Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jika topiknya perpaduan Melayu sahaja: PAS tidak akan sertai perbincangan

Oleh Nur Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Hrkh) - PAS tidak akan menghadiri perbincangan dengan Umno jika topik perbincangan hanya untuk perpaduan Melayu sahaja.

Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, pendirian ini adalah pendirian rasmi PAS kerana PAS berpendapat Melayu tidak berpecah.

"Yang berpecah hanyalah Melayu dalam Umno sahaja. Mereka lari dari Umno dan menyertai parti-parti dalam Barisan Alternatif," kata Nasharudin kepada Harakah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal PAS bagi mengadakan perbincangan awal antara Umno dan PAS sebelum deligasi penuh yang diketuai oleh presiden kedua-dua parti tersebut bertemu.

Bagi Nasharudin, Umno cuba menjuarai isu perpecahan Melayu untuk memujuk balik orang Melayu yang berpecah dari Umno agar pulang balik ke pangkuan parti itu.

"Bagi PAS, topik perbincangan haruslah meliputi perpaduan nasional bukannya perpaduan Melayu sahaja di samping lain-lain isu nasional," katanya.

Dalam wawancara eksklusif bersama Harakah pagi ini, beliau mempersoalkan perpecahan orang Melayu yang dimaksudkan oleh Umno.

"Adakah perpecahan itu bermaksud orang Melayu tidak memberi sokongan kepada Umno? Atau dalam sistem demokrasi ini, apabila rakyat memilih mana-mana parti yang mereka mahu dan tidak lagi memberi sokongan kepada Umno di anggap perpecahan?

Perpecahan ini hanya dari perspektif Umno," katanya.

Beliau turut kesal dengan laporan akhbar media arus perdana yang sengaja memutar belitkan pendirian antara PAS dan KeADILan.

Laporan media menyebut PAS bersetuju berbincang dengan Umno sedangkan KeADILan tidak bersetuju.

Mengenai kenyataan itu, Ustaz Nasharuddin menjelaskan, PAS bersetuju untuk berbincang dengan Umno sekiranya perbincangan itu bersifat nasional bagaimanapun KeADILan dalam satu kenyataan akhbarnya sebelum ini menegaskan tidak bersetuju untuk mengadakan perbincangan mengenai isu perpaduan Melayu.

"Pada hakikatnya, pendirian PAS dengan keADILan adalah tidak berbeza tetapi media pro BN sengaja untuk memecah belahkan antara kedua pihak dengan mengatakan PAS bersetuju sedangkan Keadilan tidak bersetuju," katanya.

Tambah beliau lagi, Umnolah sebenarnya yang mengamalkan politik perkauman.

Katanya, PAS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal bagi merintis jalan ke arah perbincangan secara mendalam mengenai isu itu.

Katanya, jawatankuasa tersebut membincangkan dari segi format perbincangan agenda dan perkara-perkara yang bersifat teknikal.

Jawatankuasa berkenaan dipergerusikan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan dianggota oleh tiga ahli jawatankuasa PAS Pusat iaitu Dr Abdul Wahab Ismail, Dr Hatta Mohd Ramli dan Dato' Hishamudin Yahya.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com