PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [18]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
147. Dengan permit polis diperolehi bagi menganjurkan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat, kita percaya seluruh rakyat yang bakal turun ke Telok Panglima Garang pada Sabtu ini akan benar-benar dapat menyambut perhimpunan Hari Raya dalam suasana tenang tanpa sebarang tekanan. Dengan itu penganjur percaya bilangan melebihi 100,000 orang akan dicapai pada hari Sabtu ini, insya' Allah.
148. Dengan adanya permit polis ini kita juga yakin pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif yang akan hadir ke sambutan Hari Raya ini tidak akan sekali lagi terdedah dengan keadaan sebagaimana yang mereka hadapi semasa perhimpunan di Lebuhraya KESAS pada 5 November lalu.
149. Jawatankuasa ingin mengingatkan orang ramai agar mengekalkan disiplin yang tinggi ketika menghadiri perhimpunan ini terutama yang berkaitan dengan peraturan lalulintas dan tempat meletakkan kereta. Kita tidak mahu menimbulkan kesesakan lalulintas sepanjang jalan besar Klang-Banting. Memandu dengan hati-hati dan jangan timbulkan kesulitan kepada pengguna lain di lebuhraya dan jalanraya. Berikan kerjasama kepada polis trafik dan polis yang mengawal bagi memastikan keadaan berjalan secara teratur.
150. Jawatankuasa juga meminta kerjasama daripada orang ramai agar menjaga kebersihan seluruh kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang serta jalan-jalan menuju ke lokasi sambutan Hari Raya itu. Orang ramai diminta tidak membuang kertas atau pelastik pembungkus makanan dan minuman di merata-rata tempat. Bawalah bahan-bahan bungkusan dan barang-barang terpakai kembali ke kenderaan masing-masing dan lupuskan barang-barang tersebut di tempat saudara-saudara masing-masing.
151. Jawatankuasa mengingatkan bahawa Kampong Medan bukan tempat untuk melupuskan pembungkus makanan, kotak, botol minuman dan sebagainya yang dibawa oleh semua yang hadir. Bayangkan apa akan terjadi kepada Kampong Medan dan kawasan sekitarnya seandainya 100,000 orang rakyat yang hadir dari seluruh negara membuang bahan-bahan yang mereka bawa di lokasi tersebut!!. Kerjasama anda semua amat diperlukan.
152. Jawatankuasa juga ingin memaklumkan bahawa bagi umat Islam, masjid terdekat adalah kira-kira 600 meter dari tapak sambutan Hari Raya. Saudara-saudara boleh menggunakan masjid tersebut atau masjid-masjid dan surau-surau lain di sekitar Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Telok Datok untuk menunaikan solat. Namun diingatkan agar menjaga kebersihan masjid dan berjimat ketika menggunakan air untuk berwuduk. Hulurlah derma ke tabung-tabung masjid berkenaan agar sumbangan saudara-saudara membawa keberkatan dalam usaha ummah menta'mirkan masjid di kawasan tersebut.
“Kembalikan Hak Rakyat”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
18 Januari 2001
bersamaan dengan 23 Syawal 1421