Artikel "Penilaian Khas BA Ampang Jaya" dan "Konspirasi KeADILan-PRM Untuk Meminggirkan PAS Di Ampang Jaya" yang tersiar di beberapa laman-laman web pro-Reformasi adalah dirujuk.
Pihak kami mengucapkan terima kasih di atas pandangan dan nasihat yang diketengahkan dan yakin penulis atau penulis-penulis kepada artikel-artikel tersebut ikhlas di dalam hasrat beliau untuk melihat BA di Ampang Jaya lebih teguh dan mantap. Walau bagaimanapun PAS yang mempunyai hampir 70 cawangan di Ampang Jaya sentiasa peka dan memahami akan sentimen rakyat di peringkat akar-umbi. Kami sentiasa memantau perkembangan-perkembangan politik terkini di Ampang Jaya.
Walaupun terdapat pandangan-pandangan di dalam artikel-artikel tersebut yang akan menyinggung perasaan sesetengah pihak namun kami berpendapat BA tidak seharusnya bertindak seperti Dr. Mahathir dan UMNO yang sentiasa menyekat ahli-ahlinya dari menyatakan sebarang pandangan yang kritikal terhadap kepimpinan Dr. Mahathir atau menghukum dengan sekeras-kerasnya mereka yang berbuat demikian.
BA perlu lebih telus dari UMNO dan BN. Sebarang pandangan yang tidak dipersetujui atau terlampau kritikal tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja atau dianggap telah sengaja diwujudkan oleh UMNO atau BN.
Di dalam hal ini pihak kami sedang mengkaji dengan terperinci pandangan dan nasihat yang ketengahkan itu untuk kebaikan bersama BA di Ampang Jaya.
Walau bagaimanapun pilihanraya umum 1999 telah menzahirkan kekuatan dan keupayaan setiap parti BA di Ampang Jaya. Dengan itu sebarang ketetapan hendaklah berdasarkan kehendak akar-umbi dan bukannya didorongi oleh emosi yang melulu. Teori-teori politik yang tidak berpijak di bumi yang nyata hendaklah digantikan dengan kefahaman terhadap realiti-realiti semasa. Pilihanraya dimenangi dengan jentera yang lengkap dan bukannya melalui ucapan-ucapan semata-mata.
Kami yakin dari pengalaman 1999 kewarasan akan dapat dikembalikan ke Ampang Jaya. Hanyalah dengan kewarasan dan kematangan ini BA akan dapat merampas kerusi-kerusi dari BN di Ampang Jaya. Tanpa kewarasan dan kematangan ini maka kami yakin BA tidak akan dapat merampas mana-mana kerusi sekalipun. Sebagai tunggak BA di Ampang Jaya dan telah banyak berkorban untuk BA di Ampang Jaya, PAS yakin tanpa kewarasan dan kematangan maka kerjasama tidak akan dapat diwujudkan dan BA akan sekali lagi gagal di Ampang Jaya.
Iskandar Abdul Samad
Setiausaha PAS
Kawasan Ampang Jaya
Selangor Darul Ehsan
17 Syawal 1421 bersamaan 12 Januari 2001