Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Memori Perang Teluk di London

Oleh : Hishamuddin Rais

Saya tidak akan melupakan tarikh 17 Januari 1991. Saya tahu di mana saya berada dan apa terjadi pada hari itu. Sepuluh tahun dahulu pada hari itu, kota Baghdad telah dibom oleh 36 buah negara sekutu Amerika Syarikat. Semua babak dan imej Perang Teluk ini masih jelas dalam ingatan saya hingga ke hari ini.

Saya pula tidak mungkin dapat melupakan Iraq dan kota Baghdad - negara dan kota ini telah menjadi sebahagian dari naratif perjalanan hidup saya.

Seorang anak muda teman mahasiswa dari Universiti Baghdad semasa mengalu-alukan kedatangan saya telah mengeluarkan pepatah Iraq: “Sesiapa yang telah meminum air sungai Dajlah tidak akan melupakan kota Baghdad.” Nah! Kenyamanan air Dajlah inilah yang telah memerangkap ingatan saya.

Pepatah Iraq ini mengingatkan saya kepada satu pepatah Melayu: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berlindung.

Pada 1991 saya telah selesai belajar. Lalu secara rasmi saya berpindah dari Belgium untuk menjadi warga kota London. Waktu ini saya tinggal tidak jauh dari pusat kota bersama kekasih saya, seorang gadis Finland. Kekasih saya yang berbahasa dan berbudaya Swedish bekerja sebagai pereka tekstil dan fesyen. Saya pula bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Soho.

Sebenarnya, sejak saya sampai di Eropah pada awal 1980-an, saya tidak lagi mengikuti politik Timur Tengah secara teperinci. Mungkin kerana kebosanan atau kerana kemeriahan hidup di London, menjadikan saya lalai. Tetapi pada akhir bulan Julai 1990, media massa di London telah digemparkan dengan berita ‘Iraqi military movement towards Kuwait’s border’ yang dibocorkan oleh sebuah akhbar Arab yang diterbitkan di London. Berita yang awalnya kecil kian menjadi besar. Tidak sampai seminggu kemudian 2 Ogos 1990, tentera Iraq memasuki Kuwait.

Detik-detik dan aroma kota Baghdad menyusup kembali ke dalam ingatan. Kesedaran saya terhadap politik Timur Tengah terbuka kembali. Kami - aktivis politik, orang wayang, orang budaya dan orang fesyen kota London - sering berbincang sesama sendiri tentang apa yang bakal terjadi di Timur Tengah. Berita tentang beberapa aktor/artis terkenal seperti Emma Thompson, yang telah keluar berdemonstrasi menentang perang menyemarakkan budaya politik para seniman kota London.

Serangan ‘pengganas Arab’

Soiree dan jamuan makan kami sering menjadi medan debat yang hangat. Tetapi saya seorang sahaja yang menyokong tindakan Iraq memasuki Kuwait. Saya mengajukan pandangan berlainan kerana semasa saya menjadi tamu kota Baghdad pada 1975 dahulu, saya telah diberitahu tentang susur-galur sejarah siasah kuasa imperialis yang memisahkan Kuwait dari Iraq.

Saya dapat berkongsi dan memahami sensibility dan sentimen rakyat Iraq apabila saya membandingkan dengan apa yang terjadi kepada Tanah Melayu sendiri. Bumi Melayu juga telah dipecah-pecahkan oleh kuasa imperialis Inggeris. Empat wilayah di utara Semenanjung Tanah Melayu kini menjadi negara Siam pada tahun 1902. Singapura pula dipisahkan pada 1965. Dan Brunei sendiri adalah contoh yang paling hampir menyerupai Kuwait - diwujudkan hanya kerana kepentingan perniagaan minyak.

Sikap saya ini cukup tidak popular di kalangan teman-teman. Keadaan ini tidak pula dibantu oleh media Inggeris yang begitu ampuh menyerang Iraq dan kepimpinan Saddam Hussein. Kekasih saya, yang mendakwa dirinya seorang demokrat sosial, kini tidak selari lagi dengan pandangan politik saya. Kami sering bertelagah dan saya dituduh “pengampu” Saddam.

