Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [9]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [9]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

81. Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat merupakan satu program bersejarah kerana ia merupakan satu majlis yang buat pertama kalinya cuba menggabungkan sambutan dan perayaan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

82. Bagi umat Islam di negara ini yang telah menjadikan sepanjang bulan Syawal sebagai bulan sambutan Hari Raya, pastinya perhimpunan ini membawa pengertian yang penuh makna kerana ia mengembalikan nostalgia Jalan Kebun dan Lebuhraya KESAS pada 5 November.

83. Selaras dengan komitmen Ketua Pemuda keADILan, Sdr. Ezam Mohd Nor dan Ketua Penerangan keADILan, Sdr Ruslan Kasim untuk menjadikan tahun 2001 sebagai tahun bagi rakyat terus menyemarakkan perhimpunan aman, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yang diadakan pada awal tahun 2001 diharapkan menjadi "pembukaan" penting bagi aspirasi rakyat Malaysia memperjuangkan hak mereka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk berhimpun secara aman.

84. Sesuai dengan "mood" perayaan, menjalin silaturrahim dan saling maaf memaafkan, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat adalah satu-satunya program "pembukaan" ke arah menjadikan tahun 2001 sebagai tahun menyemarakkan semangat rakyat untuk memperjuangkan hak mereka untuk berhimpun secara aman.

85. Sesuai dengan "mood" ini dan aspirasi kita untuk terus berhimpun secara aman sepanjang tahun 2001 tanpa menghadapi tindakan yang tidak diingini daripada pihak polis, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menyeru rakyat semua untuk berganding bahu memahami serta memperjuangkan hak yang telah digariskan oleh Perlembagaan negara kita.

86. Jawatankuasa percaya dengan disiplin yang tinggi daripada rakyat ketika menghadiri mana-mana perhimpunan yang telah pun dimaklumkan kepada pihak-pihak berwajib seperti Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat pada 20 Januari 2001, kita akan berjaya menjadikan semua perhimpunan yang dianjurkan pada masa hadapan sebagai perhimpunan aman bebas daripada sebarang keganasan serta tanpa kekerasan daripada pihak polis.

87. Di atas "mood" ini, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 meminta para penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan aktivis reformasi meningkatkan kepekaan rakyat umum perihal hak mereka untuk berhimpun secara aman. Kita tidak sepatutnya ditakut-takutkan lagi dengan undang-undang yang menghalang rakyat berhimpun sedangkan peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan hak mereka untuk berhimpun secara aman.

88. Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen hendaklah dihormati oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang mempertahankan hak rakyatnya dan bukan sebagai sebuah kerajaan yang sering melakukan pencabulan terhadap hak asasi rakyatnya sendiri yang dipertahankan oleh Perlembagaan.

89. Imej kerajaan Barisan Nasional yang dilihat oleh negara asing sebagai sering mencabul hak asasi manusia amat memalukan rakyat negara ini. Memberi jawapan kepada masyarakat dunia bahawa interpretasi hak asasi manusia yang diamalkan di barat tidak sesuai dengan suasana dan budaya masyarakat Malaysia tidak membantu memperbaiki keadaan. Dengan mengatakan bahawa berdemonstrasi bukan budaya orang Malaysia sebagai jawapan bahawa negara ini tidak pernah mencabuli hak asasi rakyatnya sendiri satu jenaka yang memalukan diri sendiri. Ini kerana jika berdemontrasi secara aman bukan budaya rakyat Malaysia kenapa peruntukan tersebut masih wujud dalam Perlembagan tersebut? Atas dasar apakah pula budaya rakyat Malaysia disandarkan sekiranya Perlembagaan Persekutuan tidak menjadi panduan bagi keluhuran undang-undang?

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
9 Januari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 10 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com