Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


SAH! UMNO HANYA MAHU BINCANG PERPADUAN MELAYU

"Sudah terang lagi bersuluh". UMNO hanya mahu bincang perpaduan Melayu bukannya Perpaduan Nasional.

Majlis Tertinggi Umno hari ini bersetuju agar parti itu mengadakan pertemuan dengan Pas bagi membincang soal perpaduan Melayu dan akan menghadirinya dengan fikiran yang terbuka, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

(Bernama: 13 Januari 2001)

Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini bersetuju mengadakan pertemuan antara parti itu dan Pas dengan memberi tumpuan kepada soal perpaduan Melayu terlebih dahulu.

(Utusan Malaysia: 13 Januari 2001

Olehitu, sekarang Presiden PAS sudah tidak mempunyai alasan untuk meneruskan dialog dengan UMNO kerana agenda utama UMNO hanya mahu menarik semula orang Melayu bersatu kembali menyokong UMNO dengan bantuan PAS (tanpa disedari). UMNO mahu PAS tunduk dengan kemahuan mereka dan secara mentah-mentah telah menolak cadangan PAS untuk berbincang tentang Perpaduan Nasional sebaliknya mengutamakan agenda perbincangan Perpaduan Melayu. Benar sungguhlah UMNO ini parti perkauman.

Bukan saya sahaja malah ramai penyokong BA menyeru supaya lebih baik PAS menarik diri dari sekarang iaitu pada peringkat awal sebelum perbincangan dimulakan. Jika perbincangan ini diteruskan juga ramai penyokong BA akan kecewa kerana PAS sudah sanggup berkompromi dengan UMNO berbincang tentang isu perkauman dan seolah-oleh mengiktirafkan kezaliman UMNO yang dilakukan selama ini.

PAS tidak boleh beri alasan bahawa mereka terpaksa menerima pelawaan UMNO kerana PAS sebelum ini sering mengajak UMNO untuk bermuzakarah. Tujuan muzakarah ialah untuk berbincang tentang hukum Islam dan tuduhan UMNO kononnya PAS menyelewengkan Islam bukannya soal perkauman.

AWAS perangkap UMNO! Buktinya:-

Beliau berpendapat perbincangan mengenai perpaduan Melayu itu sahaja boleh memakan masa yang panjang.

(Bernama: 13 Januari 2001)

Satu tajuk itu saya ingat pun boleh makan masa panjang," katanya selepas mesyuarat hampir tiga jam di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

(Berita Harian: 13 Januari 2001)

Mereka sengaja mengheret PAS ke meja rundingan kerana mereka tahu matlamat BA ialah untuk menyingkirkan UMNO/BN pada tahun 2004. Mahathir sendiri mengakui bahawa tajuk perbincangan Perpaduan Melayu akan memakan yang lama. Mungkin berlarutan hingga bertahun-tahun. Oleh itu, apabila semakin hampir dengan pilihanraya akan menyukarkan PAS untuk mengkritik UMNO/BA kerana mereka sedang berada dalam perundingan dengan UMNO. UMNO sengaja hendak melengah-lengahkan penyatuan pakatan BA yang berhasrat untuk menggunakan satu lambang dalam pilihanraya 2004. Malah hubungan PAS dengan komponen BA yang lain pasti akan menjadi semakin renggang dan mungkin akan berpecah kerana langkah PAS membelakangkan komponen BA yang lain.

Saya merayu dan menyeru kepimpinan PAS agar hentikan sahaja sandiwara UMNO ini. Mereka tidak akan sanggup berbuat sesuatu jika tidak menguntungkan mereka. Mana mungkin Mahathir sanggup menebalkan mukanya untuk berbincang dengan pembangkang sedangkan selama ini segala fitnah dan cacian tidak pernah lekang dari mulutnya. Percayalah cakap kami bekas ahli UMNO totok ini. UMNO tidak boleh dibawa berunding. Ada "senjata sulit" yang akan digunakan untuk menikam semula PAS apabila perbincangan dimulakan. Mungkin ucapan, kata-kata semasa mesyuarat, telatah atau tingkah laku pemimpin PAS akan diteliti dan dimanipulasi untuk dijadikan senjata makan tuan.

Saya yakin salah satu agenda yang akan diusulkan oleh PAS ketika mesyuarat ialah untuk menggesa Kerajaan Pusat membayar balik royalti kepada kerajaan Terengganu. Tentu sahaja UMNO/Mahathir tidak akan tunduk kepada permintaan PAS. Lihatlah buktinya:-

"Bukanlah kita hendak menerima semua yang dia cadang, kita pun ada pendirian juga. Kita akan cari satu format yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Kami tidak akan mengarahkan mereka dan mereka juga tidak boleh memaksa kami. "Kita tidak dapat tentukan agenda kerana ini bergantung pandangan Pas dan hanya kita boleh kata, kita akan datang dengan fikiran terbuka mengenai perpaduan Melayu saja," katanya.

(Berita Harian:13 Januari 2001)

Olehitu, sebagai komponen pakatan BA yang bertanggungjawab, PAS sepatutnya mendesak UMNO supaya menyelesaikan terlebih dahulu isu royalti. Ini kerana akibat daripada perbuatan UMNO merompak royalti minyak, seramai 700 ribu rakyat Melayu/Islam di Terengganu menderita dan teruk perpecahannya. Apabila isu ini selesai barulah UMNO boleh mengajak PAS untuk berbincang.

Sudahlah wahai pemimpin PAS, hentikanlah sandiwara yang dicipta oleh UMNO ini demi perpaduan nasional. Janganlah dilayan lagi UMNO yang semakin reput dan akan tenggelam ditelan zaman. Tengoklah sekarang ini, PAS sudah banyak membazirkan masa untuk melayani kerenah UMNO. Perhatian dan tumpuan rakyat pula sudah dialih atau dipesongkan dari permasalahan negara yang semakin meruncing dan mula "menjeling" kepada UMNO yang cuba "mencuri" perhatian rakyat melalui gembar-gembur media massa kononnya mereka adalah pejuang kepada perpaduan. Adakah PAS masih tidak berkeyakinan bahawa lebih 65 peratus pengundi Melayu menyokong BA? Sepatutnya lebih banyak masa ditumpukan untuk memantapkan pakatan BA bagi menumbangkan BN dan meNyahkan regim Mahathir dari bumi yang tercinta ini daripada melayani UMNO yang gila talak itu.

Bekas UMNO totok yang kecewa.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 16 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com