Saya pula menuduh negara-negara Eropah - dua tahun sebelumnya telah memberikan segala kelengkapan senjata kepada Saddam untuk memukul Iran. Kini negara Eropah telah diserang penyakit amnesia politik. Saya bertegang lidah cuba membuktikan bahawa negara-negara Eropah telah bersubahat dengan Saddam untuk melumpuhkan semangat revolusi rakyat Iran. Britain yang menjadi tuan rumah saya adalah culprit terunggul yang telah mempersenjatai Iraq.

Suasana kota London beberapa bulan sebelum perang cukup hangat. London yang sering menjadi sasaran Tentera Republik Ireland (IRA) kini menghadapi kemungkinan serangan “hebat” daripada apa yang dikatakan sebagai “kumpulan pengganas Arab.” Keretapi bawah tanah sering diganggu-gugat oleh panggilan bom. Sebagai warga kota London, kami terus berwaspada.

Pada waktu ini, pulang saja daripada kerja saya akan berhadapan dengan televisyen untuk menonton debat Timur Tengah di Channel 4, sebuah stesen swasta yang agak liberal. Media massa British yang mendukung piagam kebebasan bersuara setiap malam telah menjemput pakar-pakar rujuk untuk membincangkan secara terbuka krisis Iraq-Kuwait hingga ke awal pagi.

Intelektual Arab, pemikir Islam, bekas tentera, bekas diplomat, wartawan dan budayawan telah mengeluarkan pelbagai pandangan. Ada yang menyokong dan ada yang menentang Iraq.

Krisis musim panas ini berlanjutan hingga ke musim sejuk. Pada musim cuti Krismas dan tahun baru, kekasih saya telah pulang ke Stockholm. Saya pula mengambil kesempatan untuk pergi ke Brussels, kota lama saya. Saya menjadi tamu seorang teman lama yang kini menjadi birokrat Kerjasama Ekonomi Eropah (EEC). Anak muda Inggeris bekas aktivis Parti Buruh ini dapat pula saya yakinkan bahawa Kuwait itu sebahagian dari Iraq. Mungkin kerana politik kirinya atau mungkin juga kerana dia ingin menghormati saya sebagai tamu - sukar pula saya pastikan.

Di Belgium, saya tidak begitu serasi dengan media Perancis. Lalu, kerana tidak ingin tertinggal daripada mengetahui perkembangan politik Iraq-Kuwait, saya telah membeli sebuah radio transistor. Radio kecil yang tersimpan di dalam jaket musim sejuk terus terpasang agar saya dapat mendengar siaran berita terkini dari agensi penyiaran BBC London.

Panggilan bom di panggung wayang

Brussels pada musim sejuk bukanlah sebuah kota yang indah. Rumah pangsa tempat saya menginap hanya beberapa minit saja dari Grande Place, pusat kota ini. Keadaan itu menyenangkan saya untuk berlegar di dalam kota dengan berjalan kaki. Untuk menghabiskan masa bercuti, saya ulang melawat beberapa buah muzium dan gereja tua.

Setiap kali di Brussels, saya tidak akan lupa melawat Muzium Seni Moden Brussels. Bangunan tujuh tingkat di bawah tanah ini memuatkan kerja-kerja seni moden para seniman dan pelukis dunia. Mungkin hanya Muzium Seni Moden New York sahaja yang dapat menandingi koleksi di Brussels.

Suatu petang, semasa meninggalkan bangunan muzium ini, saya terserempak dengan Pesta Filem Brussels yang sedang berjalan tidak berapa jauh dari muzium ini. Lalu saya bertekad untuk menghabiskan masa cuti saya di dalam panggung wayang. Saya berasa cukup bernasib baik kerana berpeluang menonton filem The Last Movie arahan Dennis Hopper, yang begitu banyak diperkatakan tetapi cukup susah untuk dicari dan ditonton.

Pada hari keempat festival filem ini, saya menempah tiket untuk menonton sebuah filem dari Iran. Belumpun sempat filem ini diputarkan tiba-tiba bangunan kami telah dikepung polis dan bomba. Para penonton diarahkan keluar dari dewan. Polis Brussels telah menerima panggilan telefon. Bom jangka telah dipasang di dalam salah sebuah dewan dan akan meletup dalam masa setengah jam.

