Sewaktu melawat kilang Sharp yang mengeluarkan paparan cecair kristal (LCD), Mahathir yang sedang dalam lawatan sambil kerja ke Jepun mengulang pendiriannya tentang Dasar Pandang Ke Timur yang telah diutarakannya di awal kariernya sebagai Perdana Menteri. Katanya Dasar itu masih relevan kepada ekonomi Malaysia sekalipun Jepun kini mengalami keadaan ekonomi yang lembab (Utusan Malaysia, 20.1.2001). Tentunya kita masih ingat tentang dasar itu yang membawa terhasilnya beberapa projek mega seperti Dayabumi, projek kereta nasional (Proton) dan Jambatan Pulau Pinang yang melibatkan Korea Selatan.
Dasar Pandang Ke Timur menurut impian Mahathir adalah bermakna Malaysia berusaha mencontohi negara Asia Timur yang pesat membangun. Nilai penting yang ditekankan ialah tekun dan berdisiplin dengan pekerjaan, setia kepada negara dan perusahaan atau perniagaan tempat pekerja mencari rezeki dan mengutamakan kepentingan kumpulan dari individu. Ia juga menekankan peningkatan daya pengeluaran dan kualiti, meningkatkan kecekapan, merapatkan jurang perbezaan antara eksekutif dan pekerja dengan membentuk sistem pengurusan jangka panjang, tidak semata-mata berasaskan dividen dan pencapaian kakitangan dalam jangka pendek (Jomo ed, The Sun Also Sets: Lessons in Looking East).
Namun apakah sebenarnya yang kita perolehi dalam dasar ini? Dalam pembinaan Dayabumi misalnya, kerajaan telah pun menyerahkan tugas itu kepada sebuah syarikat usahasama Jepun, iaitu Takenaka Kumagai. Harga tawaran syarikat Jepun itu ialah RM 313 juta, lebih tinggi sebanyak RM 71 juta dari tawaran sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman membina beberapa hotel besar dan supermarket., iaitu sebanyak RM 242 juta. Kononnya alasannya ialah pemindahan teknologi. Tetapi berapa ramaikah pekerja tempatan yang terlibat? Hanyalah di sekitar 20-40 orang yang diberi latihan hanya beberapa bulan. Itu pun kerana terikat dengan syarat. Selain dari itu Malaysia tidak mendapat apa-apa kecuali diketawakan oleh beberapa syarikat Jepun kerana harga yang terlalu tinggi ketika Malaysia perlu berjimat cermat.
Dalam projek kereta nasional pula, kita melihat mereka yang dapat meraih untung besar di sini sebenarnya ialah Mitsubishi. Sebelum memulakan projek itu, Mahathir telah melawat Jepun dan meminta Mitshubishi Corporation menyokong projek ini. Akhirnya terlahirlah projek Proton pada 1983.
Industri kereta sebenarnya mengikut pendapat ramai penganalisis ekonomi, memerlukan sokongan dari banyak industri yang lain. Ia melibatkan pemerosesan logam, getah, plastik dan elektronik. Yang lebih penting di sini ialah pemindahan teknologi. Pemindahan teknologi secara besar-besaran dari negara perindustrian boleh meningkatkan pembangunan perindustrian negara. Seperti yang dimaklumi Proton mempunyai dua matalamat dalam pemindahan teknologi ini. Langkah pertama ialah menggalakkan pengeluaran dan perkembangan industri yang berkaitan di peringkat tempatan. Langkah kedua ialah pengeluaran kereta penumpang yang diusahakan di peringkatan tempatan secara keseluruhannya.
Namun ramai orang tahu bahawa Jepun amat kedekut dalam pemindahan teknologi. Sebab itu Proton sehingga kini gagal mencapai matalamat pemindahan teknologi itu sepenuhnya. Mahathir, walaupun pernah melaksanakan dasar Buy British Last, akhirnya terpaksa mencari rakan niaga dari Barat iaitu Lotus untuk pembinaan injin Proton dengan pemindahan teknologi secara penuh iaitu seratus peratus dalam tempuh beberapa tahun akan datang. Walaupun Proton telah melebihi usianya 15 tahun, namun dalam soal injin dan transmisi, ia masih bergantung sepenuhnya kepada Jepun dan Korea.
Dengan kegagalan ini apalagikah yang dapat diharapkan dari pemindahan teknologi ini dari Jepun? Apakah Mahathir masih berangan-angan bahawa pada suatu hari Jepun akan bersetuju memindahkan kebanyakan teknologinya ke Malaysia? Jika demikian kenapa dalam projek Perodua, Mahathir terpaksa lari ke Peranchis dalam usaha membina Tiara dan bergabung dengan Citreon? Inilah sebenarnya kegagalan pemindahan teknologi yang tidak dapat diatasi oleh Mahathir sekalipun beliau mengembara dari hujung ke hujung dunia untuk mengatasi masalah ini. Itu tidak termasuk pemindahan nilai yang disebutkan dalam Dasar Pandang Ke Timur ini. Kegagalan akan lebih ketara jika nilai tersebut dibincangkan.
Namun apa yang lebih penting, seperti kata Mahathir sendiri, dasar ini bukan bermakna kita sepenuhnya memandang Jepun dan Korea, tetapi kita juga memandang kepada diri sendiri. Tetapi hakikatnya Mahathir telah terlupa kata-katanya itu. Kita mempunyai nilai yang jauh lebih besar dan universal berbanding Jepun dan Korea Selatan. Nilai itu ada dalam Islam, nilai yang suatu masa pernah menguasai dunia ini yang kini dimusuhi sendiri oleh diktator tua itu. Dan dia hanya mampu menerapkan nilai-nilai yang dianggapnya murni dalam pentadbirannya, tidak nilai Islam secara keseluruhannya.
AlKundangi,
21.1.2001