Semua orang sudah boleh menduga betapa Mahathir berangan-angan untuk menyatukan umat Melayu. Pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif khususnya PAS dan KeADILan sudah pun dipelawa untuk menghadiri perbincangan yang dikatakan berkisar atas judul Penyatuan Melayu. Malang bagi Mahathir, KeADILan sudah menolak pelawaannya itu. Tetapi diktator tua itu tidak berputus asa. PAS masih bersedia untuk berbincang.Dengan kata lain PAS belum menolak untuk berbincang dengan UMNO atas isu penyatuan Melayu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Memang Mahathir berangan-berangan untuk menyatukan orang Melayu itu sudah pun jelas kepada kita. Soal utamanya ialah partinya sudah kehilangan sokongan umat Melayu. Seperti pendapat umum di kalangan pimpinan BA, sokongan orang Melayu sudah beralih dari pemerintah kepada BA. Dan ia bukan ditakrifkan sebagai perpecahan Melayu. Ia hanyalah satu anjakan paradigma dalam pemikiran orang Melayu. Ertinya orang Melayu kini sudah menerima budaya kepembangkangan, atau dengan kata lain tidak lagi sealiran dengan pemerintah. Mahathir yang menyedari hal ini dan kita menganggap dia menyedarinya, telah mengemukakan kepada masyarakat Melayu satu tawaran yang dikiranya hebat, iaitu isu penyatuan Melayu. Memang orang Melayu agak sensitif jiwanya dengan masalah kemelayuan selama ini. Apabila ditimbulkan isu Melayu dan penyatuan, perasaan orang Melayu akan cepat mengalah. Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh Mahathir. Bila perasaan orang Melayu mengalah atau dikalahkan oleh isu ini, maka anjakan paradigma tadi akan berbalik seperti asal. Dalam erti kata yang lain, orang Melayu akan bersimpati dengan UMNO dan akan kembali memberikan sokongan kepada BN untuk terus menerajui negara. Inilah matalamat Mahathir. Inilah juga angan-angan Mahathir.
Tetapi apakah Mahathir akan dapat mencapai apa yang diangan-angankannya itu? Apakah ia mengharapkan orang Melayu memberikan sokongan kepadanya setelah bermacam-macam hal yang dilakukannya telah menyakitkan hati umat Melayu. Apakah ia mengharapkan sokongan umat Melayu setelah DSA Anwar diaibkannya begitu rupa? Apakah ia mengharapkan sokongan umat Melayu setelah harta negara habis dikikis dan diagih-agihkan di kalangan para kroni dan anak-anaknya? Apakah ia mengharapkan sokongan umat Melayu setelah ia membiarkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah membarah dalam pentadbiran negara? Apakah ia mengharapkan sokongan umat Melayu setelah badan kehakiman hilang kredibitinya dan hanya menjadi alat pengampu pemerintah yang memberikan justifikasi terhadap tindakan-tindakan Mahathir yang dikira tidak rasional oleh rakyat negara ini malah meperbodoh-bodohkan kita seperti siri perbicaraan DS Anwar, perbicaraan AlMaunah, perbicaraan Dato'Nalla, perbicaraan Sukma Dermawan dan sebagainya?
Ternyata Mahathir memang berangan-angan. Tidak ada lagi siapapun yang percaya taktik politik yang cuba digunakannya demi menjamin kelangsungan kuasa politiknya dan pilitik BN sendiri. Persetujuan PAS untuk berbincang dengan Mahathir dan UMNO hanyalah satu persetujuan politik. Ini pun sebenarnya disedari oleh Mahathir.
Tetapi ia kini dalam keadaan terdesak. Manusia bila terdesak ia sanggup melakukan apa sahaja. Kita boleh melihat Rais Yatim yang menyambung kembali jambatan yang telah dibakarnya kerana terdesak bagaimana untuk mengembalikan kuasa politiknya. Kita juga melihat Tengku Razaleigh menjilat lidahnya sendiri dengan membubarkan S46 dan menyertai semula UMNO (Baru) walau pun sebelum itu ia amat memusuhi Mahathir. Begitulah orang yang terdesak atau tersepit. Dan apabila Mahathir sendiri tersepit di celah kekuasaannya yang kian menghilang, kepercayaan umat Melayu kian terhakis kepadanya, sokongan rakyat telah memihak kepada BA, maka ia pun mencari helah untuk mengembalikan sokongan itu. Dia mencari helah bagaimana rakyat Malaysia kembali menyokongnya untuk meneruskan kuasa politik yang tinggal sisa itu. Isu penyatuan Melayu itu adalah salah satu dari helahnya jika mungkin ia dapat mengembalikan dan meraih sokongan dari umat Melayu.
Tetapi ternyata Mahathir memang berangan-angan. Orang yang berangan-angan memang seronok. Macam Mat Jenin, akhirnya kerana terlampau seronok, ia pun terlepas dari pegangannya dan jatuh dari atas pokok kelapa. Begitulah Mahathir.Dia pun akan jatuh juga seperti Mat Jenin itu. Itu adalah balasan yang setimpal bagi orang yang kuat berangan-angan. Dan kiranya perbincangannya yang dirancang dengan PAS itu pun satu anga-angan juga. Sudah kerapkali ura-ura dari UMNO untuk mengajak PAS berbincang dan bermuzakarah. Tetapi bila sampai waktunya majlis yang dirancangkan itu akan dibatalkan sendiri oleh orang-orang UMNO. PAS seharusnya menyedari perangkap politik itu yang sememangnya direka untuk memerangkap PAS dan KeADILan. Cuma KeADILan sudah melepaskan diri. Kini tinggal PAS sendirian menghadapi jerat yang dipasang oleh Mahathir. Sekiranya pemimpin-pemimpin PAS bertindak bijaksana, tentu mereka akan membatalkan niat mereka itu untuk berbincang dengan UMNO yang memang sudah tidak berguna lagi itu.
AlKundangi,
13.1.2001