Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Agenda Perpaduan Melayu Dari Perspektif Sejarah

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM

Agenda perpaduan Melayu bukan sesuatu yang baru. Isu perpaduan Melayu ini timbul kembali akhir-akhir ini ada kaitannya dengan Rayuan Pilihanraya Suqiu. Umno yang memulakan seruan kepada perpaduan Melayu. Parti itu sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan dua lagi parti politik Melayu, Pas dan Keadilan untuk membincangkan soal perpaduan Melayu.

Dari segi sejarah, perpaduan orang-orang Melayu pernah muncul pada tahun 1946 ketika menentang cadangan Malayan Union oleh penjajah Inggeris pada ketika itu. Pelbagai pertubuhan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu ketika itu telah digerakkan untuk bersatu bagi menentang penjajah Inggeris. Perpaduan orang-orang Melayu itu menjadi satu tenaga politik yang amat kuat. Pelbagai aliran politik Melayu ketika itu, sama ada nasionalis kanan, nasionalis kiri, dan Islamis telah bersatu. Musuh orang Melayu ketika itu bukannya kaum bukan- Melayu, sebaliknya penjajah Inggeris. Muncul Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang memimpin gerakan nasionalisme Melayu yang amat kuat ketika itu yang menjadi tunggak kepada perjuangan kemerdekaan tanahair.

Tetapi perpaduan Melayu itu tidak kekal lama. Selang beberapa tahun kemudian, golongan nasionalis kiri Melayu yang radikal meninggalkan Umno kerana perbezaan dasar yang besar dalam cara menentang penjajah Inggeris. Pada tahun 1951, golongan Islamis di dalam Umno pula meninggalkan parti itu lalu membentuk PAS. Golongan nasionalis kiri Melayu yang berhimpun di dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pernah bersaing dengan Umno dari tahun 1946 hingga 1948, sehinggalah PKMM yang radikal dan tidak berkompromi itu diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1948. Pada tahun 1955, ahli-ahli PKMM yang telah diharamkan itu berhimpun kembali dengan menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) yang wujud sampai sekarang. Bezanya PRM sejak dari awal penubuhannya pada tahun 1955 itu membuka keahliannya kepada pelbagai kaum. Jadilah PRM parti politik pelbagai kaum sehingga sekarang

Dari pilihanraya 1959, iaitu pilihanraya umum pertama selepas merdeka, PAS dan Umno telah bersaing antara keduanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. PAS kuat bertapak di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Manakala Umno yang lahir di Istana Besar, Johor Bahru pada 11 Mei 1946 itu bertapak kuat di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung terutama di negeri-negeri sebelah Selatan, khususnya Johor, iaitu negeri bagi pengasas dan Presiden pertama Umno, Dato’ Onn Jaafar.

Sepuluh tahun kemudian, pada tahun 1969, pengaruh Umno terjejas teruk. Ramai calon-calon Umno termasuk para menteri Kerajaan Pusat telah tewas dalam pilihanraya itu. PAS telah mendapat kemenangan besar. Kelantan terus dikuasai oleh kerajaan PAS. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri dan Presiden Umno menang tipis di Kedah. Dr Mahathir Mohamad dalam pilihanaya itu tewas kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa di kawasan parlimen Kota Setar, Kedah.

Melihatkan kedudukan Umno yang goyah, maka kepimpinan Umno yang baru yang dikepalai oleh Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno selepas Tunku berundur mengambil pendekatan mengwujudkan agenda perpaduan Melayu dan perpaduan nasional secara menyeluruhnya. Hal ini dijadikan lebih penting lagi kerana berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei, iaitu tiga hari selepas pilihanraya Umum 10 Mei 1969. Pas yang dipimpin oleh Presidennya ketika itu, Dato’ Mohd Asri Muda telah diajak berunding bersama Tun Razak, Presiden Umno dengan menjadikan topik perpaduan Melayu sebagai fokus utamanya.

