PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [5]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
44. Dalam sama-sama kita menanti sambutan Hari Raya pada 20
Januari di Kampong Medan, mungkin elok juga kita renungkan mengapa para
penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan reformasi serta rakyat sanggup
turun dengan bilangan melebihi 100,000 di Lebuhraya KESAS dan kawasan
sekitarnya pada 5 November lalu.
45. Kita percaya banyak faktor yang menjadi sebab kepada kejayaan
memobilisasi bilangan sebesar itu pada hari tersebut. Tujuan yang paling
jelas kenapa perhimpunan tersebut berjaya menarik bilangan seumpama itu
adalah kerana keinginan rakyat yang amat tinggi untuk mendengar amanat para
pemimpin tertinggi Barisan Alternatif berkenaan isu-isu hak rakyat negara
ini. Pada masa yang sama kejayaannya terletak juga kepada semangat rakyat
yang tulen untuk membela hak-hak rakyat. Antara kemuncak program pada hari
itu adalah majlis membacakan deklarasi "Kembalikan Hak Rakyat".
46. Kejayaan memobilisasi rakyat dengan bilangan sedemikian itu
juga adalah disebabkan komitmen serta kesungguhan semua pemimpin dan aktivis
PAS, keADILan, DAP, PRM serta NGO-NGO seperti ABIM, JIM dan SUARAM di
samping para reformis untuk mengumumkan, memaklumkan serta mengajak seluruh
rakyat untuk menghadiri perhimpunan tersebut.
47. Komitmen yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin serta
aktivis ini untuk memberitahu rakyat seluruh lapisan berkenaan perhimpunan 5
November tersebut melalui ceramah-ceramah umum, penerbitan, internet serta
surat-surat pekeliling meyakinkan rakyat perihal sokongan yang diberikan
oleh kepemimpinan parti-parti serta NGO-NGO ini terhadap perhimpunan
tersebut.
48. Sokongan daripada para pemimpin serta aktivis itu telah
memantapkan lagi pengumumun dan pengiklanan melalui poster, handbill dan
risalah-risalah bertulis yang dilakukan oleh Jawatankuasa pada masa itu.
49. Kali ini sekali lagi, insya-Allah kita percaya bahawa
Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yang bakal dihadiri oleh sekurang-kurangnya
100,000 rakyat melalui sokongan, komitmen dan usaha para pemimpin PAS,
keADILan, DAP, PRM, JIM, ABIM, SUARAM serta NGO-NGO lain di samping aktivis
reformasi dan karyawan untuk memberitahu, mengajak serta meyakinkan rakyat
untuk turut merayakan sambutan Hari Raya pada 20 Januari ini.
50. Di samping edaran lebih daripada 500,000 handbil serta 50,000
poster ke seluruh negara, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yakin
sokongan semua pihak di atas amatlah penting dalam memobilisasikan lebih
100,000 orang rakyat untuk menjayakan sambutan tersebut.
51. Jawatankuasa terlebih dahulu merakamkan penghargaan dan
mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemimpin dan aktivis semua yang
bakal memberi sokongan dan tenaga dalam menjayakan sambutan Hari Raya
seiring dengan meraikan rakan-rakan yang beragama Kristian serta sambutan
Tahun Baru Cina.
“Kembalikan Hak Rakyat”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
5 Januari 2001