Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [8]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [8]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

71. Jawatankuasa Kerja yang akan mengendalikan sambutan Hari Raya di Kampong Medan ditubuhkan dengan kerjasama antara PAS dan keADILan Kuala Langat. Gandingan antara kedua-dua parti dalam Barisan Alternatif itu telah terbukti sejak Pilihanraya Umum 1999 dan tiga pilihanraya kecil di Sanggang, Telok Kemang dan Lunas.

72. Sumbangan tenaga para aktivis keADILan dan PAS dari Kuala Langat dalam Pilihanraya Kecil Lunas, seperti juga sumbangan tenaga para aktivis Barisan Alternatif dari kawasan lain seluruh negara, merupakan antara faktor utama kemenangan calon Barisan Alternatif, YB Saifuddin Nasution Ismail dalam pilihanraya kecil tersebut.

73. Kerjasama antara dua parti dalam Barisan Alternatif di peringkat Kuala Langat itu semakin mantap sebagaimana bertambah mantapnya gandingan Barisan Alternatif dari hari ke hari di peringkat nasional.

74. Kerjasama antara PAS dan keADILan dengan dimantapkan lagi oleh rakan-rakan dari DAP, PRM, JIM, ABIM dan para reformis di Kuala Langat untuk menganjurkan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini pasti akan memantapkan lagi perjuangan menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman di negara ini.

75. Sejak pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 dan berikutnya tercetusnya reformasi, ramai penduduk Kuala Langat khususnya di Sijangkang, Telok Datok dan Morib telah meninggalkan parti yang telah mereka sertai sejak turun menurun. Mereka meninggalkan parti itu untuk menyertai PAS. Bagi mereka dengan kezaliman yang dilakukan terhadap Wira Reformasi itu tiada ertinya lagi mereka bersekongkol dengan kezaliman dan terus menjadi ahli parti usang tersebut.

76. Penubuhan keADILan pada April 1999 terus membuka ruang yang bertambah luas bagi penduduk tempatan yang sebelum itu tidak pernah menyertai mana-mana parti politik untuk terlibat aktif memperjuangkan keadilan serta membela Anwar. Penglibatan mereka sama ada sebagai ahli mahupun penyokong parti keADILan memantapkan lagi suasana perjuangan reformasi di seluruh Kuala Langat pada masa itu.

77. Pilihanraya Umum pada November 1999 menjadi platform kerjasama bukan hanya antara parti-parti yang mengetengahkan calon-calon Parlimen dan DUN; iaitu PAS, DAP dan keADILan, tetapi juga menjadi medan kerjasama dan permuafakatan rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Alternatif di negara ini.

78. Gelombang pembaruan semasa Pilihanraya Umum 1999 yang ditunjukkan oleh penduduk Kuala Langat, seperti juga gelombang perubahan yang berlaku di seluruh negara ketika itu cukup mengkagumkan kita semua.

79. Kini sekali lagi gelombang kerjasama ini akan dibuktikan di Kuala Langat. Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan menyaksikan sekali lagi permuafakatan aktivis reformasi bukan hanya di kalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS, keADILan, DAP, PRM, JIM, ABIM dan NGO-NGO lain di kawasan tersebut. Tetapi gelombang kali ini akan digerakkan sekali lagi oleh penduduk-penduduk tempatan yang semakin bersemangat dengan kemenangan Barisan Alternatif dalam Pilihraya Kecil DUN Lunas pada 29 November 2000 setelah genap setahun berlangsungnya Pilihanraya Umum 29 November 1999.

80. Sama-sama kita akan saksikan bahawa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat di samping menjadi majlis sambutan Hari Raya serta majlis meraikan rakan-rakan lain yang merayakan Krismas, Tahun Baru Cina dan Hari Ponggal, bakal menjadi platform bagi rakyat negara ini menegaskan komitmen mereka untuk membentuk "Malaysia yang Adil".

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
8 Januari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 8 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com