Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PAS, Keadilan mesti runding reformasi, BA

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM

Pertemuan Umno, PAS dan Parti Keadilan Nasional bagi membincangkan apa yang dipanggil isu perpaduan Melayu boleh menimbulkan kesan buruk terhadap gerakan reformasi dan juga perpaduan parti-parti pembangkang.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Umno memang sengaja mahu membawa PAS dan Keadilan ke dalam “orbit Melayu” yang diada-adakannya untuk memisahkan dua parti itu daripada kekuatan-kekuatan lain pembangkang yang menentang Barisan Nasional.

Sekarang DAP dan Parti Rakyat Malaysia sudah berasa diketepikan. Gerakan reformasi yang banyak membantu memperkuatkan PAS dan Keadilan juga telah diketepikan. Adakah PAS dan Keadilan berbincang dengan DAP, PRM dan pemimpin-pemimpin utama Gerakan Reformasi apabila mahu menerima jemputan Mahathir dan Umno untuk berbincang?

Mahathir dan Umno telah berjaya menanam baji pemisah antara PAS dan Keadilan di satu pihak dengan kekuatan lain politik yang menentang BN di pihak lain. Adakah isu utama dalam manifesto bersama BA ketika menentang BN dalam pilihanraya dulu berkenaan soal perpaduan Melayu?

Tidakkah isu utamanya ialah soal perpaduan nasional, demokrasi, keadilan, menentang rasuah, nepotisme, kronisme dan pembolotan kekayaan serta kuasa? Apakah manifesto bersama BA sudahpun dilupakan oleh parti-parti tertentu dalam BA?

Apabila pertemuan Umno, PAS dan Keadilan berlangsung, sudah barang tentu Umno akan meminta segala gerakan atau kebangkitan rakyat yang menentang Mahathir, Umno dan BN supaya dibendung. Maksudnya “gencatan senjata” berlaku.

Perdebatan antara Ketua Pemuda Umno dan PAS dibatalkan. Tidak boleh ada tunjuk perasaan. Perhimpunan-perhimpunan rakyat perlu dibatalkan juga. Ceramah-ceramah umum yang lantang mengkritik BN perlu dikurangkan atau dihentikan. Kehendak Mahathir dan Umno ialah gerakan reformasi itu dipadamkan.

Beliau dan Umno mahu hal-hal politik ini diurusi secara tradisi oleh orang-orang politik di pucuk pimpinan sahaja. Sedangkan gerakan reformasi didukung oleh anak-anak muda dan orang biasa. Apakah orang muda dalam PAS dan Keadilan pernah dirunding atau pandangan mereka diminta apabila dua parti itu bersetuju menerima undangan Mahathir dan Umno?

Anwar dikhianati?

Tidakkah pertemuan PAS dan Keadilan dengan Mahathir dan Umno merupakan satu pengkhianatan kepada rakan-rakan parti komponen lain dalam BA dan juga pendukung-pendukung gerakan reformasi?

Tidakkah pertemuan itu merupakan satu pengkhianatan kepada tuntutan keadilan, ketelusan, demokrasi, dan kebebasan yang didukung oleh berjuta-juta rakyat yang menyokong BA dalam pilihanraya umum lalu?

Tidakkah pertemuan PAS dan Keadilan dengan Mahathir dan Umno merupakan satu pengkhianatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah dizalimi oleh Mahathir, Umno dan kerajaan BN?

Sekarang PAS dan Keadilan sedang dibawa oleh Umno ke gelanggang dan pentas yang di aturkan sendiri formatnya oleh Umno. Teman-teman PAS dan Keadilan selama ini dalam BA dan gerakan reformasi berasa diketepikan. Mereka kini dianggap tidak penting.

Diharapkan masih tidak terlewat bagi para pemimpin PAS dan Keadilan menyedari bahawa Mahathir dan Umno sengaja mahu memecahkan kekuatan dan perpaduan BA serta gerakan reformasi.

Mahathir dan Umno sebenarnya mahu menggagalkan usaha pembangkang untuk menumbangkan BN dalam pilihanaraya akan datang.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 9 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com