Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Anuar Musa akui sekatan royalti minyak tekanan kepada Terengganu

Oleh Wakil Harakah di Manchester

MANCHESTER, 12 Jan (Hrkh) - Dato Anuar Musa akhirnya mengaku di hadapan pelajar-pelajar pasca-siswazah Malaysia di sini malam tadi bahawa sekatan royalti minyak ke atas kerajaan negeri Terengganu adalah tindakan politik.

Beliau juga menjelaskan bahawa salah satu cara untuk menyusahkan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu adalah dengan melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kerajaan Pusat kepada negeri-negeri ini dengan tujuan supaya rakyat akan beralih sokongan kepada Umno.

Terdahulu dari itu, Dato Idris Jusoh yang merupakan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Negeri Terengganu diasak bertalu-talu dengan soalan-soalan berhubung perkara isu royalti minyak apabila beliau ternyata gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan kepada para pelajar yang menghadiri pertemuan tersebut.

Dato Anuar Musa dan rombongan yang berada di UK hampir seminggu adalah di dalam rangka lawatan bertemu dengan pelajar-pelajar di sini.

Beliau menyatakan bahawa rombongan ini adalah hasil pertemuan dengan Perdana Menteri yang bimbang terhadap kemerosotan sokongan pelajar dan golongan muda terhadap Umno dan kerajaan.

Di dalam pertemuan semalam di hadapan sekitar 10 orang pelajar-pelajar pasca-siswazah, beliau juga menafikan bahawa Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu, sebaliknya menegaskan bahawa sejarah perjuangan Umno adalah semata-mata untuk menentang Malayan Union dan mendapatkan kemerdekaan.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap sikap Umno yang tidak berubah dan gagal menyampaikan 'maklumat' sebenar tentang tindakan-tindakan kerajaan sehinggakan rakyat mendapat maklumat yang salah dan persepsi yang berbeza.

Di samping melahirkan kekecewaan terhadap ahli-ahli Kelab Umno UK sendiri yang tidak memahami sejarah perjuangan Umno, beliau mengakui akan teguran dan kritikan yang diberikan oleh pelajar-pelajar terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com