Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Dari minda Ketua Pembangkang

Zakiah Koya dan 'Ein Azmi

Sempena genap setahun Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dilantik Ketua Pembangkang, malaysiakini bercerita dengannya tentang peranan wakil pembangkang di Dewan Rakyat, masa depan Barisan Alternatif tanpa DAP, kemungkinan Muslimah dicalonkan dalam pilihanraya umum akan datang dan bagaimana BA menilai isu kebebasan media.

Malaysiakini: Bagaimana Datuk melihat pencapaian ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang tahun 2000 dan perbandingan dengan tahun sebelumnya?

Fadzil: Pandangan membina telah kami utarakan terutama isu-isu kontroversi seperti rasuah, salah guna kuasa Perdana Menteri dan kedudukan Ketua Hakim Negara.

Ahli Dewan Rakyat pembangkang menyertai semua perbahasan dan pembentangan belanjawan, rang undang-undang serta titah ucapan diraja mengikut portfolio yang telah ditetapkan. Mereka tetap mengambil bahagian walau ada antara mereka masih baru. Bagaimanapun, ia masih perlu dibaiki terutama penyelidikan dan mutu perbahasan. Kita perlu mengemukakan fakta yang tepat ketika berhujah.

Sebagai orang baru dalam sidang dewan tahun lalu, sukar saya membuat perbandingan kerana pada tahun lalu saya terlibat sebagai pemerhati sahaja.

Malaysiakini: Peranan Datuk dikatakan tidak agresif dan menyerlah sebagai Ketua Pembangkang, apa komen Datuk?

Fadzil: Bergantung kepada sesuatu isu. Sikap agresif tidak menentu akan mendatangkan kesan tidak baik. Setiap anggota Dewan Rakyat mempunyai tanggungjawab terhadap sesuatu pendirian (isu), jadi ahli berkenaan diberikan keutamaan.

Malaysiakini: Adakah benar dakwaan bahawa masa tidak cukup untuk menyampaikan hujah kerana wujud gangguan daripada ahli-ahli dewan tertentu dan Speaker terpaksa mengambil masa untuk meleraikan gangguan tersebut?

Fadzil: Gangguan tidak banyak, hanya sekali-sekala apabila isu-isu panas dibangkitkan, misalnya semasa ahli pembangkang mempertahankan isu royalti minyak dalam sidang dewan. .

Malaysiakini: Bercakap mengenai isu itu, apakah tindakan PAS menghadapi royalti minyak Terengganu?

Fadzil: Kita tidak bertindak sendirian. Barisan Alternatif telah membentuk jawatankuasa khas menangani isu ini. Jawatankuasa tersebut sering berbincang dan baru-baru ini telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan dan ia mendapat sokongan rakyat terbanyak.

Selain berkempen kepada rakyat, taklimat kepada kedutaan-kedutaan asing di Kuala Lumpur juga telah dijalankan. Dari sudut tindakan undang-undang, kita serahkan kepada kerajaan Terengganu.

Negara Islam masih agenda PAS

Malaysiakini: Sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, apa yang boleh Datuk sumbangkan kepada perkembangan politik negeri itu?

Fadzil: Kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga DUN Kedah apabila memenangi pilihanraya kecil Lunas November lalu. BA kini menguasai 13 kerusi daripada 36. Ini merupakan satu perkembangan yang baik. Kalau suara pembangkang kuat sekalipun tetapi wakil kerajaan lebih ramai, tetap tidak ada sebarang perubahan di DUN. Misalnya ketika isu Putrajaya dibahaskan di dalam DUN Selangor dan kemudian dibawa ke Dewan Rakyat.

Malaysiakini: PAS dikatakan telah berlembut apabila menyertai BA terutama prinsip perjuangan menegakkan negara Islam?

Fadzil: Prinsip tidak timbul sama sekali. Kita telah mencapai persetujuan bersama dalam manifesto BA. Sebelum ini PAS dikatakan sebagai ekstrem tetapi dengan pakatan BA, tuduhan itu terutama di kalangan bukan Islam telah berjaya dicairkan.

Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta-merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ia memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi. Kita perlu mencari strategi, bertemu dengan rakyat supaya ia dapat diterima oleh semua pihak.

Malaysiakini: Tetapi penubuhan negara Islam menimbulkan kekeliruan, termasuk orang Islam sendiri?

Fadzil: Mereka tidak memahami program-program yang perlu dilakukan oleh sebuah negara Islam. Iran umpamanya tidak boleh dibandingkan dengan kita kerana ia mendapat kuasa melalui revolusi. Kita berpegang kepada demokrasi, iaitu melalui pilihanraya. Kita mementingkan keadilan, hak asasi, cara hidup sederhana supaya rakyat berasa mesra dengan sistem ini.

Malaysiakini: Apakah isu pemilihan calon pilihanraya Lunas merupakan perkara terpenting yang mendorong DAP bercadang untuk keluar daripada BA?

Fadzil: Saya fikir bukan sebab pilihanraya kecil Lunas sahaja, tetapi mungkin ada isu-isu yang lain. mungkin juga tekanan pihak akar umbi yang terdiri daripada orang India.