Tidak lama kemudian, Pas telah bersetuju dengan cadangan menubuhkan kerajaan campuran BN dan Pas di peringkat Pusat. Dato’ Asri kemudian dilantik menjadi menteri penting Kerajaan Pusat. Haji Yusof Rawa, Haji Mustafa Ali dan beberapa pemimpin utama PAS yang lain dilantik menjadi timbalan menteri kerajaan campuran BN-Pas dalam Kerajaan Pusat itu. Tidak lama kemudian Tun Abdul Razak berjaya meyakinkan PAS supaya bergabung dengan Umno di dalam BN untuk memperkuatkan kuasa tawar menawar Umno dalam kerajaan. Maka pada pilihanraya umum 1974, pilihanraya pertama selepas Peritiwa 13 Mei di mana parlimen digantung, PAS telah bertanding di bawah tiket dacing atau BN. di seluruh negera termsuk di Trengganu dan Kelantan. PRM (atau PSRM ketika itu) telah menjadi parti pembangkang utama di dua negeri Pantai Timur itu.

Tetapi perpaduan Melayu atas gabungan PAS dan UMNO dalam BN itu tidak kekal lama. Pada tahun 1978 perpecahan telah berlaku di dalam BN terutamanya antara PAS dan Umno. Ketika itu Umno dan kerajaan Pusat dipimpin oleh Tun Hussein Onn. PAS telah disingkir oleh Tun Hussein Onn dari BN dan kerajaan Pusat. Pergolakan berlaku di Kelantan dengan siri-siri tunjuk perasaan yang didalangi oleh Umno. Kerajaan Pas di Kelantan digulingkan secara tidak demokratik. Kelantan diperintah oleh satu badan khas semacam Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pilihanraya negeri segera diadakan. Parti Berjasa yang ditubuhkan secara tergesa-gesa dari serpihan Pas telah menang dan berkuasa. Tetapi untuk sementara sahaja. Kemudian Umno mengambil alih pemerintahan dari Berjasa di Kelanan dalam pilihanraya umum 1982 hinggalah pada tahun 1990 apabila kerajaan Umno di Kelantan tewas kepada PAS pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat.

Pada pilihanraya Umum 1990 Umno sekali lagi telah kalah teruk. Kelantan tumbang. Ramai calon-calon Umno tewas kepada Pas dan Parti Semangat 46, iaitu parti serpihan Umno yang muncul pada tahun 1988 selepas berlaku krisis besar dalam Umno sehingga terbentuk Team A dan Team B. Semua calon Umno baik di peringkat parlimen atau Dewan Undangan Negeri tewas di Kelantan kepada calon-calon Pas dan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. PAS dan Parti Semangat 46 ketika itu membentuk gabungan longgar yang dipanggil Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Tidak lama selepas membentuk kerajaan bersama APU di Kelantan antara PAS dan Parti Semangat 46, telah berlaku perselisihan dan perbezaan yang akhirnya membawa krisis serius antara Pas dan Parti Semangat 46 terutama berkaitan pembahagian kuasa dan jawatan di dalam pemerintahan Kelantan. Pertikaian itu menjadi semakin parah membawa kepada pilihanraya umum 1995. Walau bagaimanapun, Pas kelihatan semakin kuat manakala Parti Semangat 46 semakin merosot pengaruh, terutama selepas gagal dua kali dalam pilihanraya umum untuk memimpin gabungan pembangkang di peringkat kebangsan melalui Gagasan Rakyat untuk menumbangkan BN. Ketika para pemimpin Parti Semangat 46 dan ahli-ahlinya kelihatan seperti hilang semangat, keazaman dan tekad juang, dan diburukkan lagi dengan rasa tidak puas hati dan pertikaian yang terbuka dengan Pas, maka Umno muncul mengketengahkan cadangan perpaduan Melayu. Strategi Umno ialah untuk menarik kembali Parti Semangat 46 yang tidak lagi bersemangat itu kepada pangkuan Umno.

