Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perpaduan Melayu: Sandiwara anjing tersepit

Oleh : Aman Rais

Melepaskan anjing tersepit! Itulah gambaran yang diberikan oleh majoriti orang Melayu jika PAS dan Parti Keadilan Nasional menerima pelawaan Umno untuk bermusyawarah mengenai perpaduan Melayu.

Bagi mereka, Umno adalah pihak yang tewas dan cedera teruk dalam satu pertempuran. Lalu ia mengangkat bendera putih sebagai satu muslihat. Si kalah ini menawarkan gencatan senjata dalam hati yang tidak ikhlas. Ia tidak lebih daripada satu strategi untuk membolehkannya menyusun semula bala tenteranya yang sudah tempang dan kehilangan punca.

Jeneral pasukan yang kalah ini, Mahathir Mohamad, dipersalahkan oleh para leftenannya sebagai punca segala masalah dan ketewasan Umno.

Bagaimanapun jeneral yang sudah tempang ini cukup licik - beliau dapat melihat riak-riak pemberontakan dalam kapalnya. Lalu cepat-cepat mencari helah untuk mengalih perhatian anak kapalnya kepada satu perkara lain yang mungkin boleh menyelamatkan kedudukannya dan anak-anak serta kroni-kroninya.

Lalu terciptalah isu perpecahan dan perpaduan Melayu. Jeneral Mahathir menghulurkan salam perdamaian kepada PAS dan Keadilan dengan harapan dapat memindahkan beban kesalahan di bahunya kepada kedua-dua parti itu.

Perhitungan Mahathir ini cukup mudah - kalau PAS dan Keadilan menolak pelawaan untuk bermusyawarah itu bererti kedua-dua parti ini tidak mementingkan nasib bangsa Melayu. Dengan itu dapatlah Datuk Fadzil Noor dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipersalahkan sebagai penyebab perpecahan orang Melayu.

Begitu mudah skrip sandiwara politik ini. Bagaimanapun ia tidak mampu mengelirukan para penontonnya - rakyat. Rakyat sedar apa sebenarnya sedang berlaku, lalu mereka tidak meletakkan harapan tinggi pada musyawarah politik alaf baru ini.

Sembang-sembang rakyat sepanjang cuti Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini jelas membuktikan mereka tidak begitu ambil peduli dengan perkembangan politik yang terbaru itu. Mereka berbicara mengenainya tetapi dalam nada sinis.

Bukan parti nombor satu

Pendapat yang dikeluarkan rata-rata sangat bertentangan dengan apa yang tersirat oleh minda Presiden Umno dan kuncu-kuncunya.

Kesimpulan daripada perbualan itu - ada juga yang bertukar debat - ialah salam perpaduan yang dihulurkan oleh Umno itu tidak perlu disambut. Bagi mereka, orang Melayu tidak pernah berpecah tetapi yang sedang dilanda ribut ialah Umno dan pucuk pimpinannya.

Mereka juga berpendapat “keikhlasan” Dr Mahathir untuk duduk semeja bermusyawarah dengan PAS dan Keadilan itu tidak lebih daripada satu perangkap politik dan satu tindakan desperado.

“Kalau PAS dan Keadilan terima pelawaan Dr Mahathir untuk bermusyawarah atas isu perpaduan Melayu, sebenarnya kedua-dua parti utama orang Melayu ini mencuba untuk melepaskan anjing yang tersepit,” kata seorang pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan.

Teman itu berhujah, Umno tidak layak bercakap soal perpaduan Melayu kerana mereka bukan lagi parti nombor satu bagi orang Melayu. Tambahan pula Umno sedang tersepit dan telah dipinggirkan oleh rakyat.

“Sepatutnya PAS dan Keadilan yang membangkitkan soal ini, Umno hanya sebagai penumpang. Lebih-lebih lagi segala masalah dalam negara ini terutamanya yang melibatkan orang Melayu disebabkan oleh Umno sendiri,” tegasnya.

Sepupu pensyarah ekonomi itu pula, yang kini menjadi tokoh korporat berjaya, menyokong hujah itu dengan menegaskan perjumpaan ketiga-tiga parti itu tidak akan menyelesaikan masalah selagi punca utama masalah itu tidak diatasi.

“Punca tidak sefahaman antara orang Melayu sekarang ialah Mahathir dan Anwar. Dr Mahathir telah menzalimi Anwar. Isu Anwar menjadi pencetus kebangkitan orang Melayu. Kemudian pelbagai isu lain seperti penghinaan ulama, rasuah, penyelewengan, kronisme dan sebagainya timbul untuk memanaskan lagi keadaan.

“Dr Mahathir perlu menangani punca utama kepada masalah ini iaitu Anwar Ibrahim (bekas Timbalan Perdana Menteri). Sanggupkah dia, mahukah dia membebaskan Anwar? Kalau masalah Mahathir-Anwar ini tidak diatasi, perjumpaan enam mata atau perhimpunan sejuta Melayu tidak akan membawa apa-apa hasil,” hujah beliau pula.

Tanah rezab Melayu

Ahli perniagaan muda ini juga berpendapat, Umno bertanggung jawab memecahkan orang Melayu dan menggadai segala kepentingan mereka di negara ini tetapi menyalahkan pihak lain, terutamanya parti-parti pembangkang dan jawatankuasa rayuan Cina, Suqiu.

“Orang Cina, India atau Mat Saleh (bangsa Inggeris) tidak pernah merampas tanah rezab Melayu tetapi kerajaan Umno melakukannya. Semuanya diambil atas nama kepentingan nasional. Kononnya untuk buat projek rakyat tetapi digadai menjadi projek lain yang kemudiannya dijual kepada pelbagai pihak yang tidak berhak ke atas tanah rezab itu.

“Siapa yang hendak ambil alih Kampung Baru untuk digantikan dengan tanah tidak berharga di kawasan pedalaman? Lebih teruk lagi, harga pengambilan alih itu sangat murah. Bukankah ini semua kerja Umno dan BN?” soal beliau lagi.

Ada logiknya hujah tokoh korporat itu. Sudah beribu-ribu hektar tanah rezab Melayu ditukar status dengan janji untuk digantikan dengan tanah baru di kawasan lain dengan saiz yang sama tetapi janji-janji itu hanya tinggal kata-kata kosong.

Begitu juga dengan beberapa lagi keistimewaan seperti hak pemilikan tanah, rumah kos rendah, biasiswa, permit perniagaan dan sebagainya; semua itu semakin terhakis semata-mata atas alasan orang Melayu patut belajar hidup sendiri.

Tetapi apabila syarikat Tan Sri Tajudin Ramli (MAS), Tan Sri Halim Saad (Renong) atau syarikat-syarikat kroni dilanda masalah dan meminta pelbagai kemudahan bantuan, dengan senang pula kerajaan menghulurkan bantuan segara, sekali lagi atas alasan kepentingan nasional.

Begitulah sinisnya masyarakat Melayu melihat senario politik awal tahun 2001. Bagi mereka, isu ini sengaja ditimbulkan oleh Dr Mahathir dan Umno sebagai langkah untuk meraih simpati dan sokongan orang Melayu.

Mahathir telah mencuba pelbagai cara tetapi gagal. Kini beliau cuba memperalatkan PAS dan Keadilan pula untuk muncul sebagai hero Melayu terakhir.

.............................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 6 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com