Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [14]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [14]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

130. Bagi manfaat para penyokong reformasi yang mengikuti Kenyataan Media bertarikh 17 Januari 2001 daripada Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat, berikut diperturunkan Kenyataan Media bertarikh 18 Disember 2000 bersamaan dengan 22 Ramadan 1421, iaitu kenyataan pertama yang mengumumkan tarikh 20 Januari 2001 sebagai tarikh bagi sambutan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat.

................................................................

KENYATAAN MEDIA

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

20 JANUARI 2001

Satu majlis sambutan Hari Raya yang dinamakan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan dianjurkan pada 20 Januari 2001, hari Sabtu bermula 2:30 petang bertempat di Lot 2106 Batu 9 ¼ Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat Selangor.

Sambutan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yang terdiri daripada beberapa orang ahli daripada jawatankuasa yang merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat di Markas keADILan Jalan Kebun pada 5 November yang lalu.

Lokasi sambutan Hari Raya tersebut merupakan sebuah tapak tanah seluas 2 ekar milik seorang nenek berusia 76 tahun yang amat bersimpati dengan para penyokong reformasi yang dihalang menghadiri perhimpunan aman di Jalan Kebun pada 5 November lalu. Di atas rasa simpati tersebut beliau telah menawarkan kepada Jawatankuasa untuk menggunakan tapak tanah tersebut bagi tujuan sambutan Hari Raya.

Kampong Medan, Telok Panglima Garang terletak kira-kira 4 kilometer dari Persimpangan Klang-Banting susur keluar Lebuhraya KESAS.

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini diadakan bagi meneruskan aspirasi rakyat berhimpun secara aman serta beramah mesra mengukuhkan silaturahim di antara satu sama lain setelah sekian lama bersama-sama mendukung reformasi dan menegakkan keadilan. Bagi muslimin dan muslimat, Perhimpunan ini merupakan majlis untuk merayakan kejayaan mereka melaksanakan 'ibadah sepanjang Ramadan. Diharapkan semangat pengislahan diri dalam bulan Ramadan Al-Mubarak menjadi bekalan penting bagi melonjakkan semangat reformasi pada bulan-bulan seterusnya.

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga dianjurkan sebagai mengambil kesempatan meraikan para penyokong Barisan Alternatif dan pendukung gerakan reformasi yang beragama Kristian yang menyambut Krismas pada 25 Disember ini. Pada masa yang sama juga perhimpunan yang akan diadakan menjelang Sambutan Tahun Baru Cina bertujuan untuk menghargai sokongan dan sumbangan masyarakat Cina dalam perjuangan menegakkan keadilan dan mendukung cita-cita reformasi politik dan ekonomi negara yang tercinta ini.

Sambutan Hari Raya yang mengambil kira kedua-dua perayaan rakyat beragama Kristian dan masyarakat Cina ini amat selaras dengan cita-cita dan agenda Barisan Alternatif dan gerakan reformasi. Di samping itu, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini juga mengambil langkah awal meletakkan asas kerjasama antara rakyat pelbagai agama seperti yang bakal diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa tahun 2001 adalah Tahun Dialog Antara Agama Sedunia.

Dalam kemesraan serta perpaduan pelbagai kaum dan agama ini, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para penyokong Barisan Alternatif dan aktivis reformasi yang telah memberi sumbangan tenaga, masa dan wang ringgit mereka dalam Pilihanraya Kecil DUN Lunas yang lalu. Sambutan Hari Raya kali ini juga bertujuan untuk meraikan kemenangan Barisan Alternatif di Lunas.

Semua pimpinan tertinggi Barisan Alternatif yang terdiri daripada Presiden PAS, YB Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor, Presiden keADILan, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Kebangsaan DAP, En. Lim Kit Siang dan Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali akan diundang untuk bersama-sama rakyat merayakan sambutan kali ini.

Jawatankuasa menjangkakan lebih 100,000 orang penyokong Barisan Alternatif, wakil-wakil rakyat, penduduk tempatan, para aktivis NGO, aktivis reformasi, TPR (Tahanan Politik Reformasi) dan rakyat pelbagai lapisan dari seluruh negara akan menghadiri sambutan Hari Raya tersebut. Bagi tujuan itu, lebih 500,000 naskhah poster dan risalah pengumuman akan dicetak dan diedarkan ke seluruh negara.

Jawatankuasa juga mendapat bantuan daripada kedua-dua barisan pimpinan keADILan Bahagian Kuala Langat dan PAS Kawasan Kuala Langat bagi memastikan sambutan Hari Raya ini berjalan lancar. Jawatankuasa Kerja di peringkat Kuala Langat akan menjalankan urusan memaklum dan memberitahu pihak polis di Balai Polis Daerah Banting dan balai-balai polis Telok Panglima Garang dan Telok Datok tentang sambutan ini. Seluruh keluarga dan anggota polis yang tidak bertugas di seluruh Kuala Langat juga turut diundang untuk merayakan sambutan Hari Raya bersama-sama rakyat.

Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan memaklumkan majlis ini kepada SUHAKAM serta meminta mereka menghantar wakil untuk memantau majlis sambutan ini. Selain itu para wartawan daripada media-media tempatan dan luar negara juga akan turut diundang menghadiri perhimpunan ini.

Sebagai mengenang sumbangan para TPR yang ditahan ekoran Perhimpunan 100,000 Rakyat 5 November lalu, Tabung Satu Ringgit Seorang Rakyat akan dilancarkan dan kutipan derma orang ramai untuk mengumpulkan dana bagi pembiayaan wang ikat jamin para TPR akan diadakan ada hari tersebut.

...................................................................

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
17 Januari 2001
bersamaan dengan 22 Syawal 1421


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 18 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com