PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
Perutusan [12]
Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,
114. Semalam Sekretariat Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat mendapat emel
daripada SUHAKAM bertarikh 10 Januari, 2001 3:44 petang dengan No Rujukan:
SHM.001/1/9. Kandungannya seperti berikut: "UNDANGAN RASMI KE PROGRAM
PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT. SUHAKAM ingin mengucapkan terima kasih
kerana dijemput untuk upacara yang tersebut di atas, dan setelah meneliti
perkara ini, dukacita dimaklumkan bahawa SUHAKAM tidak dapat menerima
jemputan ini. Sekian, terima kasih. "HAK ASASI UNTUK SEMUA"
115. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menghormati keputusan
SUHAKAM tersebut. Bagi memastikan liputan yang tepat, adil dan benar dapat
diketengahkan seandainya masih berlaku sebarang pencabulan hak asasi rakyat
ketika menghadiri sambutan Hari Raya tersebut, Jawatankuasa akan menjemput
seramai mUngkin wartawan dari media tempatan dan luar negeri untuk membuat
liputan perhimpunan Hari Raya tersebut.
116. Di atas semangat itu, di samping usaha rasmi daripada Jawatankuasa
Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat, kami juga meminta jasa baik
penyokong-penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan reformasi untuk
secara tidak rasmi mengundang kenalan masing-masing di kalangan anggota
media, wartawan bebas, penulis, novelis, jurugambar, pelukis, kartunis,
peguam, penyair, penyajak, pengendali laman-laman web serta penggiat sosial
untuk hadir memantau sambutan Hari Raya tersebut.
117. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat meminta kerjasama
NGO-NGO yang memberi tumpuan dalam isu hak asasi manusia, khususnya SUARAM,
HAKAM dan ALIRAN untuk menyediakan para petugas bagi memantau perjalanan
sambutan Hari Raya tersebut. Kemahiran ketiga-tiga NGO ini dalam melapor dan
mengemukakan kes-kes pencabulan hak asasi manusia di negara ini amat
diperlukan dalam memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat
direkodkan secara tepat dan berkesan.
118. Memandangkan sambutan Hari Raya ini melibatkan satu sambutan mulia
di sisi Islam, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menyeru agar
pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM, ASASI, PUM, TERAS dan URUS
bekerjasama mewujudkan suatu badan bagi memantau perjalanan sambutan Hari
Raya ini agar sebarang kes pencabulan hak asasi manusia dapat dirakam dan
direkodkan secara menyeluruh.
119. Sesuai dengan usaha untuk mewujudkan perpaduan menyeluruh antara kaum
dan agama melalui Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini, Jawatankuasa menyeru
agar pertubuhan-pertubuhan Kristian dan gereja, persatuan-persatuan Buddha,
Hindu dan Sikh di negara ini mewujudkan pasukan-pasukan pemantau untuk
merakamkan sebarang tindakan pihak-pihak tertentu yang boleh mengeruhkan
suasana harmoni yang diharapkan oleh seluruh rakyat ketika menghadiri
sambutan perayaan ini.
120. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
menyarankan agar badan-badan pelajar seperti GAMIS, PKPIM, KARISMA dan DEMA
mengerahkan para mahasiswa dan mahasiswi untuk turun serta menghadiri majlis
Hari Raya di samping turut sama-sama memantau keadaan dan perjalanan majlis
sambutan tersebut.
121. Akhir sekali dengan ketiadaan sebarang wakil daripada SUHAKAM,
rakyatlah sendiri yang menjadi para pemantau. Oleh itu Jawatankuasa menyeru
agar seluruh rakyat bertindak rasional sepanjang menghadiri sambutan Hari
Raya dan tidak menimbulkan sebarang provokasi serta tidak melayan sebarang
provokasi daripada mana-mana pihak. Kita hadir untuk menyambut Hari Raya
yang mulia di samping meraikan rakan-rakan kita daripada pelbagai kaum dan
agama dengan perayaan mereka masing-masing.
122. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga menyeru kepada
para penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO, reformis dan karyawan untuk
hadir dengan membawa kamera, video-cam, digi-cam, pen dan buku nota catatan
serta apa-apa alat perakam bagi tujuan merakamkan tindakan mana-mana pihak
yang mungkin menimbulkan sebarang kekecohan semasa sambutan Hari Raya
tersebut.
123. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan membantu
saudara-saudara untuk menyiarkan, khususnya melalui laman-laman web dalam
dan luar negara, perihal bukti melalui foto dan audio-video anasir daripada
mana-mana pihak yang menimbulkan kekecohan semasa rakyat sama-sama berhimpun
secara aman untuk menyambut sambutan perayaan.
“Kembalikan Hak Rakyat”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
12 Januari 2001
bersamaan dengan 17 Syawal 1421