Sekarang ini heboh di internet tentang isu perpaduan
Melayu. UMNO kata umat Melayu sedang berpecah, dan ia
perlu diselamatkan dan diberi perhatian sebelum
terlambat. BA kata UMNO cuma memperkudakan isu ini
untuk memanjangkan hari-hari senja mereka di persada
politik tanahair. Sebagai seorang pelajar universiti
yang akan pulang ke negara sebagai seorang
professional, saya lebih cenderung untuk memilih
pendapat BA dalam isu ini.
Ya tentu sekali ada suara-suara sinis yang mengumpat
pendapat saya ini dengan tanggapan bahawa sebagai
seorang penerima biasiswa kerajaan, saya sepatutnya
berterima kasih kepada kerajaan dengan tidak menyokong
BA. Tetapi, bukan nak berlagak, saya rasa saya cukup
bijak dan pandai (insya Allah) untuk tidak jatuh ke
dalam perangkap UMNO. Tambahan pula, sebagai seorang
Islam, saya tidak banyak pilihan tetapi untuk
menyokong dan mendukung perjuangan yang berteraskan
keadilan dan penegakan kalimah Allah di muka bumi ini.
Bukankah kita sebagai makhluk Allah dijadikan untuk
memperhambakan diri kepadaNya? Adakah dengan
memperjuangkan idealisma chauvinistik kaum yang sempit
kita akan diredhai Allah? Saya berani katakan tidak.
Sebagai seorang muda yang sedang menuntut di
perantauan, tanggapan dan worldview saya amat
dipengaruhi oleh gerakan Islam antarabangsa yang
terdapat di mana-mana hari ini. Survival umat Islam
adalah survival masyarakat global, yang merentasi
batas-batasan ekonomi, bangsa dan negara. Di merata
tempat di dunia ini, di Kashmir, di Iraq, di Palestin,
di Acheh, Selatan Thailand, selatan Filipina, di
Cechnya, di Kosovo, di Bosnia, di Turki, di benua
Afrika, di Eropah malahan di Amerika umat Islam sedang
menjadi sasaran penindasan musuh-musuh Islam,
termasuklah golongan Zionis Yahudi. Jadi adakah masih
relevan untuk kita bernaung di bawah perjuangan
berteraskan bangsa dalam senario yang memerlukan
perpaduan masyarakat Islam global? Dari perspektif
ini, saya melihat Umno bukannya membangun dari segi
moral, spiritual dan intelektual, tetapi hanya sekadar
memutar jarum jam kebelakang sedang umat Islam lain
dibawah penganiayaan musuh Islam sedang bersiap sedia
untuk bersatu padu dan berkongsi sumber tenaga, wang
dan pemikiran.
Oleh yang demikian, apabila Umno melihat dirinya
semakin disisihkan dari tema perpaduan Islam yang
bersifat universal, ia mulalah menjerit-jeritkan isu
perpaduan Melayu yang amat irrelevan dan ketinggalan
zaman! Bagaimanalah parti kuno itu akan mendapat undi
dari penuntut-penuntut Melayu di luar negara yang
kebanyakannya adalah progressif dan Islamik (walaupun
masih ada anak-anak sikaya kroni Umno yang hanya tahu
untuk enjoy dan menghabiskan duit ibu bapa dan negara
di sini!)? Sukar untuk Umno melihat survivalnya di
kalangan golongan muda professional dalampada dunia
terus menerus diglobalisasikan oleh arus informasi
yang kuat melanda kini. Muzium Negara dan Arkib
Negara seharusnya mula mendedikasikan ruang pameran
untuk parti kuno ini yang sedang mengetuk paku
terakhir di kerandanya, tentu sekali pameran khazanah
parti kuno itu akan diberi sambutan hangat oleh
generasi anak-anak serta cucu-cucu saya!
Saya mempunyai visi, saya mempunyai mimpi, yang
Malaysia diterajui oleh barisan pimpinan Islam dan
barisan pimpinan yang berlatarkan agama dan ideologi
lain yang berfungsi secara harmoni dan bersatu padu
dalam membangunkan Malaysia sebagai negara yang
progressif dan dinamik, tetapi tidak meninggalkan
nilai-nilai kemanusiaan universal sebagai faktor
pengimbang kepada pembangunan material. Dan di dalam
visi saya ini, saya tidak nampak bagaimana Umno
sebagai parti yang berasaskan nasionalisma sempit
boleh membantu, tidak nampak langsung. Saya tidak
nampak bagaimana parti yang pemimpinnya dipilih kerana
wang serta kedudukan boleh memupuk budaya ilmu dan
kemajuan di kalangan orang Melayu. Saya tidak nampak
bagaimana parti yang menganggap nilai-nilai
kemanusiaan boleh dibeli dengan kuasa dan wang ringgit
boleh menggembeling satu masyarakat yang bernilai dan
bermoral. Saya tidak nampak bagaimana parti yang
tidak memberi suara kepada ahli-ahlinya sendiri dapat
memberi suara kebebasan serta hak asasi kepada rakyat
yang cuba dipimpinnya. Saya tidak nampak bagaimana
parti yang membiarkan rakyatnya dibelenggu kemiskinan
dan kebodohan meberi pendidikan dan kefahaman kepada
rakyat. Saya tidak nampak bagaimana parti yang tidak
menghargai nilai-nilai yang berhikmah, bijak, sempurna
dan gemilang di dalam Al Quran untuk memperjuangkan
agama yang di ajar di dalam AlQuran. Saya tidak
nampak, tidak nampak langsung!
