Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [3]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [3]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

Bagi rakyat yang turun ke Shah Alam-Klang pada 5 November lalu untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun, Lebuhraya KESAS adalah tidak asing lagi bagi mereka. Oleh itu, Jawatankuasa tidak menjangkakan rakyat akan menghadapi sebarang masalah untuk sampai ke Kampong Medan, iaitu lokasi Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat kali ini.

Bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur, Persimpangan Banting-Klang susur keluar dari Lebuhraya KESAS adalah persimpangan pertama selepas Persimpangan Jalan Kebun di lebuhraya tersebut.

Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November yang bertukar menjadi perhimpunan rakyat di Lebuhraya KESAS berlaku semata-mata kerana tindakan tidak diduga oleh pihak polis menyekat semua jalan masuk ke Jalan Kebun. Apabila semua laluan kenderaan disekat, rakyat tiada pilihan selain daripada keluar daripada kenderaan masing-masing dan berjalan di atas lebuhraya tersebut.

Tindakan polis yang di luar jangkaan terhadap rakyat ekoran perhimpunan raksasa di Lebuhraya KESAS pada hari itu amat dikesali. Rakyat tidak sedikit pun menimbulkan sebarang provokasi terhadap pihak polis. Rakyat juga tidak pernah berniat untuk berkonfrantasi dengan mana-mana anggota keselamatan.

Kali ini di atas nama dan semangat persaudaraan sesama Islam dan sesama rakyat Malaysia, Jawatankuasa Kerja mengambil langkah pro-aktif mewujudkan saluran komunikasi dan perhubungan raya dengan pihak polis di semua balai polis seluruh Kuala Langat, iaitu balai-balai polis Banting, Telok Datok dan Telok Panglima Garang.

Tujuan inisiatif ini adalah agar tidak berlaku sebarang salah tanggapan polis terhadap hasrat rakyat mengadakan sambutan Hari Raya kali ini.

Jawatankuasa sekali lagi ingin menegaskan bahawa perhimpunan ini adalah majlis sambutan hari raya biasa. Kelainannya hanyalah bilangannya dijangkakan melebihi 100,000 orang yang bakal datang dari seluruh negara.

Jawatankuasa menyeru agar pihak polis bertindak secara profesional seperti yang telah mereka lakukan semasa mengawal perhimpunan aman anjuran Jawatankuasa Kembalikan Hak Rakyat bagi membantah penghapusan wang royalti minyak kepada rakyat Terengganu yang diadakan di Kementerian Kewangan tempoh hari.

Jawatankuasa percaya dan yakin sekiranya pihak polis bertindak secara profesional setelah saluran komunikasi diwujudkan antara Jawatankuasa Kerja dengan semua balai polis di Kuala Langat, perhimpunan Hari Raya ini akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang peristiwa yang tidak diingini.

Sekali lagi Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menyeru kepada pihak polis agar tidak menghalang rakyat yang akan turun ke Kampong Medan semata-mata untuk merayakan satu majlis Hari Raya.

Jawatankuasa juga sudah pun membuat undangan terbuka bagi anggota-anggota polis di seluruh Kuala Langat yang tidak bertugas pada hari itu beserta ahli keluarga mereka untuk turut serta merayakan sambutan tersebut.

Jawatankuasa juga menyeru kepada para penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan reformasi untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan peristiwa yang tidak diingini semasa menghadiri perhimpunan sambutan Hari Raya ini kelak. Tujuan kita hanyalah untuk merayakan Hari Raya, meraikan rakan-rakan yang baru menyambut Krismas serta rakan-rakan kaum Cina yang bakal menyambut Tahun Baru mereka tidak lama lagi.

Dalam hari baik dan bulan baik ini, sama-samalah kita wujudkan keharmonian sesama umat Islam dan sesama rakyat Malaysia. Polis bukan musuh rakyat dan rakyat juga bukan musuh polis.

Berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Berhimpun bagi merayakan sambutan Hari Raya yang melibatkan masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama pula adalah satu amalan positif yang perlu terus diperkembangkan.

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
4 Januari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com