Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Polis salah guna ‘alasan keselamatan’

Fathi Aris Omar

Sampai bila orang ramai sanggup diperbodohkan sukar dinilai. Tetapi alasan rasmi yang dikeluarkan polis ada waktu-waktunya tidak masuk akal.

Senarai alasan tidak logik itu berkumandang semula dua hari lalu. Menurut sebuah akhbar semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Nik Ismail Nik Yusuf dilaporkan berkata pihaknya tidak mahu tarian singa dipersembahkan kerana “alasan-alasan keselamatan”!

Apakah larangan terhadap kumpulan anak-anak remaja bermain kompang - seperti ketika kenduri kahwin atau menyambut menteri - di majlis perhimpunan Hari Raya pembangkang Sabtu lalu juga kerana “alasan-alasan keselamatan”? Tidak pula diketahui rupa-rupanya bermain kompang juga memerlukan permit khas polis! (Polis halang tarian singa, kompang, 20 Jan)

Dua acara itu tidak dibenarkan oleh polis sejak hari Jumaat lagi. Padahal dalam permit awal yang dikeluarkan sebelumnya, syarat itu tidak dimasukkan. Kenapa tergesa-gesa pula polis menyekat persembahan budaya pelbagai kaum untuk menyambut semangat perpaduan yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional - khususnya sejak akhir-akhir ini.

Barang kali Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus sering menjenguk-jenguk ke bawah. Lihatlah sendiri anak buahnya menjalankan kerja - sama ada profesional atau sebaliknya. Kerana tindak-tanduk polis dilihat tidak dapat dipisahkan daripada keputusan menteri berkenaan (walau menteri tidak tahu-menahu).

Tetapi bukanlah kali pertama “alasan keselamatan” digunakan oleh pihak berwajib. Malah, banyak insiden lain turut diberikan alasan seumpama itu - mentang-mentanglah wujud Akta “Keselamatan” Dalam Negeri (ISA) dan polis, khususnya Cawangan Khas (SB), pernah bertungkus-lumus menentang pergerakan komunis.

Walaupun tanpa pengganas komunis, minda mereka tampaknya masih dikongkong dan diilusi oleh senario era Perang Dingin.

Begitulah juga istilah “isu-isu sensitif” yang semakin galak digunakan sejak wujud kempen akhbar-akhbar harian Melayu terhadap kumpulan lobi Cina, Suqiu.

Istilah “sensitif” pernah digunakan bagi menghalang usaha mengadakan pertemuan antara warga Kuala Lumpur pada 1997 untuk membincangkan isu bandaraya kekeringan bekalan air. Ia dihalang kerana masalah serius itu dianggap “isu-isu sensitif”!

Begitulah isu-isu yang menyentuh kaum, agama dan kepincangan kerajaan - mudah sahaja ia ditutup daripada perdebatan awam apabila ditolak ke dalam bakul “alasan keselamatan,” “isu sensitif,” “rahsia rasmi” atau “sentimen kaum.”

Implikasi sekatan polis

Sampai bila isu-isu penting akan dapat didebatkan dan dikongsikan jika sentiasa ditutup dalam bakul-bakul ini? Apakah ini bermakna alasan-alasan karut itu akan diteruskan sampai bila-bila dengan alasan (lagi?) orang awam begitu tidak matang atau “belum bersedia” membincangkannya (seperti sering digunakan kerajaan)?

Tindakan polis terhadap penganjur, Parti Keadilan Nasional bahagian Kuala Langat, menghalang persembahan tarian singa dan kompang mempunyai implikasi yang besar:

Pertama, ia menunjukkan polis boleh mengeluarkan apa sahaja alasan untuk menjustifikasikan apa sahaja arahannya walau tanpa hujah munasabah.

Kedua, persembahan yang boleh mengeratkan hubungan antara kaum (walaupun di kalangan sesama penyokong pembangkang) yang boleh membantu tugas pasukan itu tetapi malangnya disekat secara tidak rasional.

Ketiga, polis sendiri tidak boleh membezakan antara inti (essence) sesuatu perkara dengan prosedur yang diperuntukkan di bawah bidang kuasanya.

Keempat, tindakan tidak popular dan tidak juga strategik ini boleh membangkitkan rasa kecewa orang ramai (sekurang-kurangnya di kalangan penyokong pembangkang) terhadap pasukan polis yang seharusnya “mesra rakyat” dan memberikan layanan sama rata.

Kelima, tindakan itu sungguh ganjil dicelah-celah semangat perayaan dan kempen perpaduan, khususnya perbincangan untuk penyatuan Melayu, yang cuba dibawa oleh kerajaan sendiri.

Keenam, nampaknya mulai hari ini polis harus dipertanggungjawabkan dari segi politik secara langsung, tidak lagi bersembunyi di sebalik kuasa birokrasi yang hebat tetapi menteri (orang politik) yang harus memikul kelemahan birokrasi pasukan itu.

Jika benarlah Nik Ismail mengeluarkan alasan itu, pasukan polis harus menilai kembali keupayaannya menangani hal-hal remeh ini dengan sebaik mungkin. Bagaimanapun, hakikat polis tidak mengeluarkan permit itu sudah cukup untuk difikirkan, khususnya oleh Menteri Dalam Negeri, profesionalisme pasukan keselamatan.

Apatah lagi pasukan itu sedang dikritik hebat sejak insiden-insiden 1998, dan kini dipanggil untuk memberikan keterangan di depan panel penyiasat bebas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi dakwaan “keganasan polis” dua bulan lalu.

Jika ada budi bicara polis hari itu, isu ini sebenarnya tamat sebaik sahaja berakhir program itu menjelang 7 petang 20 Januari lepas. Semua pihak tentunya gembira seperti juga perhimpunan di Jalan Duta, Kuala Lumpur ketika pembangkang menyerahkan memorandum isu royalti minyak Terengganu November lalu.

Kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak, alasannya “security reasons”!

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 25 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com