PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [2]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
13. Usaha Jawatankuasa mengundang SUHAKAM untuk menghantar
wakil dalam sambutan Hari Raya menunjukkan komitmen kita bahawa perhimpunan
ini adalah satu perhimpunan aman. Jawatankuasa meletakkan keyakinan yang
tinggi bahawa penyokong dan rakyat akan datang menghadiri Perhimpunan Raya
100,000 Rakyat semata-mata dengan niat untuk merayakan sambutan Hari Raya
secara aman.
14. Sebab majlis sambutan Hari Raya ini dinamakan Perhimpunan
Raya 100,000 Rakyat adalah sebagai menunjukkan komitmen bagi meneruskan
aspirasi rakyat untuk berhimpun secara aman. Ia juga dinamakan sedemikian
untuk melambangkan solidariti rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama
untuk terus menegakkan hak mereka yang ditetapkan oleh Perlembagaan
Persekutuan untuk berhimpun secara aman.
15. Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat adalah satu majlis sambutan
Hari Raya. Ia merupakan lanjutan daripada amalan rakyat negara ini yang
merayakan sambutan Hari Raya 'Aidil Fitri dengan mengadakan majlis-majlis
rumah terbuka sepanjang bulan Syawal. Menghadiri majlis-majlis rumah terbuka
sempena Hari Raya sudah menjadi amalan biasa rakyat negara ini. Tujuannya
jelas, iaitu untuk memenuhi undangan tuan rumah yang menyediakan hidangan
makanan dan minuman sambil merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara satu
sama lain.
16. Akhir-akhir ini telah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia
mengadakan majlis-majlis "rumah terbuka" di tempat-tempat terbuka seperti
kawasan pejabat serta taman-taman rekreasi. Penganjur meminta para peserta
serta keluarga masing-masing hadir dengan membawa sedikit juadah untuk
dikongsi bersama dalam majlis tersebut. Majlis seumpama ini disertai oleh
pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
17. Mengambil semangat daripada amalan positif rakyat negara
ini menyambut Hari Raya, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat berhasrat
menjadikan sambutan pada 20 Januari di Kampong Medan ini sebagai kemuncak
sambutan Hari Raya kali ini di kalangan penyokong Barisan Alternatif,
aktivis reformasi serta seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan
pembaharuan di negara ini.
18. Namun apa yang lain dalam sambutan Hari Raya pada 20
Januari 2001 di Kampong Medan ini adalah ianya akan dihadiri oleh
sekurang-kurangnya 100,000 rakyat dari seluruh negara dengan masing-masing
membawa juadah untuk sama-sama dikongsi dengan rakan-rakan daripada pelbagai
kaum dan agama.
19. Di atas semangat inilah Jawatankuasa menyeru agar semua
penyokong Barisan Alternatif, aktivis reformasi dan seluruh rakyat Malaysia
datang beramai-ramai memeriahkan sambutan Hari Raya yang dinamakan
Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini.
20. Perhimpunan ini adalah majlis sambutan Hari Raya raksasa yang
serentak mengambil kesempatan meraikan masyarakat Kristian yang baru
menyambut Krismas dan juga masyarakat Cina bakal merayakan Tahun Baru Cina
tidak berapa lama lagi.
21. Rebutlah peluang untuk hadir beramai-ramai mencipta sebuah
sejarah gemilang negara ini. Sekali lagi, jangan lupa:
Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Tarikh: 20 Januari 2001 (Sabtu)
Masa: bermula 2:30 petang
Tempat: Lot 2106 Batu 9¼ Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat,
Selangor.
22. Datanglah beramai-ramai berserta kaum keluarga dan sahabat
handai ke perhimpunan di atas. Wakil-wakil daripada SUHAKAM dan media-media
tempatan dan luar negara akan menjadi saksi bahawa perhimpunan ini adalah
satu perhimpunan aman.
23. Perhimpunan ini juga akan membuktikan bahawa rakyat yang
menyokong pembentukan sebuah sistem pentadbiran dan kepemimpinan politik
alternatif di negara ini adalah golongan yang cintakan keamanan dan bencikan
kezaliman serta keganasan.
"Kembalikan Hak Rakyat"
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
2 Januari 2001
bersamaan dengan 7 Syawal 1421