Semakin hari, semakin saya sedar tentang betapa
cantiknya Islam yang dianugerahi Allah kepada
masyarakat Melayu amnya dalam pada bangsa ini
mengharung pelbagai cabaran semenjak pemecatan Anwar
Ibrahim. Tidak keterlaluan jika saya katakan Islam
lah tali penyelamat orang Melayu dari terus jatuh di
dalam kancah kemunduran Umno. Kerana Islam dan
tema-tema keadilan di dalamnya, orang Melayu mula
sedar siapa pembelot dan pemusnah di kalangan kita.
Kerana Islam, kita semua tidak pernah hilang semangat
dan harapan, kerana konsep menyerah kalah tidak pernah
wujud di dalam agama suci ini. Kerana Islam juga kita
disedarkan bahawa kita dihantar ke muka bumi ini bukan
untuk memperjuangkan bangsa semata-mata, tetapi
sebagai utusan Allah untuk melaksanakan tugas-tugas
yang pernah dilakukan oleh Rasulullah, iaitu untuk
menegakkan kebenaran dan membela keadilan, tidak kira
agama dan kaum. Cuba bayangkan jika bangsa kita tidak
mempunyai agama ini yang dapat dijadikan sandaran?
Sudah tentu orang Melayu itu tidak lebih dari satu
nama yang pupus roh semangat serta nilai-nilainya...
Jadi adalah amat bertepatan jika Islam yang telah
memimpin kita di jalan yang lurus dipegang terus dalam
kita memperjuangkan kedudukan kita di muka bumi Allah
ini. Buat apa lah kalau kita terus menerus masih lagi
mahu berharap kepada Umno? Terlalu banyak pengajaran
yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan
generasi-generasi sebelum kita, bahkan Allah Taala
sendiri menggesa agar kita mengambil pengajaran dari
kaum-kaum yang terdahulu. Oleh itu siapalah kita
untuk mengulangi kesilapan yang sama yang pernah
dilakukan oleh umat-umat terdahulu?
Jadi berbalik kepada isu perpaduan, harus kita sedari
bahawa perpaduan untuk matlamat yang salah adalah
tidak berguna satu sen sekalipun. Ya memang benar ada
perpecahan di kalangan orang Melayu, namun berani saya
katakan yang cebisan terbesar dari perpecahan Melayu
itu amat bersatu padu menentang kezaliman dan
penindasan yang dipupuk oleh Umno. Melayu yang
alternatif pemikirannya amat bersatu padu dengan
bangsa-bangsa lain dalam memperjuangkan Malaysia baru
yang bebas dari politik kuno dan zalim Umno!
Undi saya, dan insya Allah undi anak-anak saya adalah
selama-lamanya untuk parti yang memperjuangkan Islam,
parti yang progressif, yang berlatarbelakangkan
kepelbagaian kaum dan identiti, yang mampu memberikan
pembangunan material, spiritual dan intelektual tanpa
meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan, dan yang mampu
belajar dari kesilapan. Umno sudah lama hilang undi
saya, sejak ia terjerit-jerit memuji-muji diri sendiri
dan terjerit-jerit menyalahkan orang lain bila saja
ada masalah yang menimpanya. Umno bukan parti untuk
saya, mahupun golongan muda professional seperti saya,
dan kami adalah pembentuk masadepan Malaysia dalam
masa yang terdekat ini. Saya doakan proses kehancuran
Umno dipercepat insya Allah, agar kita boleh terus
meningkatkan mutu hidup masyarakat Malaysia dan
perpaduan ke peringkat seterusnya, dan disegani serta
dihormati oleh masyarakat dunia yang lain.
Benarlah firman Allah, sesungguhnya kebenaran telah
tertunjuk dengan jelas dari kebatilan! Segala
puji-pujian yang tercantik dan sempurna untuk mu ya
Allah!
SuperBusa
Jan 01, Ohio