Jelas terbukti pemimpin UMNO hanya berada dialam mimpi dan khayalan apabila bercakap mengenai perpecahan Melayu.
Realiti sebenar yang ada samada, dikota atau didesa perpecahan Melayu tidak berlaku. Malah jika dibandingkan antara dekad lapan puluhan dengan situasi sekarang, keadaan perpaduan orang Melayu berada dalam tahap yang amat baik sekarang ini.
Jika dahulu difitnahkan oleh pemimpin UMNO bahawa berlaku kafir mengkafir, sembahyang dua imam, pulau kenduri, masjid berasingan, bercerai suami isteri kerana perbezaan politik dan berbagai lagi dikalangan bangsa Melayu. Tetapi sekarang modal politik seperti itu walau cuba ditimbulkan tetapi sudah tidak diindahkan oleh masyarakat. Kerana realti sebenarnya tidak ujud.
Jika pemimpin UMNO turun menyelami kehidupan masyarakat Melayu, mereka akan dapati bahawa Melayu tidak berpecah, yang sebenarnya pemimpin UMNO itulah yang merasakan bahawa diri mereka yang disish oleh masyarakat dan hidup sebagai kera sumbang ditengah kampung halaman mereka sendiri.
Kewujudan mereka yang penuh gah, dipandang sinis oleh jiran sekampung mereka. Inilah sebenarnya yang merisaukan mereka.
Mereka hanya gah dikaca TV dan dada akhbar utama, tetapi mereka sebenarnya kaku dan beku dikampung halaman sendiri.
Beku mereka, sama seperti ais yang dihasilkan di kilang ais bersebelahan rumah kelahiran Dr. Mahathir Muhamad yang berharga sekitar 12 juta yang sedang dalam pembinaan semula sekarang ini supaya menyamai seperti zaman sekolah PM.
Pemimpin UMNO perlu menunjukkan bukti apakah yang dikatakan perpecahan Melayu yang kononnya berlaku begitu hebat sekarang ini.
Kenyataan-kenyataan umum, mengenai perpecahan Melayu tidak akan mendatangkan apa-apa penyelesaian, malah akan menimbulkan kegawatan terhadap kestabilan negara yang mengundang politik perkauman dan akan menjuruskan kepada rusuhan kaum. Ini sudah tentu tidak diingini oleh semua rakyat Malaysia.
Adakah pemimpin UMNO merasakan orang Melayu berpecah apabila mereka berada dalam keadaan seperti kera sumbang bila pulang kekampung halaman mereka?
Adakah pemimpin UMNO merasakan orang Melayu berpecah apabila pengundi Titi Gajah (Kampung halaman PM) telah mengundi YB Hj Mahfuz Omar dan YB Ust Hj Shauqi Ibrahim dari PAS?
Adakah pemimpin UMNO merasakan orang Melayu berpecah apabila 70% orang Melayu telah memberi sokongan kepada PAS sekarang ini?
Adakah pemimpin UMNO merasakan orang Melayu berpecah apabila pegawai tadbir dan kakitangan kerajaan Melayu secara terang-terang tidak suka dengan UMNO?
Adakah pemimpin UMNO merasakan orang Melayu berpecah apabila 62% pengundi Cina yang selama ini menjadi undi penentu kepada BN sudah tidak memihak kepada BN dalam pilihanraya Lunas dan Melayu diseru bersatu semula dengan UMNO untuk menjamin kemenangan UMNO?
Kita meminta supaya pemimpin UMNO dapat menyenaraikan dengan segara apakah yang mereka maksudkan dengan perpecahan Melayu, jika mereka tidak bersetuju dengan andaian bukti perpecahan Melayu yang disenaraikan di atas.
Kerana, dalam kaedah penyelesaian masalah setiap permasalahan hendaklah dikenal pasti, disenaraikan dan kemudian diselesaikan mengikut keutamaan.
Orang Melayu sudah muak dan benci kepada UMNO bukan masalah perpecahan Melayu, itu adalah hak rakyat dalam menentukan citarasa politik masing-masing dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini.
UMNO yang sudah terlalu busuk lagi membusukkan, tidak akan mendapat simpati lagi daripada orang Melayu. Berbagai hak keistimewaan dan harga diri orang Melayu telah dijual dan digadai oleh pemimpin UMNO sepanjang pemerintahan mereka.
Inilah masanya, mereka merasa padah dari kebusukan yang dilakukan selama 5 dekad sehingga sekarang bertempiaran orang Melayu lari meninggalkan UMNO untuk bersatu di bawah payung Islam yang syumul.
Kerana PAS bukan hanya menawarkan habuan keduniaan, tetapi membimbing manusia untuk menjernihkan hati nurani mereka bermula dari kepimpinan tertinggi hingga seluruh rakyat dan dengan merasakan bahawa setiap gerak hati dan gerak laku sentiasa dihitung dan dihisab oleh Allah swt.
Inilah perjuangan PAS dalam membina negara, yang akan menyebabkan pemimpin negara tidak akan berani melakukan penyelewengan, kerana penyelewengan adalah satu dosa dan dosa balasannya adalah neraka, itu aqidah (pegangan) yang dididik kepada setiap ahli dan kepimpinan PAS.
Jika PAS diberi mandat memerintah, rakyatlah yang diutamakan, kerana pemimpin negara adalah khadam kepada rakyat dan akan disoal ketika di akhirat (selepas mati). Tiada apa yang hendak dibanggakan menjadi pemimpin, kerana pemimpin memikul amanah rakyat dan amanah Allah. Manusia boleh berpura-pura dalam suatu ketika, tetapi manusia tidak boleh berpura-pura dalam semua masa. Aqidah perjuangan yang dipegang oleh PAS ini tidak terdapat dalam kamus perjuangan pemimpin UMNO dan kemungkinan merasa pelik dengan perjuangan yang tidak sedikitpun memikirkan keuntungan duniawi.
Oleh itu sudah sampai masanya pemimpin UMNO yang begitu bangga dan megah dengan status pemimpin negara yang diberikan kepada mereka turun dari tahkta dengan segara untuk cuba pula menjadi rakyat biasa yang sebenar dan merasai bagaimana menjadi rakyat biasa di bawah pemimpin yang sentiasa merasakan hati dan diri mereka diperhati oleh pencipta langit dan bumi.
Hancur UMNO!
Aris Awang
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.