Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [7]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [7]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

60. Sambutan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat pada 20 Januari ini sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini akan diadakan di sebuah tapak tanah seluas dua ekar milik seorang nenek berusia 76 tahun. Beliau begitu berbesar hati menawarkan kepada Jawatankuasa untuk mengadakan sambutan Hari Raya kali ini di tapak tanah miliknya.

61. Sebab utama beliau menawarkan sambutan tersebut diadakan di situ adalah kerana rasa simpati beliau terhadap para penyokong reformasi yang dihalang menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun pada 5 November lalu. Bagi nenek itu perhimpunan tersebut merupakan satu perhimpunan aman dan tidak ada sebab kenapa rakyat dihalang daripada menghadiri sebuah perhimpunan aman yang tujuan utamanya adalah untuk mendengar ceramah daripada pemimpin-pemimpin mereka.

62. Ketika menawarkan lokasi milik persendiriannya itu, nenek tersebut sekali lagi menegaskan apa sebabnya pula rakyat sekali lagi tidak dibenarkan untuk berhimpun secara aman di tanah beliau. Lagipun tegasnya tujuan perhimpunan itu adalah untuk berhari raya.

63. Jawatankuasa amat terharu dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh nenek tersebut dan amat menghargai sokongan dan pengorbanan beliau. Kami hanya memohon semoga Allah merahmati nenek itu dan memberi ganjaran pahala yang sebaik-baiknya kepada beliau.

64. Jawatankuasa juga percaya dengan pengaruh nenek itu di kalangan masyarakat setempat khususnya di Kampong Medan, Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Banting, disertai dengan sokongan penduduk tempatan terhadap reformasi, sambutan Hari Raya di Kampong Medan kali ini akan berjalan dengan lancar dan penuh teratur.

65. Merujuk kepada Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun pada 5 November lalu, Jawatankuasa merakamkan rasa kecewa apabila tuan tanah, Sdr. SD Johari ditahan oleh polis satu hari sebelum perhimpunan tersebut diadakan. Sdr. SD Johari ditahan bersama beberapa orang rakan yang ketika itu sedang duduk berbual-bual di beranda rumah beliau sendiri.

66. Selain daripada itu pihak polis juga telah mengusir para penjual yang sedang mengatur meja jualan masing-masing sempena perhimpunan di tapak tanah milik persendirian itu. Anehnya, apakah patut para penjual itu diusir sedemikian rupa oleh pihak polis sedangkan mereka telahpun mendapat kebenaran untuk menggunakan tempat itu daripada Sdr. SD Johari sendiri.

67. Jawatankuasa ingin mengingatkan sekali lagi bahawa tapak tanah di mana Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat adalah milik persendirian. Dengan itu pihak polis diminta tidak melakukan sesuatu yang tidak menasabah yang akhirnya hanya memburukkan lagi imej pihak polis di kalangan masyarakat sekeliling.

68. Jawatankuasa menyeru agar pihak polis dan pihak-pihak berwajib bertindak secara profesional dan menjalankan tugas bebas daripada tekanan mana-mana ahli politik yang mungkin merasa tergugat apabila rakyat dengan sukarela sanggup datang dari seluruh negara dengan bilangan melebihi 100,000 orang. Kedatangan rakyat membuktikan semangat solidariti dan sokongan kepada perjuangan reformasi.

69. Jawatankuasa juga merayu pada hari baik dan bulan baik ini di mana penganut-penganut Islam, Kristian, Hindu dan kaum Cina merayakan hari-hari kebesaran mereka masing-masing, pihak polis tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan suasana perayaan yang penuh dengan semangat harmoni di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

70. Jawatankuasa terlebih dahulu merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak polis di balai-balai polis Banting, Telok Panglima Garang dan Telok Datok yang bakal memberi kerjasama mereka bagi menjadikan aspirasi rakyat untuk berhimpun secara aman dan penuh mesra dalam Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menjadi satu kenyataan.

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
7 Januari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com