Saya hanya meneka bahawa penduduk Arab Mahgribi, yang ramai tinggal di Brussels, telah membuat panggilan bom ini sebagai tanda sokongan dan setiakawan mereka terhadap rakyat Iraq. Dalam keadaan kelam-kabut ini, saya terus mengundurkan diri menuju ke sebuah kafé berhampiran Grande Place. Di dalam kafé ini, saya terdengar nama Iraq dan Kuwait disebut-sebut.

Nampaknya suasana “kecoh” di Brusssels sama sahaja seperti di kota London. Saya semakin dapat rasakan bahawa perang akan meletus bila-bila masa sahaja. Bahangnya cukup membakar walau di musim sejuk. Radio kecil di telinga saya terus-menerus melaporkan berita-berita terkini. Kenyataan panglima-panglima Nato, panglima perang Amerika Syarikat dan sekutunya yang telah bersiap sedia untuk menyerang Iraq terus menjadi induk berita.

Dua hari sesudah saya digagalkan menonton filem Iran, sayapun menempah tiket keretapi dan kapal laut untuk pulang ke London. Teman saya dan kekasihnya menghalang saya daripada pulang dan mengajak saya terus bercuti di luar kota kerana daripada bacaan mereka, perang tidak akan meletus. Semua ini, menurut teman saya, mungkin satu sandiwara George Bush, Presiden Amerika untuk menggertak Saddam.

Tetapi saya telah membuat keputusan untuk berada di kota London apabila perang bermula kerana saya lebih selesa dengan aktiviti politik kota itu daripada Brussels. Saya juga telah berjanji untuk pulang ke London seminggu setelah percutian masing-masing.

‘Ibu segala peperangan’

Saya menaiki keretapi terakhir dari Brussels Central menuju ke pelabuhan Ostend. Perjalanan satu jam ini disambung pula dengan kapal laut yang akan bergerak pada 11.45 malam menuju ke pelabuhan Dover. Dari Dover, saya sambung kembali perjalanan dengan keretapi ke London. Keseluruhan perjalanan ini mengambil masa enam hingga lapan jam. Saya telah berpuluh-puluh kali berulang-alik dari Brussels ke London, sehinggakan saya rasakan perjalanan ini cukup membosankan.

Setelah satu jam dalam perjalanan menuju Dover, saya rasa keletihan. Ombak Selat Inggeris di musim sejuk kadang kala agak ganas. Menaiki kapal pada malam hari juga amat membosankan. Lalu saya membaringkan diri sambil mendengar berita terkini dari BBC. Berita-berita terakhir jam 1 pagi menyebutkan persediaan perang telah tersusun rapi. Panglima perang sekutu-sekutu Amerika hanya menunggu cuaca yang baik. Stesen Inggeris ini telah mengubah rancangan siaran untuk memberikan laporan terus-menerus persediaan tempur atau dipanggil “Ibu Segala Peperangan” oleh Saddam.

Tanpa disedari saya telah terlena. Dua jam kemudian, hampir jam 4 pagi, radio yang masih terpasang di telinga telah memberitakan “Baghdad telah dibom.” Dengan marah saya bangun dan melihat di sekeliling. Semuanya sunyi. Penumpang kapal kebanyakannya tidur atau termenung sendiri-sendiri. Saya berasa seolah-olah diri dikelilingi musuh.

Menjelang subuh, kami sampai di Dover. Setelah selesai berurusan dengan pihak imigresen dan kastam, saya terus keluar dan bangun berdiri di atas tempat yang tinggi dan melaungkan “… the bastards have started the war…” (anak haram itu telah mulakan perang). Penumpang kapal yang masih keletihan tercengang-cengang - tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya pun terus menerangkan bahawa Perang Teluk baru saja bermula dua jam tadi semasa kapal itu di tengah lautan Selat Inggeris.

Tiba-tiba saya dihampiri oleh seorang anak muda berkulit hitam yang ingin bertanya apa yang telah terjadi. Lalu saya bersurah panjang pada subuh itu. Anak muda berkulit hitam ini sedar apa yang terjadi. Simpatinya menjurus ke Iraq. Dia melihat perang ini sebagai “racist war” – untuk mengukuhkan kuasa bangsa kulit putih.

