Sesekali, pada petang Sabtu, IB bersama beberapa rakan-rakan reformis,
memandu kereta melungsur sekitar jalan-jalan TAR di ibu kota sambil
bernostalgik dengan Demo Petang Sabtu (DPS). Kadang ianya merebak ke Masjid
Kg. Baru dari waktu Maghrib hingga ke tengah malam.
Sudah sekian lama jalan-jalan tersebut tidak sesak dengan ribuan manusia
pelbagai kaum melaungkan REFORMASI.
Dalam usaha mengingatkan kembali siapa sebenarnya yang menganjurkan DPS, kami
buntu mencari jawapan. Ini kerana ianya bermula tanpa dirancang oleh sesiapa
pun. Masing-masing yang hadir adalah dari gerakan hati yang ingin menyatakan
kebenaran dan menuntut keadilan yang kian pupus di tanah air yang tercinta.
Seorang rakan IB mengembalikan ingatan kami kepada suatu cadangan dalam
laman-laman reformasi, pada masa itu, untuk melakukan konvoi di jalan-jalan
di ibu kota dan di senaraikan beberapa batang jalan tersebut. Tetapi
hasilnya, ramai yang berkumpul di sepanjang Jalan TAR dari SOGO hingga ke
persimpangan Jalan Tun Perak.
Malah rancangan berkonvoi tersebut turut dilakukan di beberapa bandar lain
termasuk Shah Alam, Ipoh dan Seremban untuk beberapa kali. Namun sambutannya
tidaklah sehebat di Jalan TAR.
Bagaimana dengan cadangan bagi memperkatakan resolusi menuntut keadilan
sempena Tahun Baru ini dengan semangat REFORMASI yang berterusan dan sebagai
“pre-empt” dan untuk “rev-up” semangat kita sebelum Perhimpunan 100,000
Rakyat II pada 20 Januari ini, kita sama-sama berkenderaan dalam konvoi yang
ramai seperti DPS yang lepas-lepas.
Nyalakan lampu kenderaan masing-masing. Tiada salahnya kalau kita
bersiar-siar di kota yang tercinta. Tiada salahnya menyalakan lampu. Dan
tiada salahnya membunyikan hon (asalkan tiada tanda melarang).
Bila disekat oleh anggota trafik – lencong sebentar, buat pusingan di mana
patut dan kembali ke jalan tersebut.
Perlu diingatkan – bila kita berkonvoi DPS ini, PAStikan bahawa;
1. Anda mempunyai lesen memandu yang sah – bagi yang memandu.
2. Tiada sebarang kesalahan yang nyata pada kenderaan anda – seperti cukai
jalan, tayar tidak berbunga, cermin gelap, nombor plat, dsbnya.
3. Tidak membawa sebarang senjata bahaya (atau apa-apa yang boleh dianggap
senjata).
4. Anda tidak lupa membawa IC/KP anda.
5. Jangan melakukan kesalahan jalanraya – yang memudahkan anggota Polis
mencari sebab untuk menahan saudara.
Bolehkah kita bertemu janji di sekitar Jalan TAR di antara jam 2.30 petang
hingga jam 5.30 petang, Sabtu ini, 6 Januari dan mungkin sekali lagi pada 13
Januari??? Jangan lupa solat Maghrib di Masjid Kg. Baru selepas itu.
Jom!
Sekian
Ibrahim Baba
3 Januari 2001