Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Dugong Jadi Hakim Persekutuan

Cili Api 165
(24hb Januari 2001)

Sebermula maka tersebutlah kisah bahawa PM Dr M @ Cek Det hendakkan sangat-sangat Tan Sri Mohtar Abdullah @ Dugong untuk mengganti Tun Eusoff Chin sebagai Ketua Hakim Negara. Cek Det mahu seorang Hakim Negara yang menjaga kepentingan dirinya, bukan kepentingan keadilan atau negara.

Cili Api diberitahu oleh burung bayan bahawa Cek Det yakin Dugong ini boleh menyambung taat setia Eusof Chin, selaku Ketua Hakim, kepada segala kehendaknya. Lagi pula Dugong boleh diharapkan, seperti Eusof Chin juga, untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak akan berjaya dalam mana-mana perbicaraan atau rayuan.

Akan tetapi, rancangan Cek Det telah digagalkan oleh majlis raja-raja. Khabarnya kedua-dua Cek Det dan Dugong kelam-kabut sebentar. Tidak lama kemudian Cek Det mendapat ilham. Tidaklah diketahui dari mana datang ilham itu. Maka segeralah Cek Det mengangkat Dugong sebagai Hakim Persekutuan.

Kata burung bayan lagi, maka Dugong tidak berasa malu muka menerima jawatan ini, walaupun ia merupakan turun pangkat serta taraf. Memanglah Dugong ini jenis yang memang tebal muka dan tak ada malu. Dia sanggup dimalukan selama dua tahun, kerana Cek Det sudah menjanjikan bahawa selepas itu dia akan diangkat menjadi Ketua Hakim Negara, apabila tempoh Tan Seri Dzaidin Abdullah tamat nanti.

Bukan main jauh pandangan Cek Det. Dia sanggup telan temeguk dan menerima Dzaidin sebagai Ketua Hakim Negara sekarang sebagai satu kekalahan sementara. Beliau yakin akan menang semula selepas Dzaidin bersara. Cili Api diberitahu, kali ini Cek Det akan membuat rancangan jangka panjang selama dua tahun, dengan apa cara sekalipun, untuk memastikan majlis raja-raja akan menerima Dugong sebagai Ketua Hakim Negara kelak.

Cek Det tahu benar bahawa Dugong ini mudah saja boleh dikait dengan jari kelengkeng. Betapa tidak? Bukankah Mohtar bergelumang dengan tahi rasuah seperti Eusof Chin? Bukankah Mohtar, seperti Eusof Chin, telah dirasuah oleh Datuk Lingam, peguam Vincent Tan, kroni Cek Det, dengan cuti sekeluarga di luar negeri? Cili Api dengar Eusof dan Mohtar ini boleh naik sama tinggi dan turun sama rendah dalam hal rasuah.

Cili Api ingin tanya Datuk Rais Yatim: Apa rancangan hendak memulihkan imej sistem kehakiman negeri ini? Dalam firasat Cili Api, imej itu akan tunggang terbalik dalam masa dua tahun akan datang. Adakah Rais anak Yatim akan diketepikan daripada jawatannya sekarang lebih awal lagi? Atau akan patuh balik kepada Cek Det, sebagaimana beliau patuh pada masa Eusoff Chin jadi bos hakim dulu?

Cili Api


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 25 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com