LAPORAN POLIS BERHUBUNG SALAHLAKU TAN SRI MOHTAR
ABDULLAH HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN
Kami sepertimana nama yang dilampirkan ingin membuat satu laporan polis terhadap
perlakuan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohtar Abdullah. Telah diketahui
umum bahawa Tan Sri Mohtar semasa menjawat jawatan Peguam Negara telah pergi
bercuti bersama dengan tokoh perniagaan Vincent Tan dan peguam terkenal V.K.
Linggam di Italy pada tahun 1994. Gambar percutian mereka telah tersebar
melalui berbagai saluran media.
Sehubungan dengan itu, kami mengesyaki bahawa Tan Sri Mohtar telah menutup kes
salahlaku bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dengan tidak membuat
sebarang pendakwaan terhadap beliau walaupun selepas laporan Polis dibuat
berhubung salahlaku Eusoff yang telah bercuti di New Zealand bersama dengan
peguam yang sama. Kami yakin Mohtar melakukan ini disebabkan salahlaku Eusoff
tiada perbezaan dengan apa yang beliau lakukan.
Umum juga mengetahui bagaimana Tan Sri Mohtar gagal melaksanakan tugas
pendakwaan dalam kes-kes yang jelas mempunyai prima facie untuk tindakan
dilaksanakan. Beliau juga telah melakukan pendakwaan terpilih (selective
prosecution) dan menyalahgunakan kuasa sebagai Peguam Negara. Bukti kukuh
perbuatan beliau ini adalah apabila beliau menutup kes pemberian saham oleh
Dato’ Sri Rafidah Aziz sejumlah 1.5 juta kepada Fazrin Azwan, menantunya
sendiri. ASP Baljit Singh telah memberi keterangan kepada Mahkamah Majistret
Petaling Jaya dalam kes OSA Sdr Mohamad Ezam Mohd Nor, bahawa Datuk Abdul Ghani
Patail telah mengesahkan bahawa kertas pertuduhan yang didedahkan oleh Sdr Ezam
adalah salinan kertas pertuduhan asal ke atas Rafidah yang telah beliau
tandatangani pada tahun 1995. Tetapi sehingga beliau besara sebagai Peguam
Negara, tiada tindakan yang beliau laksanakan.
Perlakuan Mokhtar ini menjadikan beliau tidak layak menjadi hakim di mana-mana
mahkamah termasuk Mahkamah Majistret Kelas II apatah lagi untuk dilantik sebagai
Hakim Mahkamah Persekutuan. Kewibawaan Mohtar Abdullah jelas sangat
kontroversial dan dipertikaikan oleh rakyat. Perlantikan beliau sebagai Hakim
Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan maruah badan kehakiman. Perlantikan ini
telah meletakkan taraf mahkamah yang tertinggi dalam negara ini di dalam krisis
keyakinan rakyat yang paling tenat.
Kami mendesak agar pihak Polis menjalankan penyiasatan terperinci berhubung
salahlaku beliau dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya.
Sekian saja laporan kami, penama sepertimana dilampirkan.
==
Webmaster Pemuda KeADILan