Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat - Perutusan [10]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [10]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

90. Ketika merancang untuk mengadakan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat, Jawatankuasa dengan penuh sedar menjadikan satu keutamaan agar SUHAKAM dimaklumkan dan wakil-wakilnya diundang untuk menghadiri sambutan ini. Keputusan SUHAKAM untuk tidak menghantar wakil dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November dahulu sebenarnya telah menimbulkan masalah kepada suruhanjaya tersebut apabila benar-benar berlaku pencabulan hak asasi manusia oleh polis terhadap rakyat. Keengganan pihak polis untuk memberi kerjasama kepada SUHAKAM bagi siasatan insiden 5 Novemer turut mencalarkan kewibawaan SUHAKAM yang merupakan suruhanjaya tertinggi berkenaan hak-hak asasi manusia di negara ini.

91. Penubuhan SUHAKAM pada tahun 1999 melalui rang undang-undang parlimen yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional tanpa melibatkan pihak-pihak lain benar-benar merupakan satu pendekatan yang tidak "state-of-the-art". Ini kerana trend semasa ketika itu, contohnya di negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia, suruhanjaya hak asasi manusia ditubuhkan melalui proses yang cukup terperinci dan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

92. Pengalaman negara-negara tersebut menyaksikan hanya setelah perundingan dengan semua pihak dalam masyarakat dijalankan barulah kerajaan membawa rang undang-undang untuk dibahaskan ke dalam parlimen. Ini menjadikan proses perundingan bagi menubuhkan surahanjaya di ketiga-tiga negara ini meyakinkan masyarakat dunia bahawa isu hak asasi manusia adalah satu amalan yang bebas daripada pengaruh dan kuasa politik sesebuah kerajaan yang memerintah dan mentadbir negara tersebut. Walaupun amalan di negara-negara jiran itu belumlah sempurna, namun ia memberi asas yang menjamin suara dan pandangan rakyat diambilkira dalam penubuhan suruhanjaya hak asasi manusia itu.

93. Dalam proses yang melibatkan dan mengambilkira suara rakyat, sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia akan berjalan berpaksikan keluruhan undang-undang demi semata-mata mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara dan rakyat jelatanya. Suruhanjaya hak asasi tidak berjalan di atas desakan dan tekanan politik kerajaan yang memerintah, sebaliknya prinsip-prinsip keadilan sejagat dan prinsip-prinsip hak asasi manusia demi kesejahteraan seluruh insan akan menentukan halatuju serta halacara suruhanjaya tersebut.

94. Penubuhan suruhanjaya hak asasi manusia di negara ini yang amat didominasi oleh kerajaan yang memerintah telah mendapat teguran daripada parti-parti politik Alternatif dan banyak NGO tempatan. Namun, seperti biasa suara rakyat tiada tempatnya kepada Barisan Nasional. Sikap Barisan Nasional adalah terus melabelkan cadangan dan pandangan rakyat yang bertentangan dengan pandangan kerajaan sebagai pandangan pembangkang. Menurut paradigma ini, "kerja pembangkang adalah untuk membangkang"!. Selagi mana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional masih terus dengan paradigma ini, selagi itulah rakyat negara ini tidak boleh mengharapkan wujudnya demokrasi tulen daripada Barisan Nasional.

95. Usaha-usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO yang memberi tumpuan kerja dalam isu hak asasi manusia seperti SUARAM, HAKAM dan ALIRAN untuk memberi cadangan kepada SUHAKAM amat dialu-alukan. Ketiga-tiga NGO ini telah menyatakan beberapa kelemahan utama dalam pengendalian hak asasi manusia di negara ini kepada SUHAKAM. Dalam nada yang positif, SUARAM, HAKAM dan ALIRAN juga telah menawarkan kesediaan mereka untuk membantu SUHAKAM mengatasi kelemahan ini.

96. Kita percaya anggota-anggota suruhanjaya dalam SUHAKAM memang ada yang benar-benar komited untuk memperbaiki imej negara dalam isu hak asasi manusia. Dalam nada yang positif juga Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menawarkan kesediaan kami untuk bersama-sama SUHAKAM memperbaiki kepincangan dalam hal-ehwal hak asasi manusia di negara ini.

97. Di atas dasar inilah, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat telah menghantar surat undangan kepada SUHAKAM agar mereka menghantar wakil untuk turun bersama-sama rakyat menyaksikan betapa amannya perhimpunan sambutan perayaan pelbagai kaum dan agama yang akan diadakan pada 20 Januari ini di Telok Panglima Garang. Dalam masa yang sama wakil-wakil dan pemantau-pemantau daripada SUHAKAM akan mendapat pengalaman dan maklumat yang "hands-on" tentang citarasa dan aspirasi rakyat. Dengan pendekatan "hands-on" ini anggota-anggota suruhanjaya akan lebih mampu menggerakkan SUHAKAM secara "state-of-the-art" menjadi suruhanjaya hak asasi manusia yang bertaraf dunia.

98. Menyampaikan harapan dan aspirasi rakyat, sekali lagi Jawatankuasa menyeru agar SUHAKAM menyambut undangan kami untuk menghantar wakil menghadiri Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat di Telok Panglima Garang, Selangor pada 20 Januari 2001 bermula pukul 2:30 petang seperti surat yang telah dikirimkan itu.

99. Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga meminta para penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan aktivis reformasi mengutus surat, faks dan emel kepada SUHAKAM menyatakan sokongan rakyat kepada sambutan Hari Raya tersebut serta meminta mereka hadir bersama-sama rakyat pada hari itu. Perinciannya adalah seperti berikut:

Alamat: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, 50602 Kuala Lumpur.

Urusetia: En. Kamaruddin Bin Mohamed Baria

Tel.: 03-247 4386
Faks: 03-242 4808
Emel: humanrights@humanrights.com.my

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
10 Januari 2001
bersamaan dengan 15 Syawal 1421


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 13 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com