Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kerajaan Terengganu beri syarat kepada Kemas

KUALA TERENGGANU, Jumaat - Lebih 300 balai raya yang digunakan sebagai kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas dan 146 bangunan baru Tabika Kemas di seluruh negeri dibenarkan beroperasi dengan syarat agensi itu mematuhi syarat diputuskan kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan negeri (SUK), Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, Kemas perlu mengehadkan penggunaan balai raya dan bangunan baru TBK Kemas kepada aktiviti pendidikan saja.

Katanya, Kemas juga perlu memastikan aktiviti lain terutama membabitkan politik parti tidak boleh diadakan di bangunan berkenaan.

“Pada asalnya kerajaan negeri ingin mengenakan sewa ke atas balai raya dan tapak bangunan baru TBK. Bagaimanapun saya akan berbincang supaya sewa dikecualikan pada mesyuarat Exco, Rabu depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat di antara wakil Kemas, semua pegawai daerah dan pegawai Jabatan Setiusaha Kerajaan (Suk) yang dipengerusikan Mazlan di Wisma Darul Iman, di sini kira-kira jam 3 petang semalam.

Kebenaran berkenaan katanya, tertakluk kepada kelulusan bagi tempoh setahun selepas Kemas mengemukakan permohonan dan memberi pengakuan bahawa pihaknya akan mematuhi syarat yang dikenakan.

Mazlan berkata, pihaknya menerima surat permohonan secara rasmi daripada Kemas bulan lalu.

Berita Harian difahamkan syarat yang dikenakan kepada Kemas itu akan dibincangkan sebelum dipersetujui dan dipatuhi agensi Kerajaan Pusat itu dalam tempoh dua minggu.

Mesyuarat itu diadakan berikutan kejadian 65 kanak-kanak di dua TBK Kemas di Sura Hujung dan Taman Seri Tanjung di Dungun, tidak dapat mengikuti kelas Tabika berikutan balai raya yang digunakan untuk kelas TBK Sura Hujung dikunci, manakala bangunan Tabika Taman Seri Tanjung akan diroboh Majlis Daerah Dungun (MDD).

Sehingga hari ini Tabika Sura Hujung masih berkunci dan semalam kira-kira 50 kanak-kanak terpaksa belajar sementara di warung berhampiran, manakala Tabika Taman Seri Tanjung belum beroperasi kerana tidak mempunyai kemudahan peralatan, bekalan elektrik dan air.

Mazlan berkata, arahan dikeluarkan kepada pejabat daerah Dungun supaya balai raya TBK Sura Hujung dibuka bagi membolehkan kelas TBK beroperasi semula.

Difahamkan balai raya Kampung Sura Hujung yang dikunci akan dibuka oleh pegawai Pejabat Daerah kira-kira jam 8 pagi, Ahad ini.

Selain itu katanya, mesyuarat juga memutuskan supaya MDD menangguhkan tindakan meroboh Tabika Taman Seri Tanjung, untuk membolehkan kelas Tabika beroperasi seperti biasa.

Pembinaan bangunan baru Tabika Taman Seri Tanjung mendapat kelulusan Pejabat Tanah Dungun, melalui surat bertarikh 14 Mac 1999, manakala Jabatan Perancang Bandar dan Desa melalui suratnya bertarikh 9 Oktober lalu memberi kelulusan apabila bangunan yang dibina itu siap September lalu.

MDD, melalui surat bertarikh 10 Disember lalu menolak permohonan Kemas untuk menduduki bangunan yang dibina atas Lot 7435, di Kampung Sura Hujung dan memberi notis selama 14 hari supaya mengosongkan bangunan itu.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 6 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com