Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jawapan Ezam kepada Utusan Malaysia

Kenyataan Media
3 Januari 2001

Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap Utusan Malaysia yang tidak menyiarkan langsung surat terbuka saya kepada Ketua Pengarang Utusan semalam berhubung isu penyatuan Melayu. Tindakan Utusan ini menunjukkan betapa mereka tidak bersikap terbuka yang merupakan satu ciri penting dalam mana-mana proses muzakarah atau perbincangan. Pemuda UMNO menyelar Pemuda keADILan dan PAS sebagai tidak bersifat terbuka. Persoalannya ialah bagaimana Utusan Malaysia yang kononnya paling kuat mendokong proses perpaduan Melayu tidak langsung bersikap terbuka. Sikap Utusan ini bagaimanapun telah diduga. Utusan juga tidak menyiarkan kenyataan awal saya berhubung isu ini yang dengan jelas menekankan kepada perlunya persoalan besar mengenai pembenterasan rasuah dan penyelewengan dijadikan agenda utama mana-mana usaha muzakarah.

Utusan Malaysia langsung tidak memetik kenyataan saya berhubung persoalan rasuah padahal itulah perkara terpenting dalam setiap kenyataan saya berhubung hal penyatuan Melayu. Apakah Utusan Malaysia juga alergik dan takut kepada perkataan rasuah sama seperti takutnya ramai pemimpin UMNO terhadap perkataan ini? Amat malang sekiranya akhbar utama negara juga mengidap penyakit yang sama dengan pemimpin rasuah dan menyeleweng.

Pemuda keADILan ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu negara hari ini adalah persoalan rasuah, penyelewengan kuasa dan rompakan wang rakyat oleh pemimpin kerajaan. Isu terbesar hari ini bukan masalah perpecahan atau perpaduan Melayu. Yang bermasalah ialah pemimpin Melayu.

Pemuda melihat terdapat kecenderungan untuk menggunakan gagasan murni perpaduan bagi menutup pekung pemimpin-pemimpin yang hilang wibawa. Gagasan murni perpaduan sering dijadikan bahan mencuci dosa-dosa besar pemimpin UMNO. Usaha sebegini bukan kali pertama berlaku kepada bangsa ini. Pernah suatu ketika dahulu pemimpin UMNO bertelingkah. Riuh rendah kisah pembongkaran rasuah dan penyelewengan. Bila gagasan perpaduan dipalu, akhirnya rakyat yang diarah berpadu. Bukti rasuah dan penyelewengan tiba-tiba menjadi abu. Ratusan juta duit rakyat hilang begitu sahaja. Pemimpin dan kroni rasuah terus selamat dan kenyang. Rakyat bawahan dipersalahkan kerana berpecah. Mereka diminta pula bekerja kuat untuk mencapai perpaduan.

Oleh yang demikian Pemuda keADILan tidak berganjak dari kenyataan awal menolak sebarang usaha perpaduan yang tidak dikaitkan dengan gagasan mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Perpaduan tanpa iltizam untuk membanteras najis rasuah dan dosa penyalahgunaan kuasa adalah kosong dan tidak bermakna. Perpaduan seperti itu hanya akan diperalatkan oleh pemimpin durjana yang korup dan menyeleweng untuk meneruskan agenda mereka untuk terus merompak wang rakyat. Pemuda mahu isu paling besar negara dibincangkan secara terbuka.

Mohd Ezam Mohd Noor
Ketua Pemuda KeADILan
http://pemudakeadilan.tripod.com

.....................................................
Webmaster Pemuda KeADILan


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com