Kesempatan itu ada apabila Umno(Baru) waktu itu bercadang untuk mengadakan perhimpunan Melayu secara besar-besaran bersempena sambutan 50 tahun penubuhan Umno, iaitu pada 11 Mei 1996. Segala publisiti mengenai sambutan Umno 50 tahun itu digembargemburkan secara amat berkesan sekali sehingga menimbulkan rasa emosi dan sentimental kemelayuan yang menebal terutama di kalangan para pemimpin Parti Semangat 46 dan ahli-ahlinya yang merupakan bekas ahli-ahli Umno. Umno telah menjemput Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain kempimpinan Parti Semangat 46, termasuk juga pemimpin-pemimpin politik pembangkang Melayu lainnya untuk sama-sama hadir ke majlis perhimpunan sambutan Ulangtahun Umno ke- 50 di PWTC. Tengku Razaleigh Hamzah telah hadir.

Tetapi, sebelum dari peristiwa sambutan Umno 50 tahun itu, telah berlaku persaingan yang sengit antara Umno dengan Parti Semangat 46. Pada ketika Pas lebih mengutamakan dasar-dasar Islam dengan program membangun bersama Islam dalam segala segi termasuk soal ekonomi, sebaliknya Parti Semangat 46 berlumba dengan Umno untuk menjadi siapa yang lebih Melayu. Masing-masing cuba menjadi juara dan lebih perkauman sifatnya sehingga terjelma sikap rasis dan cauvinis Melayu yang sempit. Kesan paling ketara Parti Semangat 46 menjadi melebih-lebih berbanding Umno, sehingga parti itu menjadi semakin feudal sifatnya dan terlalu kemelayuan sehingga nampak rasis dan cauvinis. Kesan jelasnya, DAP iaitu satu parti komponen dalam Gagasan Rakyat telah keluar dari gabungan parti-parti pembangkang itu. Parti Semangat 46 telah menjadi parti oporcunis kerana meninggalkan manifestio bersama Gagasan Rakyat yang bertajuk “Selamatkan Malaysia” kerana Semangat 46 terlalu taksub untuk menjadi parti Melayu yang lebih Melayu dari Umno.

Untuk benar-benar menjadi parti yang lebih Melayu, parti Semangat 46 telah meminda perlembagaannya dan menukar namanya kepada Parti Melayu Semangat 46. Tetapi hanya dengan meletakkan nama Melayu kepada partinya itu tidak juga dapat menarik sokongan luas orang Melayu ketika itu yang telah terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu kepada Umno dan juga Pas. Akhirnya Parti Melayu Semangat 46 nampak tulisan di tembok bahawa masa depannya suram dalam dunia politik setelah tembelangnya sebagai parti yang tidak berprinsip telah dapat dibaca oleh rakyat pelbagai kaum. Tidak lama selepas Tengku Razaleigh Hamzah hadir di Dewan Merdeka dalam majls Ulangtahun penubuhan Umno ke-50 tahun, Parti Melayu Semangat 46 itu telah termakan dengan gula-gula politik Umno supaya orang Melayu kembali besatu di dalam Umno. Apa yang berlaku selepas itu ialah Parti Melayu Semangat 46 telah dibubarkan dengan semua ahlinya secara beramai-ramai memasuki Umno.

Tetapi pada tahun 1998, iaitu sepuluh tahun selepas krisis Team A dan Team B di dalam Umno sehingga membawa pengharaman parti itu oleh mahkamah, berlaku lagi satu krisis besar dalam parti itu. Kali ini Timbalan Presiden Umno, Dato Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari jawatan, ditahan di bawah ISA dan kemudian dituduh serta dibicarakan di mahkamah. Lanjutan dari krisis itu muncul gerakan reformasi dan tertubuh Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Bezanya Keadilan dengan Parti Semangat 46 ialah Keadilan sebuah parti pelbagai kaum, tidak seperti Semangat 46 sebuah parti Melayu secara eksklusif.

