Kenyataan Media: 13 Januari 2001
PEMIMPIN UMNO PUTAR-BELIT DAN PERALATKAN MEDIA PERDANA
Parti Keadilan Nasional [keADILan] amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab lagi tidak beretika media perdana yang terus menerus memutarbelitkan pendirian dan kenyataan para pemimpin kami demi memenuhi selera dan kehendak para pemimpin UMNO.
Memutarbelitkan kenyataan kononnya keADILan bukanlah parti Melayu dan tidak langsung berminat untuk kebaikan kaum Melayu adalah berniat jahat untuk mengelirukan rakyat.
keADILan adalah Parti berbilang kaum yang berteraskan Melayu sejak dari awal sejarah penubuhannya - di mana lebih daripada 90% ahlinya terdiri daripada kaum Melayu; dan hakikat ini tidak akan dapat ditolak oleh mana-mana pihak termasuk media perdana di negara ini.
Parti berbilang kaum yang berteraskan Melayu ini telah menggariskan dengan sejelas-jelasnya sejak awal-awal lagi di dalam prinsip-prinsip panduan Parti; bahawa keADILan mendokong prinsip Raja Berpelembagaan, menghayati Islam sebagai agama persekutuan, mendaulatkan Bahasa Melayu dan mempertahankan kedudukan istimewa kaum Melayu serta Bumiputra Sabah dan Sarawak.
keADILan merasa kesal kerana pihak media perdana terus diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengalih pandangan rakyat berhubungan dengan penolakan bersebab kami daripada menyertai perbincangan tajaan UMNO itu. keADILan berpegang teguh kepada cadangan Barisan Alternatif yang menyarankan satu persidangan meja bulat melibatkan semua parti politik Barisan Alternatif dan Barisan Nasional bagi membincangkan cabaran-cabaran genting yang dihadapi negara dan bukannya perbincangan mengenai satu kaum yang bermotifkan politik sempit. keADILan amat kesal dengan sikap membisu seribu bahasa UMNO, Barisan Nasional dan media perdana mengenai cadangan terbuka Barisan Alternatif ini.
keADILan juga amat hairan dengan Dr. Mahathir yang secara tiba-tiba muncul untuk menjuarai perpaduan Melayu sedangkan umum memahami betapa beliaulah punca perpecahan rakyat dan partinya yang kini kehilangan dokongan orang Melayu, hilangnya hormat para ulama dan cendekiawan serta terhakisnya hak-hak asasi manusia dan amalan demokrasi di negara ini.
keADILan juga merasa aneh betapa soal perpaduan Melayu hendak dibincangkan sedangkan kezaliman dan penganiayaan terhadap seorang pemimpin Melayu yang dihormati, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta keluarga, rakan-rakan, penyokong dan ribuan orang-orang Melayu yang menolak penganiayaan ke atas beliau tidak langsung disentuh oleh pihak Dr. Mahathir dan sekutunya. Apa yang ingin dicapai oleh perbincangan mengenai perpecahan Melayu, jika isu yang mencetuskan krisis national ini diabaikan dan tidak langsung menjadi agenda mencari penyelesaian.
keADILan ingin mengingatkan Dr. Mahathir, UMNO dan media perdana yang tidak malu-malu memperalat dan menjadi alat nafsu politik mereka agar segera insaf bahawa permainan kotor tidak akan selamanya menyelamatkan kalian semua.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung