MARANG: Seluruh rakyat terutamanya pendulang-pendulang emas menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri mahu membuka semula kawasan lombong emas di Lubuk Mandi, Rusila kepada rakyat. Satu lagi kawasan lombong emas yang akan dibuka ialah di Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar,Haji Wan Abdul Muttalib Embong menyebut hasrat kerajaan ini disatu majlis dialog dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Batu Burok baru-baru ini.
Seorang pendulang emas, Encik Mohd. Mat Zin ketika ditemui memberitahu WARTA beliau sememangnya mendulang dari awal emas Lubuk Mandi dijumpai. "Inilah kerja seharian saya sekarang," katanya. Mohd. Mat Zin yang berasal dari Kampung Kedai Buluh menambah, hasrat Kerajaan Negeri memang baik dan dialu-alukan. Ianya memenuhi janji PAS dalam manifesto pilihanraya lepas. Namun Kerajaan perlu membuat kawalan kerana ada beberapa kawasan yang bahayakan keselamatan pencari emas. Encik Mohd. Rani yang berasal dari Kampung Gong Pak Masih pula berharap Kerajaan segera mengumumkan kawasan emas yang akan dibuka di Dungun.
"Saya bersedia mencari emas disini walaupun agak jauh. Peralatan mencari emas yang saya gunakan sekarang adalah kecil. Saya penuh yakin dapat memajukan usaha mencari emas apabila Kerajaan memberi bantuan dan peralatan," jelasnya. Seorang lagi pendulang tempatan dari Rusila, Encik Awang Ismail menyifatkan langkah Kerajaan Negeri mahu membenarkan rakyat kembali mendulang emas adalah satu berita baik. "Ianya berita menggembirakan. Lagi cepat dilaksanakan lagi bagus," katanya.
Menurut beliau, kawasan lombong Lubuk Mandi ada terdapat beberapa tempat yang memerlukan kawalan dari kerajaan kerana terlalu dalam dan bahaya. Namun ada pula beberapa tempat masih tidak diusik yang boleh diteroka. Lagipun katanya pembukaaan lombong emas di Dungun memudahkan rakyat mendapatkan rezeki tambahan apa lagi kalau ianya diusaha secara besar-besaran. "Ini pula perlu kepada bantuan dari Kerajaan," jelasnya. Mereka masing-masing bersetuju dengan Haji Wan Abdul Muttalib bahawa ia adalah sumber ganti kepada kehilangan sementara royalti minyak.