LAPORAN POLIS TERHADAP MOHTAR ABDULLAH
Pada hari ini, 17 Febuari 2001, suatu perhimpunan telah diadakan sempena
penyerahan laporan polis terhadap Tan Sri Mohtar Abdullah, Hakim Mahkamah
Persekutuan, berhubung salahlaku beliau semasa menjadi Peguam Negara. Pehimpunan
ini telah dihadiri hampir 3000 orang pendokong reformasi. Perhimpunan yang telah
didahului dengan solat zuhur dan hajat di Masjid Jamek itu telah diadakan di
hadapan Balai Polis Campbell, Jalan Dang Wangi.
Antara pimpinan Barisan Alternatif yang hadir adalah Sdr. Ezam Mohd Nor, YB. Hj.
Mahfuz, Sdr. Faizal Sanusi dan ramai lagi. Pada lebih kurang jam 3.00 ptg, para
pimpinan BA telah dibenarkan masuk ke dalam balai polis untuk menyerahkan
laporan tersebut. Pada masa inilah, polis dan FRU telah bertindak menghalau
orang rami yang membanjiri Jalan Dang Wangi dan persekitarannya. Kelihatan 2
buah trak FRU dan sebuah 'water cannon' sedang bersedia menghala ke arah orang
ramai. Tindakan FRU ini telah menyebabkan orang ramai beredar ke tempat yang
lebih selamat seperti di hadapan Pasaraya Sogo. Walaupun orang ramai telah
berpecah, namun masih kedengaran laungan 'reformasi' di sana sini beserta dengan
nyanyian lagu Suara Rakyat.
Pada kira-kira jam 4.10 ptg, pimpinan BA keluar dari balai polis setelah selesai
membuat laporan. Pimpinan-pimpinan BA kemudiannya memimpin orang ramai, yang
sedang menunggu mereka dengan sabar, berarak ke arah Dataran Merdeka. Setibanya
di Dataran Merdeka, pimpinan BA mengambil tempat di atas pentas yang telah
disediakan untuk acara lumba basikal keesokan harinya. Sdr. Ezam Mohd Nor telah
membacakan laporan yang telah dibuat (klik untuk membaca laporan) kepada orang
ramai yang tidak berganjak dari jalan raya meskipun hujan sudah mula renyai.
Setelah lebih kurang 10 minit dan ucapanpun selesai, orang ramai bersurai
apabila diminta berbuat demikian oleh pemimpin mereka.
Walaupun sudah bersurai, laungan keramat 'reformasi' masih kedengaran di merata
tempat dicelahi dengan suara takbir. Pada waktu orang ramai sedang bersurai
inilah, trak polis dan FRU tiba. Biarpun orang ramai sudah beredar dari tempat
perhimpunan, pihak polis dan FRU tetap cuba menimbulkan kekecohan. Dilaporkan
dalam kekecohan yang berlaku ini, Sdr. Tian Chua telah ditahan dan ditangkap.
Selain daripada beliau, difahamkan 5 orang telah ditangkap termasuk Raja Petra
Kamaruddin.
Sekian laporan terkini. REFORMASI!!!
Membujur lalu, melintang patah,
namun REFORMASI tetap diteruskan,
Webmaster.
==
Webmaster Pemuda KeADILan