Oleh : Aman Rais
Drama demi drama dipentaskan oleh Umno untuk memenangi semula hati orang Melayu. Kini Umno menyerlahkan lagi identitinya sebagai sebuah parti perkauman dan pada masa yang sama ia cuba menggambarkan PAS dan Parti Keadilan Nasional juga bersifat sepertinya, iaitu puak pelampau Melayu.
Daripada isu Suqiu yang kononnya mahu menghapuskan hak istimewa Melayu, ia melarat kepada isu perpecahan bangsa. Terkini ditimbulkan pula drama cadangan penutupan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, kelas matrikulasi khusus untuk anak Melayu yang pertama di negara ini.
Kemudian tidak semena-mena ditonjolkan ulasan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong yang membandingkan antara Melayu Singapura dengan Melayu negara ini.
Umno dan pemimpinnya seolah-olah seorang desprado menggunakan sepenuhnya semua isu-isu ini untuk menonjolkan dirinya sebagai “benteng terakhir” orang Melayu.
Namun begitu segala usaha Umno itu ternyata gagal. Permainan politik Presidennya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya sudah dapat diteka. Sebaliknya strategi Umno untuk menarik PAS dan Keadilan bermuzakarah mengenai perpaduan Melayu memberikan keuntungan kepada lawannya.
Daripada isu perkauman sempit yang dimainkan oleh Umno itu, Keadilan dapat menonjolkan dengan tegas pendiriannya kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa ia adalah sebuah parti pelbagai kaum - bukannya parti Melayu.
PAS pula berjaya menekan Umno supaya mengikut rentaknya agar perbincangan antara kedua-duanya diperluaskan kepada soal perpaduan nasional.
Jelas sekali Umno terperangkap dalam keghairahannya untuk menunjukkan kepada orang Melayu bahawa ia tidak melupakan asas perjuangannya - iaitu memperjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu. Umno terlupa alaf baru ini bukan lagi masa untuk berdiri atas politik perkauman sempit.
Keberanian Keadilan menolak pelawaan Umno dan sekali gus mengisytiharkan dirinya sebagai bukan parti Melayu telah menaikkan lagi meritnya di mata masyarakat bukan Melayu.
Keadilan mengambil risiko besar apabila membuat perisytiharan itu kerana lebih 90 peratus penyokongnya adalah orang Melayu. Tetapi ahli-ahli parti itu dan penyokong gerakan reformasi ternyata matang, berfikiran terbuka dan bersemangat Malaysia. Perisytiharan parti baru itu diterima baik dan ini menjadikan parti itu lebih dekat dengan masyarakat bukan Melayu yang selama ini mencurigai pendirian sebenar parti itu.
Mahathir sebagai hero
PAS juga dapat mengeluarkan dirinya daripada dicop sebagai parti Melayu apabila ia menegaskan untuk menghadiri muzakarah itu bagi membincangkan soal perpaduan nasional. PAS tidak lagi dilihat sebagai parti perkauman Melayu dan golongan taksub agama.
Barisan kepimpinan PAS menggunakan isu yang direka cipta oleh Umno ini untuk menonjolkan sikapnya yang lebih toleran dan liberal.
Kecewa dengan hasil yang diperolehi daripada isu Suqiu dan perpecahan Melayu, kini Umno mengarah satu lagi drama perkauman dengan menggunakan latar belakang Pusat Asasi Sains. Umno tahu pusat matrikulasi itu sangat besar ertinya bagi orang Melayu. Ribuan graduan sains telah dihasilkan oleh pusat itu dan tidak semena-mena ia mahu ditutup.
Nampaknya kali ini Umno menggunakan pula isu sosial yakni pendidikan setelah gagal isu Suqiu dan perpecahan Melayu yang lebih menjurus kepada soal politik gagal mencapai matlamatnya.
Umno tahu orang Melayu sangat sensitif dalam soal kebajikan pendidikan, oleh itu Pusat Asasi Sains dijadikan objek untuk menonjolkan semangat kemelayuan mereka. Maka para pemimpin bangkit membantah cadangan penutupannya dan akhir sekali drama ini tamat dengan Dr Mahathir muncul selaku heronya. Beliau mengarahkan cadangan penutupan pusat itu dibatalkan.
Begitu juga dengan kenyataan Perdana Menteri Singapura, para pemimpin Umno dengan garangnya mempertahankan kemampuan orang Melayu Malaysia. Kenyataan seorang Cina di Singapura itu dianggap menghina orang Melayu di sini. Sekali lagi Umno muncul sebagai hero Melayu untuk menidakkan hakikat kenyataan Goh itu.
Itulah Umno sekarang - tercungap-cungap cuba meraih semula sokongan orang Melayu setelah tenggelam dalam masalah yang dicipta oleh Presidennya sendiri.
Sebagaimana drama atau filem Melayu dulu dan terkini yang stereotype, permainan politik perkauman Umno juga boleh diramal jalan ceritanya. Walau latar belakang dan para penyangaknya bertukar, namun para pelakon terutamanya hero-hero, pak pacak serta dalang atau pengarahnya tetap sama.
Ini menyebabkan penonton atau rakyat menjadi jemu dan tidak ingin ke panggung untuk menonton filem atau drama ini. Akibatnya sandiwara perkauman Umno itu menjadi “senjata makan tuan”!
....................................................................
Petikan Malaysiakini.com