Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Umno pikul ‘biawak hidup’

Hishamuddin Rais

Umno, mengikut kenyataan Datuk Shahrir Samad, sedang dibebani Presidennya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno ini dilaporkan Far Eastern Economic Review, sebuah majalah ekonomi antarabangsa yang diterbitkan di Hong Kong minggu lepas

Ayat asal Shahrir, “Dr Mahathir is liability to the party…’ Jika difahami dalam konteks budaya Melayu, kata-kata itu boleh ditakrifkan bahawa hari ini Umno (atau nama lengkap, United Malays National Organisation) sedang memikul seekor “biawak hidup.”

“Memikul biawak hidup” adalah satu peribahasa Melayu hasil pengalaman terkumpul nenek moyang kita. Kata-kata hikmat ini adalah ilmu warisan yang disusun dalam lenggok bahasa yang indah, ditinggalkan untuk menjadi pengajaran dan pendidikan turun-temurun.

Peribahasa ini timbul hasil pengalaman dan pemerhatian dalam konteks budaya Melayu. Pasti pernah ada manusia Melayu yang memikul seekor biawak hidup. Semasa memikul biawak itu, manusia Melayu ini mungkin telah dicakar, digigit atau dikencing oleh sang haiwan itu.

Cerita-cerita lisan rakyat Melayu kuno banyak berkisar dengan kisah, tauladan dan metafora binatang. Biawak dalam mitos dan budaya Melayu bukanlah satu binatang yang disukai; tidak seperti kancil yang dianggap bijak bistari.

Biawak juga digunakan dalam satu lagi perumpamaan Melayu: Seperti lidah biawak. Perumpamaan ini juga muncul hasil pengamatan mereka apabila melihat lidah biawak yang bercabang.

Lidah biawak diertikan kepada seseorang yang cakapnya berdolak-dalik dan tidak boleh dipercayai. Malah budaya Melayu begitu allergic (alah) sekali terhadap biawak - hingga dianggap sial dan perlu dibatalkan perjalanan seseorang jika dilintasi oleh seekor biawak.

Justeru, rumusan dan kata penutup yang logik daripada kenyataan Shahrir itu menunjukkan dengan jelas bahawa ‘seekor biawak’ bukan saja sedang membebani Umno, malah sedang membebani 22 juta rakyat Malaysia.

Metafora ini menjadi surreal apabila manusia si pemikul biawak ini (baca: ahli Umno) tidak pula menghumbankan biawak ini ke tanah. Malah sang biawak dapat pula mengarahkan jalan yang perlu diambil oleh si pemikul.

Umno tali barut Inggeris

Maka, kerana Umno ingin terus memikul biawak hidup, lalu ‘diada-adakan’ agenda perpaduan Melayu. Media arus perdana terutama Utusan Malaysia sedang memukul tabuh dan canang untuk menghebahkan ke seantero desa bahawa masalah yang dihadapi oleh negara ini ialah perpecahan Melayu.

Walhal sebenarnya manusia Melayu tidak pernah bersatu dan tidak mungkin bersatu. Tidak ada satu pun bangsa si dunia ini yang bersatu. Dalam konteks politik moden, dari zaman Tanah Melayu, Malaya hingga menjadi Malaysia telah tercacit dengan jelas bagaimana wujud pelbagai kelompok, persatuan, kumpulan dan parti-parti politik Melayu yang memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Manusia adalah insan yang mempunyai fikrah dan memiliki pandangan dunia masing-masing. Pandangan dunia yang wujud berasaskan kepentingan ekonomi dan kepentingan kelas. Kepentingan ekonomilah yang menjadikan manusia berkumpul dan bersatu. Dalam konteks moden, kumpulan yang berkepentingan ini akan menubuhkan parti politik.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa satu-satu bangsa boleh bersatu dalam suasana perang atau jika negara tanah tumpah darah mereka sedang diserang. Teori ini juga tidak begitu kukuh. Contohnya, semasa Hitler mengganyang Yahudi di Eropah, masih ada kumpulan Yahudi penganut fahaman Zionis yang bersekongkol dengan Nazi.