Hal yang sama juga tercetus iaitu parti-parti pembangkang yang berjaya menubuhkan Gagasan Rakyat pada tahun 1990, sekali lagi berjaya menubuhkan satu fron pembangkang, Barisan Alternatif pada pilihanraya umum 1999. Kesan dari gabungan pembangkang yang bersatu menentang BN yang dipimpin oleh Umno yang lemah dan penuh masalah serta mengalami krisis keyakinan rakyat menjadikan BN mengalami kemerosotan sokongan. Walaupun BN menang pilihanraya dengan majoriti melebihi dua pertiga di Parlimen tetapi UMNO tewas teruk. Seramai 22 calon Umno telah tewas di seluruh negara. Pas yang menang besar. Dari hanya ada 7 ahli parlimen dalam pilihanraya 1995, ahli parlimen Pas telah meningkat menjadi 27. Pas juga telah mengambilalih jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen dari teraju DAP yang telah memegangnya selama 30 tahun.

Dalam keadaan seperti ini, Mahathir nampak wujud satu ancaman ke atas kedudukan orang Melayu dari Rayuan Pilihanraya Suqiu. Umno segera tidak melepaskan peluang dari kontroversi itu berlalu begitu sahaja. Umno sekali lagi cuba menebar jalanya dengan menyeru kepada perpaduan Melayu. Kalau-kalau dengan seruan itu, ia dapat menarik kembali Keadilan yang bagi Umno masih dianggap sebagai parti serpihan daripadanya. Umno sebenarnya mungkin tidak begitu bimbang kepada pengaruh Pas. Pas telah wujud sejak 1951 dan bersaing dengan Umno.

Dalam konteks politik Malaysia, jika Pas bersandar dengan kekuatan parti itu sahaja mungkin ia hanya boleh bertapak di negeri-negeri teras Melayu di Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Pas dilihat sukar untuk membentuk atau memimpin Kerajaan Persekutuan. Ini bacaan sifir Umno. Yang dikhuatiri oleh Umno ialah Keadilan. Sebab Keadilan adalah sebuah parti pelbagai kaum yang dipimpin oleh orang Melayu yang mempunyai banyak ciri dan langgam Umno. Keadilan kini mendapat sokongan luas di kalangan rakyat Melayu juga bukan- Melayu.

Jika komposisi kaum seperti di Lunas yang memperlihatkan BN tewas di tangan Keadilan yang disokong oleh lain-lain parti pembangkang, ini adalah ancaman kepada Umno. Jadi bacaan Umno ialah untuk menarik balik Keadilan ke pangkuan Umno, jika boleh. Mungkin tidak pada zaman Mahathir, tetapi mungkin selepas Mahathir. Dalam politik segalanya mungkin berlaku. Jika pemimpin-pemimpin Semangat 46 yang begitu marah dan benci, meluat dan maki hamun terhadap Mahathir, kemudian boleh melutut dan merujuk kembali ke pangkuan Umno yang dipimpin Mahathir, maka tidak mustahil pada perkiraan pemimpin Umno bahawa Keadilan juga akan mengikut seperti jejak Parti Semangat 46.

Mungkin dianggap susah perkara seperti itu boleh berlaku kerana Anwar telah dizalimi dan dipenjara 15 tahun. Tetapi bagaimana kalau Umno membawa ranting perdamaian kepada Keadilan dengan membawa pakej tolak ansur politik atas nama perpaduan Melayu yang menawarkan pembebasan Anwar dan pemulihan kembali politiknya di dalam Umno dengan jaminan laluan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih terbuka? Tentu tawaran politik seperti ini susah untuk ditolak begitu sahaja? Malah sukar dinafikan isu perpecahan dalam masyarakat Melayu seperti yang dikatakan sekarang berpunca dari satu sebab utamanya ialah kes Anwar Ibrahim. Malah yang mula-mula berpecah ialah Umno apabila Anwar disingkir dan dipecat. Jadi, politik pasca-Mahathir perlu mengambil kira kemungkinan desakan di dalam Umno itu sendiri untuk membawa kembali Anwar ke dalam pangkuan Umno. Mungkin tidak sekarang. Tetapi mungkin selepas Mahathir berundur.

