KOTA BHARU, 28 Jan (Hrkh) - Dato' Hishamuddin Hussin dianggap hanya layak untuk memimpin Puteri Umno sahaja dan bukannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno kerana kegagalannya untuk mengadakan debat dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
Mahfuz Omar berkata, anggota Pemuda Umno sepatutnya merasakan malu mempunyai seorang ketua yang tidak mempunyai semangat patriotik tulen, apabila gagal melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini.
Katanya, pemuda-pemuda Umno yang berfikiran rasional tidak perlu lagi menunggu untuk berada lebih lama lagi bersama pergerakan tersebut, kerana ia dipimpin oleh ketua yang dianggap penakut.
"Sepatutnya pemuda Umno merasa malu untuk menerima seorang ketua yang sanggup membatalkan debat, sedangkan ia begitu gah diperkatakannya sebelum ini.
"Pemimpin seperti itukah yang dikatakan akan mengambil alih teraju negara pada masa akan datang," katanya di sini.
Menurutnya, sebelum ini Hishamuddin meminta debat ditangguhkan sementara untuk membolehkan dia menumpukan perhatian menyelesaikan isu mengenai Suqiu.
Katanya, Pemuda PAS bersetuju dengan permintaan itu untuk memberi laluan kepada Hishamuddin menyelesaikan masalah tersebut.
Bagaimanapun tambahnya, isu tersebut kini sudah selesai dan Ketua Pemuda Umno perlu menunaikan janjinya sebelum ini.
"Saya sudah menghantar surat kepada Hishamuddin supaya debat yang dipersetujui sebelum ini diteruskan, namun sehingga kini dia belum menjawabnya," tambahnya.
Mahfuz juga menjelaskan isu perpaduan Melayu yang dicanangkan Dr Mahathir sebelum ini bertujuan untuk memecahkan kekuatan benteng Barisan Alternatif (BA).
Katanya, Umno dianggap berjaya dalam misi tersebut, sekiranya rakyat terus keliru dengan isu perpaduan Melayu yang dilaungkan mereka sebelum ini.
Menurutnya juga, isu itu dicanang berterusan bagi melahirkan rasa kebencian orang Melayu terhadap penduduk bukan Islam di negara ini, dan mengharap orang Melayu kembali menyokong parti tersebut.
Mahfuz yang juga anggota Majlis Kerja PAS Pusat menjelaskan, PAS sudah membuat keputusan muktamad menolak untuk menyertai rundingan dengan Umno, sekiranya isu yang dirunding dibataskan mengenai perpaduan Melayu sahaja.
Katanya, PAS hanya bersetuju sekiranya rundingan tersebut membabitkan isu nasional dan bukannya terbatas kepada ruang lingkup perpaduan Melayu.