Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


DI ANTARA MAHATHIR DAN TUN

Membangkitkan nostalgia terhadap Allahyarham Tun Abd.Razak memang baik, kerana Allahyarham Tun memang berjasa kepada negara. Hal itu pun sudah diketahui oleh rakyat Malaysia istimewa golongan yang banyak belajar dari sejarah. Tetapi bila akhbar arus perdana UMNO dan BN membangkitkannya di saat ia sedang tercari-cari satu formula untuk mengembalikan sokongan rakyat khususnya Bangsa Melayu terhadap UMNO/BN, kelihatan nada itu agak canggung dan seperti sudah ketandusan idea untuk berpolitik. Tetapi itulah yang dilakukan oleh akhbar di zaman Mahathir (Berita Minggu, 14.1.2001). Ia kemudian disokong oleh Muhd.Taib, Naib Presiden Umno yang tidak berjawatan itu keesokan harinya.

Menggunakan nama besar dan berjasa adalah salah satu taktik untuk mencari sokongan politik terhadap siapa saja yang melakukannya. Tetapi siapalah Mahathir berbanding Tun. Allahyarham Tun memang banyak jasanya terhadap negara dan bangsa Melayu, cuma kurang dari sudut Islam. Antara lain Tun melancarkan DEB dalam usaha untuk mengembalikan ekonomi bangsa Melayu ke tahap 30% di bidang perusahaan/perniagaan. Tetapi di zaman Mahathir dia menggunakan kuota itu untuk mengkayakan kroni dan anak-anaknya. Tun mewujudkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang sekaligus membawa kelahiran UKM dan ITM, tempat untuk menampung siswa/siswi Melayu melanjutkan pelajaran, tetapi Mahathir mengkorporatkan pendidikan dengan memperbanyakkan IPTS sehingga menyukarkan anak Melayu untuk menumpang belajar kerana biayanya yang tinggi berkali ganda dari zaman sebelum swasta.

Allahyarham Tun juga banyak berjasa dalam membantu orang-orang kampung yang kurang mampu dengan mewujudkan Felda, Felcra,Jengka, Dara dan sebagainya. Usaha-usaha ini banyak membantu ekonomi orang Melayu di samping pemilikan tanah kepada mereka yang tidak bertanah. Tetapi di zaman Mahathir segala tanah yang berharga diserahkan kepada anak-anak dan kroninya, sehingga tanah rizab Melayu pun hanya tinggal sisa sahaja. Bahkan tanah wakaf pun cuba difaraidkannya di kalangan para kroni dan kaum kerabatnya.

Allahyarham Tun juga bertanggungjawab terhadap penubuhan MARA, Bank Bumiputra, Petronas, Uda dan Pernas. Tetapi di zaman Mahathir Bank Bumiputra hanya tinggal nama sahaja. Petronas hanya digunakan untuk membail-out syarikat-syarikat yang merudum, khususnya syarikat anaknya sendiri. Tun menubuhkan MAS untuk kepentingan rakyat Malaysia, tetapi Mahathir mengkorporatkannya dan menjadikannya milik pribadi dan para kroninya. Kerugiannya ditangung oleh negara. Keuntungannya diserahkan kepada para kroni.

Memang Mahathir berjasa khususnya dalam perindustrian berat, istimewa syarikat Proton. Dan Proton pun memang untung berjuta-juta. Tetapi tanyalah siapakah di kalangan rakyat marhaen yang dapat menikmati sedikit dari keuntungan itu? Tidak ada siapa yang tahu ke mana perginya keuntungan Proton, kecuali hanya di kalangan mereka sendiri.

Dengan demikian, membangkitkan nostalgia terhadap pemimpin yang pernah berjasa terhadap negara tidaklah membawa apa-apa keuntungan kepada masa depan politik UMNO dan Mahathir. Bahkan taktik itu lebih banyak merugikannya kerana dengan memperbandingkan kedua-dua pemimpin itu, menyebabkan rakyat semakin marah dan benci kepada UMNO dan Mahathir serta BN. Segala taktik UMNO/Mahathir nampaknya sudah tidak menjadi lagi. Tembelangnya sudah pecah. Baunya lebih busuk dari telur tembelang. Namun, apakan daya, Mahathir akan terus mencari dan mencari apakah yang boleh mengembalikan sokongan rakyat kepadanya. Tetapi pada setiapkali dia cuba mencari sokongan itulah setiapkali pula rakyat semakin jauh darinya. Sungguh malang nasib diktator tua itu, yang pada mulanya nampak berjasa kepada negara, tetapi di hujung kariernya dia seolah-olah memusnahkan apa yang dibangun dan diusahakannya sendiri. Dan rakyat Malaysia sudah pun bersiap sedia mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Hanya dia saja yang masih berdegil, seolah-olah hanya menunggu 'Izrail berkunjung barulah dia sedia berundur. Lebih baik undur dari sekarang daripada diundurkan oleh malaikat maut yang tidak mengenal pangkat dan darjat itu!

AlKundangi,
17.1.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 17 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com