Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perutusan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat [1]

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [1]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

1. Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri diucapkan kepada rakan-rakan yang beragama Islam. Ambillah kesempatan sepanjang bulan Syawal ini untuk merapatkan hubungan sesama para pejuang reformasi dengan menziarahi antara satu sama lain.

2. Semarakkanlah semangat kebersamaan sesama kita dalam memperjuangkan keadilan. Kukuhkanlah persahabatan kita dalam membentuk sebuah Kerajaan Alternatif sepanjang musim perayaan ini.

3. Perjuangan kita masih jauh, oleh itu persediaan kita perlu dimantapkan. Jadikan kejayaan menjalani ‘ibadah Ramadan sebagai pelantar pelancar bagi melonjakkan terus semangat reformasi sepanjang tahun 2001, insya’ Allah.

4. Penuhi dan isilah bulan Syawal ini dengan perjumpaan serta lawatan untuk beramah mesra dengan seluruh lapisan rakyat

5. Bagi rakan-rakan beragama Kristian yang baru merayakan sambutan Krismas dan rakan-rakan kaum Cina yang akan merayakan Sambutan Tahun Baru Cina sama-samalah kita kukuhkan ikatan persahabatan kita.

6. Untuk tujuan itu saya ingin mengingatkan saudara-saudara tentang Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yang akan diadakan dengan perincian seperti berikut:

Tarikh: 20 Januari 2001 (Sabtu)
Masa: bermula 2:30 petang
Tempat: Lot 2106 Batu 9¼ Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

7. Lokasi sambutan ini adalah merupakan sebuah tapak seluas 2 ekar milik orang persendirian

8. Kampong Medan, Telok Panglima Garang terletak kira-kira 4 kilometer dari Persimpangan Klang-Banting susur keluar Lebuhraya KESAS

9. Sambutan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat yang terdiri daripada beberapa orang ahli daripada jawatan yang merancangkan Perhimpunan 100,000 Rakyat di Markas keADILan Jalan Kebun pada 5 November lalu.

10. Jawatankuasa Kerja bagi majlis sambutan ini terdiri daripada keADILan Bahagian Kuala Langat dan PAS Kawasan Kuala Langat. Aktivis DAP, PRM dan NGO serta reformis di kawasan tersebut akan diundang untuk turut serta membantu menjayakan sambutan ini.

11. Jawatankuasa Kerja telah ditugaskan untuk memaklumkan kepada pihak polis di Balai Polis Daerah Banting dan balai-balai polis Telok Panglima Garang danTelok Datok tentang sambutan ini.

12. SUHAKAM juga telah diundang untuk menghantar wakil menghadiri dan memantau majlis sambutan Hari Raya ini.

“Kembalikan Hak Rakyat”

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com
1 Januari 2001
bersamaan dengan 6 Syawal 1421


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 3 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com