PENGKALAN CHEPA, 5 Jan (Hrkh) - Cerita harimau tua yang sudah tidak terdaya bergerak bagi mengejar musuh menjadi pendoman terbaik untuk melihat taktik sebenar Umno mahu mengajak PAS dan KeADILan ke arah penyatuan Melayu.
Harimau tersebut mendiami sebuah gua dan hanya mampu mengirim salam kepada binatang-binatang lain (mangsanya) supaya datang berjumpa dengannya.
Bagaimanapun taktik tersebut disedari pelanduk yang turut datang setelah mendengar harimau tua itu mengirim salam, namun apabila sampai di pintu gua, dia melihat tapak-tapak kaki binatang lain hanya kelihatan masuk ke gua sahaja.
"Pelanduk tidak nampak tapak binatang-binatang yang datang keluar dari gua, lalu dia mensyaki binatang tersebut sudah dibaham harimau tua.
"Lalu pelanduk berlalu begitu sahaja meninggalkan gua tersebut setelah disedari ditipu harimau tua," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya, cerita itu menjadi pendoman cukup jelas untuk melihat usaha Umno mengajak PAS dan KeADILan berbincang ke arah penyatuan Melayu.
Beliau tidak mahu Barisan Alternatif (BA) tertipu dengan taktik penyatuan Melayu seperti dilakukan harimau tua menipu mangsanya.
Beliau melahirkan syak wasangka itu berdasarkan sejarah PAS pernah disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) dan Semangat 46 yang pernah bersama PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah kembali menyertai Umno semula.
"Sepatutnya agenda perpecahan Melayu tidak perlu dibincangkan kerana perpecahan dimaksudkan ialah apabila ramai orang Melayu meninggalkan Umno untuk menyertai BA.
"Adalah lebih baik Umno mengajak kita berbincang mengapa Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia dan mengapa negara ini digelar sebagai sekular," katanya selepas merasmikan pelancaran penjualan lot tanah wakaf bagi membina Markas PAS Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Beliau berkata, fahaman sekular yang dianuti negara ini adalah bukan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. dan ia perlu diperbetulkan.
Bagaimanapun beliau melihat PAS sebagai parti memperjuangkan Islam perlu mendekati musuh politiknya seperti seorang doktor merawati pesakitnya.
Semalam akhbar melaporkan Umno mengorak langkah pertama ke arah penyatuan orang Melayu dengan mencadangkan pertemuan di antara ketiga-tiga presiden parti itu, Umno, PAS dan KeADILan.
Timbalan Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, pertemuan enam mata di antara Dr Mahathir Mohamad, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Dr Wan Azizah Wan Ismail boleh diadakan perbincangan secara terus.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau lebih berminat terhadap penyatuan semua penduduk di negara ini dengan berpaksikan Islam.
"Penyatuan semua penduduk di negara ini, tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya bagi menentang gejala rasuah, kegiatan perjudian dan pelbagai unsur tidak sihat adalah lebih perlu diutamakan.
"Orang bukan Melayu tentunya boleh terima, untuk kebaikan semua pihak," katanya.
Berucap sebelum itu, beliau acap kali menegaskan orang Melayu di negara ini tidak pernah berpecah sebagaimana didakwa, cuma mereka meninggalkan perjuangan Umno.
Menurutnya, PAS sudah lama mengajak orang Melayu meninggalkan perjuangan bangsa yang tidak sampai ke mana, dan mencintai perjuangan Islam seperti dibawa Nabi Muhammad s.a.w.
"Namun malangnya Umno begitu ego, memperlekehkan usaha PAS sambil melabelkan perjuangan PAS sebagai ekstrem kepada orang bukan Islam.
"Bagaimanapun sekarang semua rakyat sudah sedar dan mereka memilih jalan meninggalkan perjuangan Umno untuk bersama BA.
"Penghijrahan keluar beramai-ramai orang Melayu dari Umno mungkin yang dimaksudkan perpecahan orang Melayu seperti yang dilaungkan pemimpin parti itu sekarang," tambahnya.
Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ketua parti Islam pertama sedunia mengajak manusia ke arah penyatuan Islam dan bukan perpaduan bangsa.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mengimpikan parti Islam perlu diperluaskan menjadi Parti Islam SeAsia kemudian menjadi Parti Islam Sedunia.