melainkan bagi orang-orang yang ingin membersihkan hatinya dan lebih menumpukan perhatian kepada Allah 'Azawajalla.

Soalnya, seperti di awal kata, mampukah zuhud menangkis serangan aliran falsafah kebendaan yang sedang membarah di jiwa umat Islam kini. Seterusnya apakah yang patut dilakukan untuk mencapai tahap hidup zuhud itu. Itu adalah dua soalan yang sukar dicari jawabannya. Tetapi melihat kepada maksud dan pengertian zuhud itu sendiri, kita melihat di sana ada suatu kekuatan untuk menangkis serangan materialisme itu. Fahaman itu sendiri bukanlah sesuatu yang kuat dan dan hakiki sifatnya. Ia adalah satu fahaman di mana kebendaan adalah matlamat utamanya. Jika idividu Muslim itu mempunyai jiwa yang kuat, pendirian yang teguh, iman yang sejati, kemungkinan besar dia tidak terpengaruh dengan aliran itu.

Namun untuk mencari kekuatan jiwa yang dapat menangkis segala fahaman palsu yang datang silih berganti di dunia ini, individu Muslim itu pertama-tamanya mestilah memahami agamanya dengan baik dan benar. Sebab yang baik belum tentu benar . Dengan demikian pemahaman yang jelas dan tepat adalah perlu dalam mencari kekuatan beragama. Di samping berusaha mendapatkan pemahaman yang jelas tentang Islam, setiap individu Muslim itu perlulah mengamalkan segala apa yang telah dipelajarinya. Seseorang yang ingin meningkatkan kekuatan jiwanya terhadap apa yang dibawakan oleh Islam harus pula mendapatkan bekalan tambahan yang dapat membantunya mencari kekuatan itu. Bekalan itu ada di dalam semua amalan yang diwajibkan oleh Islam di samping amalan-amalan sunat lainnya. Dan sesudah itu barulah kita bertawakal kepada Allah, selepas kita berusaha dengan sepenuh kekuatan dan tenaga untuk mendapatkannya " Sesungguhnya segala kekuatan itu adalah milik Allah, milik rasulnya dan milik orang-orang yang beriman.. (AlMunafiqun:ayat 8)."

AlKundangi,
29.1.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 30 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com