Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [20]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [20]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

157. Jawatankuasa mengucapkan selamat berangkat kepada rakyat Malaysia yang akan bersama-sama turun menghadiri Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat esok. Semoga segala-galanya berjalan baik dan selamat dalam perjalanan. Berhati-hatilah memandu dan buatlah persediaan awal sebelum memulakan perjalanan. Mereka yang datang dengan kenderaan sendiri pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik dan selamat.

158. Jawatankuasa Kerja selaku tuan rumah telah memaklumkan bahawa segala persiapan sudah pun dilakukan bagi memastikan perhimpunan sambutan Hari Raya ini berjalan lancar. Jawatankuasa Kerja juga telah menyediakan rumah bagi menyambut kedatangan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif dan NGO. Sdr Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM dan YB Dr. Wan Azizah Wan Ismail dijangka berada di rumah tetamu tersebut sekitar pukul 2:45 petang. Pihak PAS akan memaklumkan kepada Jawatankuasa pemimpin yang akan mewakili YB Dato' Fadzil Mohd Nor memandangkan beliau sekarang sedang berada di luar negara dan tidak dapat menghadiri sambutan kali ini.

159. Majlis akan bermula pada pukul 2:30 petang dan Sdr. Asmadi Mohd Salleh selaku tuan rumah merangkap Ketua Jawatankuasa Kerja dan Ketua Bahagian keADILan Bahagian Kuala Langat akan berperanan sebagai Pengerusi Majlis. Memandangkan pihak polis meletakkan syarat tiada ceramah politik, maka jawatankuasa penganjur membuat keputusan untuk mengadakan penyampaian "Perutusan Raya" daripada beberapa orang pemimpin rakyat.

160. Para pemimpin rakyat juga akan menyampaikan "Ucapan Terima Kasih Rakyat" kepada seluruh penyokong Barisan Alternatif dan reformasi yang telah bertungkus lumus menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit bagi memenangkan calon Barisan Alternatif, YB Saifuddin Nasution Ismail dalam Pilihanraya Kecil DUN Lunas pada 29 November yang lalu.

161. Penyampaian "Perutusan Raya" daripada beberapa orang pemimpin rakyat di kalangan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif, NGO dan aktivis masyarakat akan diadakan bermula pada pukul 3:00 petang. "Perutusan Raya" ini akan diselang-seli dengan persembahan budaya. Kumpulan-kumpulan budaya yang terdiri daripada kumpulan kompang, silat dan gong, tarian singa dan muzik tradisional India masing-masing akan membuat persembahan bagi memeriahkan majlis.

162. Tabung Satu Ringgit Seorang Rakyat akan dilancarkan pada hari tersebut. Tabung ini diadakan bagi mengutip derma orang ramai bagi pembiayaan wang ikat jamin para TPR (Tahanan Politik Reformasi). Tabung ini dilancarkan sebagai mengenang sumbangan dan pengorbanan para TPR yang ditahan ekoran Perhimpunan 100,000 Rakyat 5 November lalu.

163. Jawatankuasa menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan bagi menjayakan Tabung ini dan juga menjayakan aktiviti-aktiviti lain bagi perjuangan "Kembalikan Hak Rakyat". Sumbangan dan derma yang bakal saudara-saudara berikan didahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.

164. Jawatankuasa juga memaklumkan bahawa kutipan derma ini akan dilakukan oleh para petugas rasmi yang menggunakan tag tanda dan uncang rasmi perhimpunan. Kutipan yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak menggunakan tag tanda dan uncang rasmi hendaklah tidak dilayan.

165. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga ingin memaklumkan bahawa semua kutipan pada hari itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kembalikan Hak Rakyat yang merupakan badan yang menyelaras semua urusan TPR yang lalu dan kes-kes yang akan datang jika ada.

166. Majlis makan minum dan berkongsi juadah di kalangan seluruh rakyat akan diadakan selepas semua pemimpin rakyat menyampaikan "Perutusan Raya" mereka. Sebelum majlis bersurai, seorang tokoh rakyat akan bersama-sama rakyat membacakan "Deklarasi Perpaduan Rakyat". Majlis berikutnya akan beramai-ramai menyanyikan lagu "Suara Rakyat" dan bersurai.

167. Sesuai dengan tema "Perhimpunan Raya Perpaduan Rakyat" dan beberapa syarat yang diletakkan oleh pihak polis, secara ringkas aturcara kita pada 20 Januari ini adalah seperti berikut:

3:00 - 4:30 petang : Pembukaan Pengerusi Majlis dan Ucapan Aluan

"Perutusan Raya" daripada para pemimpin rakyat

Persembahan budaya pelbagai kaum

4:30 - 6:00 petang : Makan minum dan berkongsi juadah

Solat 'Asar

6:00 - 7:00 petang : "Deklarasi Perpaduan Rakyat"

Nyanyian lagu "Suara Rakyat"

Bersurai

168. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat terlebih dahulu merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang bakal hadir menyambut sambutan Hari Raya esok. Diharapkan perhimpunan dan pertemuan kita esok akan mengukuhkan silaturrahim dan tali persahabatan sesama kita. Paling penting adalah agar hubungan yang mantap di kalangan kita akan melonjakkan semangat kita untuk menegakkan keadilan dan berjuang bagi "Kembalikan Hak Rakyat". Kita berhimpun bukan semata-mata untuk bersuka ria tetapi bagi mengukuhkan solidariti sesama kita di samping mengukuhkan halatuju masyarakat pelbagai kaum di negara ini ke arah perpaduan rakyat yang sejati.

169. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga ingin mengingatkan semua rakyat bahawa pada saat kita berhimpun esok, seorang manusia yang kita kasihi, Sdr Anwar Ibrahim sedang bergelut dengan kezaliman yang ditimpakan ke atasnya oleh kerajaan pimpinan Dr. Mahathir. Dalam keadaan kesihatannya yang terganggu dan keselamatannya terancam, kita percaya bahawa Sdr. Anwar akan tersenyum penuh syukur di atas iltizam yang ditunjukkan oleh rakyat untuk meneruskan perjuangan reformasi sosio-ekonomi dan politik di negara tercinta ini.

170. Anwar Ibrahim dipenjara, dizalimi dan dipisahkan dari kita semua, tidak ada ikatan antara kita dan Anwar selain doa kudus memohon Allah memelihara dan melindungi beliau. Antara kita dan Anwar, dengan gelombang 100,000 rakyat sama-samalah kita semarakkan perjuangan "Ke Arah Malaysia yang Adil". Semua kita menyedari betapa besarnya penderitaan yang dihadapi oleh Anwar dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan, untuk itu saudara-saudara yang bermusafir dan pastinya doa saudara dimakbulkan Allah, doakanlah kesejahteraan Anwar Ibrahim. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya. Semoga Allah mempersatukan kita semua dalam barisan menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman di negara tercinta ini.

"Bebaskan Anwar"

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
19 Januari 2001
bersamaan dengan 24 Syawal 1421


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 20 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com