Bagaimanapun saya berharap supaya DAP akan terus kekal dengan BA kerana sudah tentu ia (penarikan DAP) menjejaskan kedudukan pembangkang dalam pilihanraya akan datang. Tambahan pula pihak lawan telah menggunakan isu “menyokong PAS bermakna menyokong negara Islam” bagi menggagalkan pakatan BA.

Tidak oportunis bela Anwar

Malaysiakini: Apa komen Datuk terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang gerakan intifadah yang didakwa cuba dibawa PAS?

Fadzil: Intifadah adalah ledakan rakyat Palestin yang telah begitu lama dalam keadaan terhimpit dan hak dinafikan. Mereka menghadapi Israel dengan bersenjatakan batu dan telah ramai rakyat yang terkorban.

Apakah beliau (Pak Lah) mengesahkan keganasan Israel dan gerakan intifadah seolah-olah sebagai penderhaka padahal mereka memperjuangkan hak mereka? Perdana Menteri Israel telah bertukar ganti, tetapi tidak membawa sebarang suasana baik kepada rakyat Palestin.

Demonstrasi di Malaysia pula diadakan aman. Rakyat pergi dengan tangan kosong setelah tidak mempunyai peluang. Umpamanya isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakyat memilih demonstrasi sebagai menunjukkan bantahan terhadap ketidakadilan yang dilakukan terhadap beliau.

Polis boleh mengawal. Kalau berlaku kekerasan barulah boleh bertindak tetapi dalam perhimpunan 5 November lalu di Lebuhraya Kesas, keadaan kelam-kabut berlaku apabila provokasi ditimbulkan.

Indonesia misalnya, boleh dikatakan setiap hari demontrasi diadakan tetapi polis hanya memerhatikan dan bertindak apabila berlaku kekacauan.

Malaysiakini: PAS disifatkan oportunis dalam keadaan politik semasa dan dilihat mempunyai motif tertentu membela Anwar.

Fadzil: Saya menyangkal pendapat itu. Hubungan saya secara peribadi dengan Anwar sangat rapat sejak 10 tahun bersama ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) lagi. Apabila Anwar berbincang dengan saya untuk menyertai Umno untuk membawa Islam ke dalam parti itu, saya tidak bersetuju dengan hasrat beliau itu. Akhirnya Anwar menyertai Umno pada 1982.

Bagaimanapun, apabila seorang yang mendukung Islam disingkir dan dihina sebegitu rupa, kita perlu membela Anwar dan keluarganya.

Walaupun memecat Anwar adalah hak Presiden Umno tetapi saya fikir tindakan seterusnya itu melampau. Perasaan dendam tidak harus ada apabila melibatkan soal kemanusiaan dan keadilan. Apa bezanya Anwar dengan Tengku Razaleigh? Kita boleh melupakan perselisihan dengan Ku Li (ketika bersama Semangat 46) kerana waktu itu mereka tersisih dan teraniaya.

Internet saluran terbaik

Malaysiakini: Wanita PAS dikatakan berada di barisan belakang (third class) dan mereka dinafikan sebagai calon dalam pilihanraya lalu. Pertubuhan-pertubuhan wanita seperti kumpulan Wanita untuk Perubahan, terutama Sister in Islam (SIS) turut mengecam hal ini.

Fadzil: Saya pun tidak faham apakah yang dikehendaki oleh SIS. Mereka tidak boleh membuat penilaian mengatakan kita menindas wanita. Saya khuatir tuntutan SIS lebih berlatarbelakangkan idea Barat. Wanita tidak seharusnya 100 peratus meniru kebebasan di Barat. Masyarakat dan budaya kita berbeza.

Sebagai pakatan baru, BA tidak sempat merancang dan melihat kebolehan calon wanita dalam pilihanraya umum lalu. Kita sedang mengkaji kedudukan ini - sama ada calon Muslimah akan diberikan peluang bertanding.

Keputusan yang dibuat oleh PAS juga diterima baik oleh Muslimah dan terbukti dengan kerja keras dan kerjasama di kalangan wanita-wanita BA dalam pilihanraya lalu.

Malaysiakini: Bagaimana pembangkang memperjuangkan kebebasan media di negara ini?

Fadzil: Apa yang dapat kita buat? (Terdiam sejenak) Kita mendesak Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dikaji semula. Pengurusan Harakah misalnya telah menuntut perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi setakat ini masih tidak ada sebarang keputusan.

Kekerapan keluaran Harakah yang berkurangan tidak menghalang maklumat parti disampaikan. Ia masih boleh disampaikan melalui ceramah-ceramah tetapi masalah timbul apabila permit ceramah tidak diluluskan. Keadaan ini menyempitkan lagi ruang demokrasi di negara kita. Hal ini telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara dan kamu memohon ia dibincangkan. Namun setakat ini ia tetap tidak ada maklum balas.

Malaysiakini: Bagaimana kempen “boikot media,” pembangkang sering mengatakan media arus perdana memutarbelitkan fakta tetapi mereka masih menyalurkan maklumat kepada media tersebut?

Fadzil: Boikot yang dimaksudkan ialah tidak membeli akhbar berkenaan. Ia tidak menghalang BA daripada bercakap kepada kepada media arus perdana. Kita akur bahawa media ini dikuasai oleh pihak atasan yang telah menukar fakta yang ditulis oleh wartawan. Langkah terbaik ialah menyalurkan maklumat melalui internet. Kita akan terus memikirkan jalan menangani masalah ini.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com