Tetapi Umno mungkin lupa bahawa terdapat banyak perbezaan antara Parti Keadilan Nasional dengan Parti Semangat 46. Parti Semangat 46 rujuk kembali kepada Umno selepas pilihanraya 1995 ketika Parti Semangat 46 lemah dan hilang semangat, manakala Umno pula dalam kedudukan kuat, selepas menang besar dalam pilihanraya umum 1995 ditambah pula oleh kedudukan ekonomi yang pesat tumbuh yang menjanjikan peluang-peluang kekayaan. Tetapi Umno sekarang berada di dalam keadaan yang lemah. Ia kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu kerana ditinggalkan oleh pengundi Melayu dan keadaan ekonomi negara pula masih tidak pulih sepenuhnya. Dalam pada itu parti Keadilan semakin membesar, semakin banyak cawangan dan bahagian ditubuhkan di seluruh negara. Juga tidak berlaku perpecahan antara Keadilan dengan Pas, seperti yang berlaku antara Semangat 46 dengan Pas pada tahun 1996 dahulu.

Tetapi bagi Umno, tidak rugi ia mencuba untuk mengajak parti-parti politik Melayu lainnya supaya membincangan isu perpaduan Melayu. Bagi Pas dan Keadilan pula masing-masing akan berada di dalam imej yang tidak baik sekiranya menolak pelawaan Umno untuk berbincang soal perpaduan Melayu. Suka atau tidak suka, perlu diakui bahawa kedua parti itu adalah parti politik yang berasaskan sokongan Melayu. Manakala orang-orang Melayu pada umumnya agak bimbang akan gejala perpecahan di dalam masyarakat Melayu akibat perbezaan politik.

Bagaimanapun, ada baiknya semua pihak, Umno atau parti-parti politik Melayu lainnya mengambil sikap yang positif dalam soal perpaduan Melayu ini. Memang ada tanggapan negatif bahawa seruan kepada perpaduan Melayu itu akan menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan kaum-kaum lain seolah-olah orang Melayu mahu bersatu untuk kemudiannya mengancam kepentingan mereka. Tetapi orang Melayu yang berpecah juga boleh mengancam orang-orang bukan-Melayu sekiranya kelompok Melayu yang berkuasa di dalam kerajaan itu mengambil pendekatan perkauman Melayu yang melampau hanya kerana mahu mendapatkan semula sokongan Melayu yang telah terlepas.

Begitu juga memang ada kebimbangan di pihak lain bahawa agenda perpaduan Melayu ini sengaja diadakan oleh Umno untuk kepentingan politik parti itu. Yang untungnya pada pandangan mereka ialah Umno, bukannya Pas atau Keadilan. Mungkn apablila Pas dan Keadilan mulai duduk berbincangan soal perpaduan Melayu akan menimbulkan kesan curiga di kalangan parti-parti lain dalam Barisan Alternatif terutamanya DAP yang berasakan sokongan kaum bukan- Melayu, terutama Cina. Kalau DAP yang dipimpin oleh Lim Kit Siang boleh meninggalkan Gagasan Rakyat selepas pilihanraya umum 1995 kerana Parti Semangat 46 menjadi semakin Melayu dan feudal, malah lebih Melayu dan feudal berbanding Umno, maka tidak mungkin hal yang sama tidak berulang kembali jika masing-masing parti Melayu pembangkang juga terikut-ikut rentak kemelayuan Umno.

