Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


SATU LAGI TAHUN MENCABAR KATA PARA PEMIMPIN BN

kempilan laporan bernama yang pemimpin BN mengakui mereka sukar untuk berhadapan dengan Barisan Alternatif...??? BN kini telah sampai keperingkat akhir...????

MALAYSIAN NEWS : BERITA AM
December 31 , 2000 15:34PM

SATU LAGI TAHUN MENCABAR KATA PARA PEMIMPIN BN

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia diseru memperkukuhkan perpaduan dan juga berhati-hati pada tahun 2001 yang mungkin boleh menjadi tahun yang sukar dan mencabar, kata para pemimpin Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik berkata, rakyat Malaysia perlu memperkukuhkan perpaduan untuk elakan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian.

"Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan sosial perlu dibendung dan semua pihak haruslah mengelak daripada membangkitkan isu-isu sensitif secara terbuka yang mungkin mencetuskan ketegangan melainkan melalui saluran yang betul dan di masa yang sesuai," kata beliau.

Dr Ling yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dasar-dasar dan pendekatan-pendekatan berprinsipkan kesederhanaan, tolerensi dan bertolak ansur yang diamalkan oleh kerajaan BN patut disokong oleh rakyat semua kaum.

Tahun 2000 merupakan tahun yang penuh cabaran dan ujian untuk negara dan rakyat, katanya.

Beliau berkata tumpuan rakyat Malaysia pada tahun 2001 adalah memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Katanya, banyak pihak telah melahirkan kebimbangan mereka bahawa ekonomi dunia akan menjadi tidak menentu kerana ekonomi Amerika Syarikat dijangka merosot dan kelembapan ekonomi negara itu sudah tentu akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

Ada pihak juga khuatir berulangnya krisis mata wang dan pasaran saham dunia tetapi kadar mata wang Malaysia yang telahpun ditetapkan akan menjaminkan kestabilan Ringgit.

"Bagaimanapun, dengan usaha yang gigih dan keazaman, kita dapat mengatasi segala cabaran dan ujian ini," kata beliau.

Dr Ling berkata untuk tahun 2001, bagi MCA, usaha-usaha akan dilakukan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan banyak lagi program akan dilancarkan demi faedah rakyat.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dalam perutusan tahun barunya berkata, rakyat mesti terus mempereratkan perpaduan memandangkan adanya usaha-usaha kumpulan tertentu untuk menerap rasa benci di kalangan pelbagai kaum.

"Kita mesti berjaga-jaga...kita tidak harus membenarkan emosi menguasai kita," kata beliau dalam perutusan tahun barunya.

Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya berkata sentimen perkauman dan kempen benci yang digunakan oleh pembangkang terhadap kerajaan pada pilihan raya kecil Lunas, 29 Nov lepas menunjukkan mereka "tidak hiraukan masa depan negara." Beliau menyeru rakyat supaya menolak unsur perkauman dan bersatu untuk memastikan Malaysia terus kekal aman dan makmur.

"Terdapat banyak peluang bagi kita di negara ini.

Ia hanya terpulang sejauh mana kita sanggup bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

Presiden parti Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, tahun baru bermula dengan negara masih berbelah bahagi dengan pelbagai pandangan dalam membina negara.

"Tetapi ini tidak harus menimbulkan kebimbangan selagi semua pihak menunjukkan kematangan masing-masing dalam membincangkannya di khalayak umum; saling menghormati hak pihak yang lain untuk mengutarakan pandangan dan akhirnya mencari jalan persefahaman untuk mengatasi apa-apa kebuntuan," kata beliau dalam perutusannya.

Dr Lim yang juga Menteri Perusahaan Utama berkata, debat-debat mengenai membina negara adalah sihat dan perlu digalakkan.

Beliau juga berkata, prospek pertumbuhan ekonomi bagi 2001 bukan cerah seperti tahun 2000, jika kerajaan meneruskan pembanguan ekonomi menggunakan laluan yang sedia ada.

Untuk mencapai pertumbuhan positif akan memerlukan usaha-usaha ke arah perubahan struktur ke sektor-sektor kecil pertumbuhan tinggi seperti telekomunikasi dan hujung rantaian tambah nilai dalam sub sektor elektronik dan bioteknologi.

"Bagaimanapun, kita perlu ingat pentingnya meningkatkan produktiviti dan seterusnya daya saing, jika Malaysia mahu bersaing dalam persekitaran ekonomi antarabangsa yang semakin sukar, mencabar dan kompetitif," katanya.

Beliau berkata, golongan terpinggir dalam semua kumpulan etnik harus diberi peluang dalam pendidikan, latihan, perniagaan dan pentadbiran awam.

"Saya yakin kita akan dapat rumuskan formula bersama yang akan menyaksikan pembangunan berterusan negara kita dalam semua bidang dan memperkukuhkan lagi perpaduan negara," katanya.

Presiden PPP Senator Datuk M.

Kayveas berkata, sudah tiba masa bagi semua pihak untuk pertimbangkan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya hentikan kontroversi berhubung tuntutan dan tuntutan balas yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) dan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung (GPMS).

Beliau berkata, selama ini isu perkauman telah digunakan dari masa ke masa oleh pelbagai pemimpin dan kumpulan yang hanya mementingkan masyarakat masing-masing.

Kayveas berkata pemimpin-pemimpin itu hanya melaungkan mereka rakyat jati Malaysia tetapi sebenarnya tidak mengamalkan apa yang mereka sendiri laungkan, dan menambah kata mereka harus ikhlas.

-- BERNAMA

REFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADILREFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADILREFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADILREFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADILREFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADILREFORMASI & ISLAH
KE ARAH MALAYSIA YANG ADIL


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com