Perang Teluk 1992, sekali lagi membuktikan bagaimana Syria, Arab Saudi atau Jordan yang berbangsa Arab telah menyokong Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq walhal negara pimpinan Saddam Hussein itu sebuah negara Arab.

Di Tanah Melayu sendiri, semasa Jepun menyerang dan menguasai negara ini, masih ada orang Melayu yang bekerjasama dan bersubahat dengan Jepun. Ibrahim Yaacob, nasionalis Melayu yang unggul, bersama penyokongnya telah bekerjasama dengan Jepun atas kepentingan politik dan pandangan dunia beliau.

Contoh yang paling hakiki ialah bagaimana Umno sendiri telah bersubahat dan menjadi tali barut penjajah Inggeris untuk menumpaskan gerakan perjuangan nasionalis kiri Melayu daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Suasana politik hari ini juga masih lagi berlandaskan asas kepentingan ekonomi. Orang Melayu tidak perlu ditakut-takutkan dengan ‘hantu Cina’. Gerakan, MCA dan DAP adalah parti-parti yang disokong oleh bangsa Cina. Walaupun mereka merupakan bangsa dan rumpun yang sama tetapi tidak mungkin bersatu. Kepentingan mereka berbeza-beza.

Untuk melihat lebih jauh, cuba fikirkan mengapa Mao Zedong dan Chiang Kai Shek - kedua-duanya berbangsa Cina tetapi berperang sama sendiri hingga ke hari ini.

22 juta Lebah

Justeru memukul tabuh untuk mewujudkan perpaduan Melayu itu hanya memukul gendang kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna. Menurut analisa politik moden, Umno hari ini adalah sebuah parti Melayu yang mewakili, menjaga dan mengawal kepentingan pemodal birokrat dan korporat Melayu.

Oligarki birokrat inilah yang menguasai punca-punca ekonomi negara. Amalan ini dibuktikan dalam kes-kes menyelamatkan syarikat penerbangan MAS dan konglomerat Renong. Umno tanpa berselindung telah menggunakan wang ringgit rakyat untuk menyelamatkan kepentingan oligarki Melayu ini.

PAS pula sebuah parti Melayu yang mewakili peniaga-peniga kecil, kontraktor kecil, guru-guru, kaum tani, pekerja dan golongan profesional Melayu berjawatan rendah. Golongan pemodal dan peniaga kecil yang menjadi asas penyokong PAS. Ahli-ahli parti ini sering dipinggirkan, lalu mereka tercicir dalam perebutan punca-punca ekonomi.

Justeru apa yang jelas ialah dua kumpulan Melayu ini mempunyai kepentingan dan pandangan dunia yang berlainan. Mereka terbahagi kepada dua kelas ekonomi yang saling bertentangan. Mereka tidak mempunyai kepentingan yang selari, justeru tidak mungkin akan wujud perpaduan walaupun mereka daripada satu bangsa dan budaya yang sama.

Dalam sejarah tamadun manusia, kita juga telah ditunjukkan bagaimana manusia boleh bersatu untuk beberapa ketika. Penyatuan ini wujud untuk mempertahankan kepentingan ekonomi bersama. Pembahagian agihan ekonomi dan bahan-bahan yang menjadi punca-punca ekonomi adalah teras asas penyatuan ini.

Hari ini manusia Melayu wajib merujuk dan menilai makna tersirat dalam metafora Sang Kancil. Sang Kancil telah berjaya menumpaskan Sang Buaya dan Sang Harimau. Sang Kancil dengan bijak bistari telah menggunakan Lebah untuk menyerang Sang Harimau.

Justeru, 22 juta rakyat negara ini adalah ‘lebah’ yang wajib berpadu dan untuk membebaskan diri daripada terus memikul seekor biawak hidup yang lidahnya mungkin bercabang tiga.

.............................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 17 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com