Dalam hal isu perpaduan Melayu ini, seni silat pencak politik Umno agak bijak juga. Hanya ahli politik pembangkang Melayu yang pandai bersilat dan berpencak sedia dan mampu menghadapi cabaran politik yang dilontarkan oleh Umno dan Mahathir. Seperti bermain bola sepak raga atau takraw, Umno sekarang telah menghantar bola raga ke gelanggang lawan di sebelah. Kini, bagaimana pula pihak lawan di gelanggang sebelah membalas balik bola sepak raga itu. Jika Yasser Arafat dan Ehud Barak di Timur Tengah bersedia untuk terus berunding, dan mampu berdepan muka, maka pemimpin-pemimpin politik parti-parti Melayu juga harus mempunyai keberanian yang sama. Sekurang-kurangnya Umno telah membawa pendekatan yang agak pro-aktif. Umno mahu berdialog dan bermuzakarah seperti yang selalu dituntut oleh Pas. Masakan Pas tergamak menolak mentah-mentah jemputan muzakarah yang datang dari Umno itu? Peluang untuk berunding dan bermuzakarah itu bukan datang selalu. Perundingan mengenai perpaduan Melayu ini mungkin lebih besar implikasinya berbanding debat antara Mahfuz dengan Hisahmuddin.

Tetapi soal pokoknya perpaduan Melayu itu untuk apa? Ini perlu diputuskan. Kalau perbincangan mengenai perpaduan Melayu itu bertujuan untuk mencari jalan persefahaman tentang isu-isu penting yang berkaitan dengan kehidupan orang-orang Melayu seperti soal ekonomi, kemunduran dan kemiskinan, soal-soal tentang perbezaan pandangan dalam perkara agama, isu-isu kebudayaan dan perpecahan di peringkat rakyat di kampung-kampung dan di akar umbi yang dikatakan wujud akibat sikap kepartian yang sempit, maka tidak ada salahnya untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian. Boleh dicari formula iaitu orang Melayu boleh bersatu dalam kepelbagaian pendirian politik seperti lazimnya dalam masyarakat madani dan demokrasi.

Tetapi kalau perbincangan perpaduan Melayu itu sebaliknya bertujuan untuk menghimpunkan kekuatan politik orang Melayu untuk menekan dan mengancam kepentingan dan hak kaum-kaum lain di negara ini, maka pertemuan seperti itu tentu sekali akan membawa keburukan dan tidak wajar diadakan. Pas dan Keadilan, hatta Umno sekalipun, tidak patut campur dalam kegiatan yang bersifat asabiyah dan rasis seperti itu.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin parti politik Melayu seperti Pas dan Keadilan harus menggunakan isu perpaduan Melayu ini untuk mengajak para pemimpin Umno berbincang soal-soal pokok negara yang melibatkan kepentingan rakyat keseluruhannya, tidak terhad kepada orang-orang Melayu sahaja. Para pemimpin Pas dan Keadilan patut menekankan kepada pemimpin Umno akan peri pentingnya soal keadilan, soal demokrasi, pembahagian kekayaan dan sumber negara yang adil, saksama dan merata bagi seluruh rakyat, pembelaan terhadap nasib rakyat yang miskin, lemah, mundur dan terabai tanpa mengira apa kaum dan agama mereka.

Pas dan Keadilan perlu menegaskan kepada Umno bahawa untuk perpaduan Melayu maka perlu ditamatkan dasar-dasar negara yang mengutamakan kepentingan segelintir golongan sahaja yang dipanggil para kroni melalui dasar-dasar penswastaan tetapi mengabaikan majoriti rakyat jelata yang hidup miskin dan menderita. Soal penentangan ke atas gejala rasuah dan penyelewengan perlu dititik beratkan. Perlu ditegaskan kepada para pemimpin Umno bahawa perpaduan Melayu tidak akan dapat diwujudkan sekiranya rakyat pelbagai kaum di negara ini terus dipecah-pecahkan berasaskan politik sempit perkauman. Begitu juga perpaduan Melayu tidak harus diwujudkan atas dasar tidak adil yang bersifat menindas kaum-kaum lain. Perlu ditegaskan perpaduan Melayu mesti dibina atas prinsip keadilan, iaitu keadilan untuk seluruh rakyat. Ini bermakna, perpaduan Melayu bukan satu agenda terasing. Ia adalah satu tuntutan yang berkait rapat dengan perpaduan rakyat keseluruhannya yang meliputi semua kaum, agama dan budaya.

...............................................................................................................
[Nota: Artikel ini telah dikirimkan pada asalnya kepada akhbar Utusan Malaysia]


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 9 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com