Amin Sapiro (masih hilang dalam hutan Siber)
MUNGKIN ada pihak yang memperlekeh dan menganggap murahan penulis-penulis reformasi di Alam Siber yang tidak mengenal tepi ini.
Mungkin kerana penulis-penulis itu tidak dikenal rupa dan muka, cuma menatap apa yang dibicara – namun jangan dirasakan mereka umpama jin dan jembalang puaka tanpa nadi dan saraf seorang manusia. Jangan..jangan.. tersalah sangka.
Penulis Siber mungkin berkarya di Alam Siber cuma; namun mereka adalah sekelompok manusia biasa. Yang anih cuma – mereka berada entah dimana. Kita tidak mungkin mengenali jantina mereka sebenar.
Ya, tidak mungkin sesiapa mengetahui siapa mereka sebenarnya. Dari tulisan mereka, kita nampak mereka mungkin seorang pelawak yang gemar berjenaka. Mungkin juga mereka menulis dengan bebas bersuara keras bagai seorang pendekar.
Ada antara mereka punya kesidiqan yang mempesonakan. Kadangkala, kerap membayangkan bahawa mereka punya ilmu dalam pelbagai bidang, punya keberanian sebagai seorang pejuang…macam-macam.
Makin diamat-amati, terasa kita sebenarnya berhadapan dengan sekelompok manusia yang punya hati perut dan perasaan. Mereka punya identiti dan punya kelebihan.
Mereka bisa berduka dan mengalir airmata. Mereka bisa bersuka sebagai seorang penjenaka. Mereka bisa juga marah jika disentuh hak diri dan egonya. Pendek kata, lihat diri mu bagaimana, maka begitu jugalah mereka – Penulis-penulis Siber.
Jangan anda tidak tahu: Sesama mereka saling berhubungan. Sebegitu rapat dan erat, hingga mereka mengenali hati budi dan perasaan sesama mereka.
Mereka memanggil masing-masing teman dengan imbauan penuh sopan. Ada yang dihormati dengan gelaran ‘bapak’ dan ‘paman’. Ada begitu dikenali dan mengenali hingga terucap perkataan ‘adik’, ‘kakak’ dan ‘abang’.
Imbauan begitu cuma sekadar perlambangan. Mereka tidak mengira usia dan umur. Mereka menilai sesama sendiri berasas kematangan tulisan dan arus pembicaraan.
Semua itu adalah suatu bayangan yang menunjukkan kekuatan kesatuan mereka yang terwujud secara spontan. Mereka ada naluri merasakan sesuatu dan memberi riaksi setelah berfikir secara matang. Mereka cukup peka meneliti personaliti dan kepribadian masing-masing dari tulisan yang terpapar dan tersebar.
Hakikatnya, mereka sesama penulis ada suatu ‘kebersamaan’, iaitu saling hormat menghormati hingga terwujud kasih sayang dalam satu struktur masyarakat tersendiri.
Mereka menulis untuk masyarakat mereka saja. Mereka berhubung rapat dan berkait dengan masyarakat luaran. Mereka adalah penumbang dan pemberi tanpa meminta balasan. Namun di sudut lubuk hati mereka tersebunyi sebuah iltizam.
Anda mungkin salah seorang dari mereka? Mungkin iya, mungkin tidak. Jika anda seorang yang berjiwa bebas dan menghyati roh kebebasan yang menjadi nadi kemerdekaan; cuba tulis sebaris hari ini, paparkan – lihat apa riaksi pembaca. Jika mereka menghormati pandangan anda atau berinteraksi dengan anda; maka sekaligus anda sudah menapak ke alam masyarakat siber yang tiada tepinya!
Tetapi anda perlu berwaspada. Segala apa yang anda ucapkan, masyarakat sekeliling anda akan menilai siapa anda. Anda harus bertanggungjawap kepada masyarakat sekitar di alam siber yang amat luas ini. Fikirkan juga bahawa apa juga pandangan anda, ada orang di sudut dunia sana yang akan memerhatikan anda.
Sebagai penulis siber anda bernasib baik. Anda bisa membunuh diri dan karekter anda mengikut suka. Dengan secuit hujung jari, anda bisa membunuh diri sendiri. Tulis satu nama “penasiber” yang lain, maka anda bagai ular bersalin kulit. Namun, seorang pembaca yang prihatin masih mampu melihat urat-urat jalur dihujung jarimu. Ada cara mereka mengenal siapa gerangan kamu!!
Dengan itu, jangan cuba memplagiat karya sesama kamu. Jaga baik-baik piagam yang tak bertulis yang membentuk kekuatan dan keperibadian penulis siber itu.
Sebagai penulis siber, kebebasan dan kemerdekaan berfikir dan menyuarakan pendapat dan pandangan adalah hak anda. Anda boleh cakap apa saja, boleh kemukakan sebarang persoalan, boleh tunjuk dan tonjolkan sokongan dan bantahan. Itulah tahap kebebasan dan kemerdekaan anda.
Namun anda kena ingat “JANGAN BICARA KURANG HORMAT – kelak diri anda sendiri yang tanggung akibat. Jangan biarkan diri anda TERJERAT..!!
Selamat Datang ke dalam masyarakat Alam Siber yang merentas dunia.
Amin Sapiro
(Anak rakyat serba nakal masih belajar)
PS: kepingan melihat kewujudan sebuah masyarakat Siber yang bertanggungjawab.