PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [13]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
124. Satu sidang media yang dihadiri oleh para wakil dan aktivis
parti-parti politik Barisan Alternatif, NGO dan reformasi telah diadakan
pagi tadi pada pukul 11:00 pagi di KL Bar Council, Bangunan Kraftangan,
Kuala Lumpur. Ramai wartawan dan jurugambar daripada pelbagai media hadir
dalam sidang tersebut.
125. Hadir mewakili parti-parti dan NGO adalah Ustaz Zaharuddin Abdul
Rahman (PAS), Sdr Rustam Sani dan Sdr. Sivarasa (PRM), Sdr Diong (keADILan),
Tuan Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Sdr Malek Husin dan Sdr Tan (reformis).
Sidang media berjalan lancar dan sesi soal-jawab yang begitu terbuka antara
anggota-anggota panel dengan para wartawan telah diadakan.
126. Hadirin diberikan satu "Press Kit" yang terdiri daripada
dokumen-dokumen; Kenyataan Media 17 Januari 2001, Kenyataan Media 18
Disember 2000, Surat Undangan Pertama kepada SUHAKAM, Surat Jawapan daripada
SUHAKAM, Surat Undangan Kedua kepada SUHAKAM dan Contoh Surat Undangan
kepada Pemimpin BA.
127. Berikut adalah kenyataan media rasmi bertarikh 17 Januari 2001
bersamaan dengan 22 Syawal 1421:
.........................................................
KENYATAAN MEDIA
PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT KE ARAH PERPADUAN SEMUA KAUM
Sebagaimana yang dimaklumkan pada 18 Disember 2000, satu majlis sambutan
Hari Raya yang dinamakan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan diadakan pada
20 Januari 2001, hari Sabtu bermula 2:30 petang bertempat di Lot 2106 Batu 9
¼ Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat Selangor.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
yang terdiri daripada beberapa orang ahli daripada jawatankuasa yang
merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat di Markas keADILan Jalan Kebun pada 5
November yang lalu.
Tema sambutan Hari Raya kali ini adalah "Perhimpunan Raya Perpaduan Rakyat".
Sesuai dengan tema di atas, di samping sambutan Hari Raya, majlis ini sekali
gus meraikan penyokong Barisan Alternatif dan aktivis reformasi di kalangan
penganut agama Kristian yang menyambut Hari Krismas pada 25 Disember 2000,
penganut agama Hindu yang menyambut Hari Ponggal pada 14 Januari 2001 dan
rakan-rakan kaum Cina yang bakal menyambut Tahun Baru Cina minggu hadapan.
Surat undangan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif telah dikirimkan
dan dijangka mereka menyampaikan ucapan khas sempena sambutan "Perhimpunan
Raya Perpaduan Rakyat" ini.
Surat undangan kali kedua juga telah dihantar kepada SUHAKAM pada 16 Januari
meminta pihak mereka menimbang kembali keputusan mereka untuk tidak
menghantar wakil menghadiri majlis ini.
Permohonan permit polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Banting pada 26
Disember 2000 dan pihak Jawatankuasa Kerja telah bertemu dengan OCPD balai
berkenaan pada 16 Januari dan telah mendapat pertimbangan positif daripada
pihak polis.
Acara persembahan budaya akan diadakan dalam majlis sambutan itu.
Persembahan kompang, gong dan silat yang melambangkan budaya orang Melayu,
tarian singa yang melambangkan budaya kaum Cina dan muzik India yang
melambangkan budaya kaum India akan dipersembahkan dalam majlis tersebut.
Para peserta diminta membawa makanan dan minuman mereka sendiri untuk
dikongsi oleh seluruh rakyat semasa sambutan perayaan tersebut. Walau
bagaimanapun pihak penganjur akan menyediakan hidangan bagi para tetamu.
Para wartawan daripada media-media tempatan dan luar negara juga akan turut
diundang menghadiri perhimpunan ini. Beberapa NGO dan badan-badan hak asasi
manusia dijangka akan menubuhkan pasukan-pasukan pemantau bagi merekod dan
merakamkan aktiviti sepanjang perjalanan majlis tersebut.
Sebagai mengenang sumbangan para TPR (Tahanan Politik Reformasi) yang
ditahan ekoran Perhimpunan 100,000 Rakyat 5 November lalu, Tabung Satu
Ringgit Seorang Rakyat akan dilancarkan dan kutipan derma orang ramai untuk
mengumpulkan dana bagi pembiayaan wang ikat jamin para TPR akan diadakan
pada hari tersebut.
Majlis akan diakhiri dengan Deklarasi Perpaduan Rakyat yang akan dibacakan
bersama oleh wakil-wakil parti politik Barisan Alternatif, NGO, reformis dan
karyawan.
......................................................
128. Semua wakil dan aktivis parti dan NGO yang hadir memberi ucapan
ringkas dengan penegasan menyeru serta menggalakkan ahli-ahli parti dan
organisasi masing-masing serta seluruh rakyat datang beramai-ramai ke majlis
Sambutan Hari Raya tersebut.
129. Majlis tamat pada pukul 12:00 tengahari dengan Pengerusi menjemput
semua anggota-anggota media yang hadir untuk bersama-sama rakyat turun ke
Kampong Medan dalam Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat.
"Kembalikan Hak Rakyat"
“Kembalikan Hak Rakyat”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
17 Januari 2001
bersamaan dengan 22 Syawal 1421