PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [4]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
38. Reformasi sosio-politik dan ekonomi sesebuah masyarakat dan
negara biasanya melibatkan transformasi prinsip dan nilai anggota masyarakat
tersebut. Proses ini melibatkan perubahan seluruh lapisan masyarakat dari
atas hingga ke akar umbi. Untuk memungkinkan gelombang perubahan yang lebih
meluas, suatu mobilisasi rakyat dengan satu bilangan yang besar amat
diperlukan. Dengan itu mobilisasi suatu gelombang perubahan yang berkesan
perlu kepada satu bilangan tertentu.
39. Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat, seperti juga Perhimpunan
100,000 Rakyat sebelumnya memilih angka 100,000 orang rakyat sebagai satu
bilangan mobilisasi berpadanan dengan gelombang reformasi yang dicetuskan
oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih dua tahun lalu.
40. Apabila gelombang ini terus disambung oleh pemimpin-pemimpin
Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, keADILan, DAP dan PRM beserta
NGO-NGO dan aktivis reformasi dan karyawan, maka amat layaklah mobilisasi
bagi melonjakkan gelombang reformasi bagi mendapatkan sokongan rakyat akar
umbi ini diteruskan dengan memberi fokus kepada sejumlah 100,000 orang
rakyat.
41. Semangat ini diambil daripada Al-Qur'an, Surah As-Saffat,
ayat 147 yang memperihalkan pahit maung dan rintangan dalam perjuangan Nabi
Yunus a.s. Firman Allah yang mafhumnya: "Dan Kami utus dia (Yunus) kepada
100,000 orang, dan bilangan itu bertambah".
42. Ayat ini menyatakan setelah Nabi Yunus diuji dengan pelbagai
rintangan dalam perjuangannya dan setelah berjaya melaluinya ujian tersebut
satu persatu dengan izin Allah, maka dia diutuskan kepada satu kaum.
Bilangan kaum tersebut dinyatakan sebagai 100,000 orang. Berkat kegigihan
dan kekentalan semangat juang bilangan awal 100,000 orang ini, pengikut Nabi
Yunus dari semasa ke semasa semakin bertambah besar. Akhirnya, dengan
bilangan yang bertambah besar serta diperkukuhkan pula dengan pegangan
kepada kebenaran, mereka menjadi satu umat yang dimartabatkan Allah di muka
bumi dengan kekuasaan dan kemuliaan.
43. Kita berharap semangat inilah yang akan mendasari Perhimpunan
Raya 100,000 Rakyat. Sama-samalah kita jadikan mobilisasi 100,000 orang
rakyat sebagai asas lonjakan dalam proses transformasi prinsip dan nilai
serta anjakan paradigma "Ke Arah Malaysia yang Adil". Kita yakin bilangan
ini akan terus bertambah sebagaimana yang dijanjikan dalam ayat Al-Qur'an di
atas.
“Kembalikan Hak Rakyat”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
4 Januari 2001