Di London akhbar-akhbar pagi telah heboh memaparkan berita perang. Sesampai di rumah, saya terus mengikuti siaran televisyen yang menunjukkan serangan roket berpandu menyerang Iraq. Kekasih saya yang telah sampai sehari lebih awal di London kini kelihatan lebih bersimpati terhadap Iraq.

Petang itu kami turun bersama-sama ribuan penduduk kota London untuk membantah peperangan ini. Kami berkumpul di Dataran Trafalgar, kemudian berarak menuju ke Downing Street yang kini dikawal rapi.

Setiap petang ada tunjuk perasaan untuk membantah Perang Teluk. Keadaan kota London cukup tegang, ditambah pula kemuraman musim sejuk. Beberapa hari setelah perang tercetus, sebuah peluru berpandu telah meledak di sekitar No 10 Downing Street. Perdana Menteri John Major dan anggota kabinetnya sedang bermesyuarat ketika bom itu meletup.

Nasi goreng panas

Sejam kemudian saya sampai di kawasan ini untuk mengambil gambar. Kawasan bersalji ini telah dikawal ketat. Dengan menggunakan lensa kamera, saya dapat melihat sebuah van yang masih terbakar. Dari berita yang saya baca, peluru berpandu ini dilancarkan dari van ini yang dihentikan tidak berapa jauh dari Downing Street. Peluru berpandu ini dilancarkan oleh IRA, mungkin untuk menunjukkan setiakawan mereka kepada rakyat Arab.

Di restoran tempat saya bekerja, perbincangan tentang perang tidak putus-putus. Restoran ini dimiliki oleh satu keluarga Melayu dari Medan, Sumatera. Mereka juga bersimpati dengan Iraq. Lalu saya yakinkan tuan restoran itu agar menunjukkan sokongannya dengan memberikan nasi goreng panas kepada anak-anak muda antiperang yang kini berkhemah 24 jam di depan kedutaan Amerika Syarikat.

Lalu, setiap malam kekasih saya datang berkereta dan kami pun membawa nasi goreng panas untuk diberikan kepada anak-anak muda yang berkumpul di dalam kesejukan di depan kedutaan Amerika. Kekasih saya seorang demokrat sosial kini semakin bersimpati terhadap apa yang pernah saya katakan kepadanya.

Akhbar-akhbar British yang berhaluan kanan semakin jelas agenda perkaumannya. Berita pembunuhan ratusan tentera Iraq yang sedang berundur cukup memualkan. Gambar-gambar mayat yang hangus terbakar di dalam trak askar membuatkan saya muntah. Semua media Barat kelihataan bergembira terhadap apa yang berlaku. Rakyat Iraq kini bukan lagi dianggap manusia - mereka hanyalah sasaran percubaan teknologi persenjataan yang terbaru dan tercanggih.

Tiga hari sebelum perang berhenti saya memboikot televisyen dan tidak lagi membeli akhbar. Saya tidak lagi ingin tahu apa yang sedang berlaku. Selama sebulan saya tidak membaca akhbar atau menonton televisyen.

Jalan-jalan dan lorong-lorong kota Baghdad masih segar dalam ingatan. Kezaliman Saddam tidak pernah saya pertikaikan. Saya membantah Perang Teluk kerana, untuk saya, ia adalah perang imperialis. Perang mempertahankan kepentingan syarikat minyak antarabangsa yang ingin terus menguasai telaga-telaga minyak di Timur Tengah.

Lapan bulan setelah perang berhenti saya bertemu kembali anak muda berkulit hitam yang sekapal dengan saya. Kali ini kami bertemu dalam suasana yang lebih meriah - di Notinghill Gate Festival - pesta jalanan masyarakat berkulit hitam di London. Teman saya di Brussels masih lagi seorang birokrat ibu pejabat EEC. Kekasih saya pulang ke Stockholm. Saya masih juga pelayan di Soho.

Sekali-sekala teringat juga saya kepada kenyamanan Sungai Dajlah.

....................................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com